PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat Malaysia yang
menjalankan perniagaan di serata dunia supaya “bersih” dan menjadi ahli
perniagaan dan pelabur yang dihormati.
Beliau berkata ahli perniagaan Malaysia kini maju dan dihormati di serata dunia.
“Kita harus kekalkan itu (ahli perniagaan yang dihormati) dengan menjalankan perniagaan secara betul.
“Kita tahu salah satu masalah yang kita hadapi ketika melakukan
perniagaan di negara asing ialah rasuah. Godaan untuk merasuah adalah
kuat, tetapi tolong hindari itu.
“Rakyat Malaysia hendaklah menjadi ahli perniagaan yang bersih dan ia
bukan bergantung kepada rasuah tetapi dengan menyediakan perkhidmatan
yang bagus, berkelakuan baik dan mesra,” katanya ketika sessi dialog
dengan ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang melibatkan 27 buah
syarikat yang beroperasi di Vietnam.
Dr Mahathir juga menggesa ahli perniagaan Malaysia dan pelabur yang
beroperasi di negara asing supaya menyumbang terhadap ekonomi negara.
Sementara itu Dr Mahathir berkata negara jiran yang kaya dan makmur akan menjadi rakan perniagaan yang baik kepada Malaysia.
Oleh itu beliau menyeru ahli perniagaan Malaysia dan pelabur supaya
memahami cara negara berkenaan menjalankan segala sesuatu, peraturan
serta undang-undangnya agar berpeluang mengembangkan perniagaan.
Dr Mahathir tiba di Hanoi Isnin malam bagi lawatan rasmi tiga hari ke
negara republik sosialis itu atas undangan Perdana Menteri Vietnam
Nguyen Xuan Phuc.
Turut hadir Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Vietnam Shariffah Norhana Syed Mustaffa. – Bernama,
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan