Jangan sewenangnya tukar status tanah pertanian

SEMUA kerajaan negeri diminta tidak sewenang-wenangnya menukar status tanah sawah padi atau tanah pertanian kepada tanah pembangunan dalam usaha merancakkan industri perumahan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata kerajaan negeri seharusnya merancang dan menyusun atur pelan pembangunan dengan lebih efisien dan efektif serta tidak mengabaikan sektor agromakanan yang turut menjadi nadi penting kepada rakyat.

“Mereka mesti merancang penggunaan tanah dengan lebih efisien dan berkesan kerana walaupun rakyat memerlukan rumah, jika kita tukar beratus-ratus hektar pun tanah pertanian kepada perumahan, akhirnya kita akan mengalami kekurangan makanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Teknologi Tepat Padi (Tepad) di Seberang Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar bahawa terdapat penyusutan sawah padi hampir di seluruh negeri di Malaysia yang sekiranya tiada kawalan boleh mengancam pengeluaran beras yang menjadi sumber makanan ruji penduduk di negara ini.

Mengulas lanjut Sim berkata, pihak kerajaan negeri perlu menjadi benteng pertahanan dan harus memastikan sektor agromakanan dapat dihasilkan dengan lebih baik di negeri masing-masing.

Sim berkata beliau kini kerap menerima laporan berhubung tanah bendang (sawah) ditukar menjadi perumahan dan menyifatkan ia sebagai satu perkara yang sangat mencabar kepada kerajaan.

“Ini kerana kita tahu bahawa makanan ruji negara adalah padi dan beras. Kalau kita tidak mempunyai tanah untuk menanam padi maka kita terpaksa import. Kalau kita import dan bergantung kepada negara lain dan ia bergantung kepada harga pasaran dunia.

“Kita mesti ambil iktibar pada 2009 yang mana kekurangan bekalan dari Vietnam dan menyebabkan  kenaikan mendadak dari segi harga beras dan terpaksa menggunakan peruntukan kerajaan untuk membeli padi pada harga yang lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Sim berkata sekiranya tanah sawah semakin berkurangan, ia akan memberi kesan kepada kadar penghasilan padi negara serta tahap sara diri.

“Maka pada masa itu akan berlaku masalah permintaan dan bekalan. Jikalau permintaan tinggi kerana rakyat semakin ramai, jadi akan berlaku bekalan rendah atau semakin berkurangan maka ia akan menyebabkan harga meningkat,” katanya. – Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan