Agenda reformasi terhimpit tuntutan kaum dan agama

Oleh Mohd Farhan Darwis

PAKATAN Harapan (PH) sedang diasak oleh kumpulan Melayu dan bukan Melayu sehingga pentadbiran kerajaan tidak dapat fokus pada isu seharian yang menjadi perhatian rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan rumah mampu milik, kata penganalisis.

Mereka berpendapat PH mesti berani menggariskan satu naratif nasional lebih menyeluruh dengan mengetepikan kepentingan kaum yang sempit.

Untuk itu, kerajaan harus melepaskan diri daripada terjerumus ke dalam perangkap isu kaum dan agama, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha pemulihan institusi dan ekonomi, yang memberikan kesan kepada sokongan rakyat.

“Pimpinan PH harus melihat perubahan dalam kerangka yang melangkaui politik dan perlu mendapatkan sokongan semua kaum.

“PH perlu mengembangkan tapak sokongan untuk mendapat majoriti dari semua kaum, dan penyokong dan pemimpin PH perlu menerima realiti ini dengan segera,” kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian.

“Jika tidak, reformasi yang ingin dibawa akan terbantut, sementara naratif nasional kita akan hanya berkisar pada isu kaum dan agama, dan kita akan kehilangan masa dan tenaga tanpa mendapat manfaat yang berpanjangan,” katanya.

Ibrahim berkata masyarakat bukan Islam berharap PH akan menyelesaikan isu keadilan untuk semua kaum selepas ia menang pilihan raya umum yang lalu, namun segelintir mereka masih curiga dengan hasrat kerajaan.

“Realitinya ialah masyarakat bukan Islam perlu menilai sejauh mana mereka sanggup berkompromi, namun buat masa ini, pilihan politik agak terhad.

“Selain PH, yang ada di luar sana hanya Umno dan PAS,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi masyarakat Melayu dan Islam pula, Ibrahim melihat isu seperti tulisan khat Jawi dan pendakwah dari India, Zakir Naik dipolemikkan untuk meraih sokongan.

“Masalahnya isu seperti khat dipolemikkan manakala isu Zakir Naik menjadi rumit kerana beliau bertindak luar batasan.

“Sudah tentu ini semua berlaku kerana ada pihak berkepentingan melihat polemik perkauman ini memberi kelebihan politik kepada agenda mereka.

“Sayangnya yang rugi adalah rakyat umum kerana perhatian berlebihan diberikan kepada isu ini berbanding masalah yang lebih mendesak seperti menambah baik ekonomi dan meningkatkan prestasi perkhidmatan awam,” katanya.

Sehubungan itu katanya, salah satu langkah strategik yang PH boleh pertimbangkan sekarang ialah mengembangkan pakatan mereka bagi dapat merangkumi perwakilan yang lebih mencerminkan demografi nasional.

Menyesal undi PH

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya (UM) Mohammad Taufik Yaakub berpendapat,  kaum bukan Melayu hari ini menyesal dan berada dalam keadaan tidak gembira kerana parti-parti yang diharapkan gagal memenuhi aspirasi dan kepentingan kaum-kaum berkenaan.

“Sekiranya minggu hadapan diadakan PRU15, saya pasti PH berdepan laluan sukar untuk meraih sokongan besar daripada kaum-kaum bukan Melayu seperti pilihan raya umum sebelumnya,” kata Tawfik.

Tawfik berpendapat, PH kini sedang berhadapan dengan dua gelombang penolakan yang semakin serius – kemarahan orang Melayu kerana mereka gagal menangani isu melibatkan kepentingan orang Melayu, dan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang bukan Melayu terkait tuntutan mengusir Zakir dan tulisan khat Jawi di sekolah vernakular.

Katanya, masyarakat bukan Melayu kini beranggapan bahawa kerajaan PH berdolak-dalik dalam kedua-dua isu berkenaan dan tidak mempunyai keputusan yang tepat untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Keadaan ini mencerminkan DAP dan PKR gagal menunaikan permintaan kaum bukan Melayu meskipun kedua-dua parti ini mendapat sokongan kuat daripada mereka.

“Pandangan saya, PH masih gagal dan sukar membentuk kesepakatan apabila melibatkan isu hal ehwal agama dan kaum di Malaysia.

“Malah kegagalan membentuk konsensus ini menyebabkan wujudnya perbalahan dalam kalangan parti komponen,” kata Tawfik.

Isu asas

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani bagaimanapun berpendapat isu mendesak yang wajar diberi perhatian adalah isu kehidupan asas, kerana isu kaum dan agama sudah melingkari kehidupan rakyat sejak sebelum PH memerintah.

Azizuddin berkata tunjang politik Malaysia banyak dipengaruhi oleh rakyat daripada kelas pertengahan dan mereka merupakan kayu ukur penentu parti pemerintah.

“Mereka yang ubah dan dukung kerajaan. Mereka bincang isu kaum dan agama tapi bagi mereka isu ekonomi lebih dominan… kos sara hidup, peluang untuk hidup, peluang untuk memiliki rumah… kebanyakannya berkisar kepada ‘bread and butter’ isu.

“Kalau PH kalah (pada PRU15) adalah sebab isu-isu ini, sama macam BN kalah tempoh hari kerana isu GST dan sebagainya.

“Isu kaum dan agama ini kecoh-kecoh, tapi ini hanya isu sampingan, tidak ada sampai nak bergaduh antara kaum dan sebagainya,” katanya.
Masyarakat bukan Islam juga katanya, tidak hanya melihat kepada sentimen perkauman dan agama, sebaliknya mereka melihat isu lain yang lebih dominan iaitu kemampuan PH untuk menambah baik ekonomi.

“Isu khat dan Zakir Naik ini isu pinggiran tapi lebih disensasikan,” katanya yang melihat isu seperti ini selalu ada dari masa ke masa.

Jelas beliau, PH sudah menunjukkan cara pendekatannya dalam isu agama dan kaum, namun apabila Umno dan PAS kuat memainkan isu kaum dan agama, segelintir orang Melayu dan Islam terjerat.

“Memang ada Melayu yang takut dan mereka akan menyebelahi Umno dan PAS, itu memang keadaan dan kemungkinan yang akan berlaku.

“Tetapi kerajaan masih di pihak PH dan mereka ada kelebihan.

“Mereka kena tunjuk ada agenda Melayu dan Bumiputera yang mereka kena perjuangkan, tapi jangan tinggalkan hak kaum lain, mereka juga dijamin Perlembagaan daripada segi beragama dan peluang yang mereka berhak terima,” katanya.

Politik makan diri

Beliau turut memberi amaran, perangkap kaum dan agama dikhuatiri memakan diri masyarakat Melayu dan Islam.

“Banyak isu dibangkitkan di Semenanjung dan orang lupa apa agenda untuk Sabah dan Sarawak.
“Kita takut mereka tidak bersetuju dengan pendekatan politik nasional, jadi imbangan kena dibuat secara tersusun dan terbaik oleh PH untuk tunjukkan mereka kuat kerana isu di Malaysia memang banyak,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari UM pula berpendapat, komuniti bukan Melayu yang kecewa dengan PH adalah segelintir yang tidak memahami Perlembagaan.

“Mereka selama ini menganggap BN cenderung kepada suara Melayu dan Islam tetapi mereka lupa majoriti rakyat adalah Melayu, Bumiputera, dan Islam.

“Apabila Melayu dan Islam itu majoriti, apa masalah sosial, atau masalah ekonomi mereka, itu menjadi masalah negara sebab itu masyarakat majoriti,” katanya.

Menurutnya, kumpulan berkenaan kurang menyedari setiap keinginan mereka tidak semestinya tercapai walaupun PH mentadbir negara kerana adanya Perlembagaan negara.

“Apabila ini berlaku, memang mereka agak kecewa dengan PH, namun pada masa sama pemimpin tertentu mereka, sama ada India atau Cina terus perjuangkan isu tersebut.

“Hak Melayu, Bumiputera, dan bahasa Melayu misalnya, ada dalam Perlembagaan, jadi mereka perlu sejajarkan harapan itu supaya sesuai dalam rangka Perlembagaan negara, kalau tidak mereka akan kecewa,” kata Awang Azman
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan