Isu Zakir Naik: Malaysia ada hak tidak layan tuntutan India - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap dengan pendirian tidak menghantar pulang penceramah bebas Dr Zakir Naik kembali ke negara asal walaupun terdapat tuntutan dari kerajaan India untuk berbuat demikian.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dari sudut undang-undang sedia ada, Malaysia mempunyai hak yang khusus untuk tidak terikat dengan tuntutan tersebut, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Tambahnya, jika kerajaan merasakan tindakan menghantar pulang kembali Zakir adalah kurang wajar atas beberapa faktor tertentu, Malaysia tidak perlu memberi maklum balas sekali pun.

“Itu hak kita, undang-undang tak kata mesti kalau sesuatu negara tuntut, kita perlu layani tuntutan itu. Kalau ada sebab tertentu yang kita rasa tak wajar (untuk hantar Zakir pulang), tak perlu pun respons.
“Setakat hari ini, pendirian Malaysia, sebagaimana Perdana Menteri nyatakan, masih kekal. That’s the stand,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan International Seminar on Religious Values In Preventing And Countering Violent Extremism, di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di sini, hari ini.

Kerajaan India, pada Januari lepas, dilaporkan telah menghantar permohonan rasmi kepada Kerajaan Malaysia agar Zakir diekstradisi kembali bagi menghadapi beberapa kes mahkamah, yang melibatkan pertuduhan pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, berhubung ucapan penceramah itu yang dikatakan mengguris hati masyarakat India di Malaysia, ia katanya adalah isu yang berlainan dan ia sehingga kini masih dalam siasatan polis.

“Kita sedar, sebab itu kita siasat kenyataannya. Walaupun kita hormat beliau sebagai penceramah, tokoh agama, tetapi ada juga had dan batasan dari segi undang undang.

"Kalau dia menyentuh hal dalam negara, dan timbulkan rasa tak puas hati, ataupun perasaan marah, ini sudah saya sebutkan tadi, kita siasat.

“Itu sebabnya tindakan polis dilakukan terhadap beliau, sebab ada undang-undang mengawal keadaan,” katanya lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan