Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata langkah itu juga perlu, bagi mengelakkan tohmahan bahawa seseorang ahli politik itu terlibat dalam kegiatan rasuah.
“Saya juga seru setiap kerajaan negeri bukan sahaja Selangor, untuk isytihar harta yang mana tidak terhad kepada Exco (Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri) tetapi juga kepada Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ahli majlis (Pihak Berkuasa Tempatan),” katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas lanjut, Latheefa berkata pengisytiharan harta oleh Adun dan ahli majlis itu perlu dibuat, kerana negeri mempunyai sumber kewangan yang tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang terhadap berlakunya kegiatan rasuah.
“Negeri-negeri ada sumber lebih tinggi contohnya Selangor, yang merupakan antara negeri terkaya dan akses terhadap dana (awam) juga tinggi,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, yang tidak bersetuju dengan inisiatif kerajaan mewajibkan ahli Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta masing-masing susulan mereka juga mempunyai sumber pendapatan lain, selain elaun ahli Parlimen, Latheefa berkata pengisytiharan itu adalah bagi memberi keadilan kepada semua ahli Parlimen.
Katanya, setiap ahli Parlimen tetap disarankan untuk mengisytiharkan semua sumber pendapatan mereka walaupun ia dari sumbangan derma atau harta pusaka.
“Kita mahu berlaku adil kepada kamu, kalau ada sumber lain selain gaji, lebih baik anda istiharkan...kita tak istiharkan harta sahaja, tetapi juga liabiliti.
“ Ini langkah asas untuk memerangi rasuah dan untuk kebaikan sendiri, bagus untuk istiharkan supaya orang tidak salah sangka, “ katanya. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan