Golongan
yang memandang serong terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik
perlu berhenti menuduh beliau sebagai ekstremis, penyebar fitnah serta
sebagainya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata,
Zakir sebenarnya seorang yang amat terbuka dan sanggup berdialog dengan
sesiapa sahaja secara ilmiah serta rasional.
Menurutnya, dengan penguasaan beliau yang hebat dalam bidang ilmu
perbandingan agama dan kecekapannya berhujah dengan amat cemerlang untuk
menyokong kebenaran Islam menyebabkan beliau dimusuhi mereka yang tidak
mampu berdepan dengannya.
“Semua pihak mesti berbaik sangka terhadap usaha dakwah yang
bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip-prinsip akidah
(kepercayaan) dan amalan yang terkandung dalam ajaran agama Islam di
samping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka
terhadapnya.
“Kita juga perlu tahu bahawa Islam tidak memaksa sesiapa pun untuk
menerima ajarannya,” katanya menerusi satu kenyataan seperti dipetik
Sinarharianonline.
Dr Wan Salim berkata, sesiapa yang mengkaji agama ini tahu tanpa
keraguan bahawa salah satu prinsip yang dinyatakan dengan jelas di dalam
al-Quran dan hadis adalah tiada paksaan dalam menganut agama ini.
Katanya, cuma satu perkara yang perlu diketahui semua orang adalah
menyeru manusia kepada agama Islam adalah diwajibkan ke atas umat Islam.
“Ini disebabkan keyakinan bahawa Islam adalah agama yang sebenar
datangnya daripada Allah swt yang mencipta manusia dan seluruh alam
semesta.
“Ini bukan keyakinan kosong yang lahir daripada perasaan taksub
membabi buta, tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah dan
saintifik yang kuat, di samping bersandar kepada teks agama (Islam) yang
tiada keraguan lagi tentang kesahihannya,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan