Pakatan terus-terusan kecewakan rakyat, kata Ambiga

RAKYAT Malaysia terus berasa kecewa dengan kerajaan kerana tindakan sebilangan pemimpinnya, kata peguam dan aktivis hak asasi terkemuka Ambiga Sreenevasan di Twitternya hari ini.

Menerusi tuitnya itu, beliau turut menggesa Pakatan Harapan mengelak kemelut kepentingan sempit dan sebaliknya berusaha keras untuk negara.

Katanya lagi, rakyat perlukan negarawan bukannya ahli politik, kerana negarawan memikirkan tentang generasi masa depan tetapi politikus “hanya memikirkan tentang pilihan raya akan datang.”

“Saya faham perasaan rakyat. Setiap kali anda harapkan pemimpin berperangai senonoh, ada yang sangat mengecewakan. Seolah-olah kita tak penting. Yang penting hanyalah terus berkuasa.
“Kami ingat mereka (PH) berbeza,” tulisnya.

Bekas presiden Badan Peguam itu menulis demikian dalam balasannya kepada tuit peguam yang juga ahli DAP Syahredzan Johan, yang menulis amat menyedihkan rakyat Malaysia terus terperangkap dalam kitaran isu perkauman di ambang Hari Kemerdekaan, Sabtu ini.

“Kita sepatutnya bersatu, tetapi nampaknya kita makin berpecah.

“Marilah bersama kumpul keberanian untuk buat perkara betul, dan bukannya perkara mudah,” tulis Syahredzan yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang.

Ambiga membalas tuit itu, menulis yang ada isu tertentu yang sengaja “dimainkan untuk memperlekeh kerajaan.”

Tetapi, kerajaan juga perlu menunjukkan “kematangan dan keberanian untuk meletakkan kita semula di landasan yang benar sekalipun ia sangat sukar”, katanya.

“Mereka yang mengalih perhatian tidak memikirkan kepentingan rakyat. Kita berdepan masalah besar ekonomi global tetapi kita bergaduh tentang kaum dan agama. Pelabur pastinya melihat kita sangat tidak cekap. Semua ini memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya.

“Saya tanya sekali lagi, jika menteri-menteri kelihatan tidak berdaya untuk bertindak dalam keadaan yang sukar, siapa lagi kita boleh harapkan? Jika kerajaan tidak tetapkan landasan benar, siapa lagi boleh?”

Ambiga menambah, walaupun dilanda kekecewaan, rakyat Malaysia masih perlu bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September depan.

“Kita tidak boleh membenarkan perbezaan kerana seorang lelaki atau satu isu melenyapkan kemeriahan sambutan. Kita ada cabaran besar di depan yang memerlukan seluruh tumpuan dan tenaga kita,” katanya lagi.

Jawab balasnya dengan Syahredzan di Twitter itu berlaku selepas beberapa minggu kemelut melanda negara berkaitan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat Jawi kepada pelajar Tahun 4 bermula tahun depan.

Walaupun rancangan itu sudah ditambah baik termasuklah mengurangkan jumlah muka surat daripada enam kepada tiga dan menjadikan ia pilihan, masih ada pihak yang lantang menentangnya.

Isu itu terus hangat apabila Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq menggelarkan penentang Jawi itu sebagai “bodoh sombong”.

Putrajaya juga berdepan desakan kuat untuk bertindak ke atas penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang menyinggung masyarakat kaum Cina dan India dalam ceramahnya awal bulan ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan yang Putrajaya tidak akan mengusir Zakir kembali ke India kerana tiada jaminan penceramah itu akan mendapat perbicaraan yang adil.

Polis sedang menyiasat Zakir kerana kandungan ceramahnya itu, dan beliau juga sudah dilarang memberikan ceramah di seluruh negara.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan