NUJ: Belum pasti Utusan, Kosmo henti operasi Rabu ini

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Dakwaan Utusan Melayu (M) Berhad akan menghentikan cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo pada Rabu ini masih belum rasmi.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata hasil perbincangan dengan Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, pekerja hanya dimaklumkan Utusan akan ditutup sekiranya tiada jalan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak pekerja.

“Kami diberitahu kalau tiada jalan penyelesaian, Utusan akan ditutup namun Abd Aziz tidak menyatakan tarikh sebenar tentang perkara itu. Kami mendapat tahu akan ditutup pada Rabu hanya dengar cakap daripada rakan sejawatan.

“Saya juga tidak mendapat perkembangan mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah Utusan pada petang tadi, kami cuma dimaklumkan satu taklimat bersama Pengerusi Eksekutif (Abd Aziz) akan diadakan pada 4 petang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

“Abd Aziz memberitahu, Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang dan syarikat itu juga gagal melupuskan aset yang ada,” katanya. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan