Rakyat diingatkan jangan salah guna demokrasi, kebebasan bersuara, kata NGO

Seluruh rakyat dalam negara ini dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan sistem demokrasi dan kebebasan bersuara sedia ada, kata Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang, Abdullah Mohd Nor.

Beliau berkata, kebebasan bersuara yang dibenarkan bukan digunakan untuk memperlekehkan mana-mana kaum atau agama dalam negara ini.

Sebaliknya semua rakyat mesti menghormati antara satu sama lain dan tidak menimbulkan ketegangan walaupun terdapat isu yang tidak dipersetujui.

“Sebagai contoh dalam isu melibatkan tulisan khat sepertimana yang direncanakan oleh Kementerian Pendidikan, tidak perlu diadakan demonstrasi yang menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu.
“Mereka yang mengadakan bantahan secara berdemo harus tahu dan sedar perkataan yang dizahirkan adakalanya melukakan hati masyarakat Melayu dan bersifat melampau.

“Walau bagaimana pun dilihat masyarakat Melayu lebih sabar dan toleran tanpa melakukan apa-apa provokasi maupun diperlekehkan melalui kain rentang dan bantahan yang diadakan, ” ujarnya ketika ditemui.

Malah tambah Abdullah lagi, sudah sampai masanya bagi kerajaan untuk bersikap tegas tanpa membiarkan provokasi yang melampau sehingga mengguris hati masyarakat Melayu.

“Sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, sewajarnya bantahan dan demonstrasi harus ada had dan sempadannya.

“Manakala pihak berkuasa mesti mengakses segala akta dan peraturan yang ada bagi membendung berleluasanya protes yang mampu meninggalkan kesan negatif dalam masyarakat berbilang kaum.

“Tidak harus ada lagi kompromi maupun tolak-ansur sekiranya undang-undang negara dicabuli dan diperlekehkan oleh mereka yang sengaja mahu menimbulkan huru-hara dengan mempertikaikan setiap usaha murni kerajaan demi kebaikan generasi yang akan datang, ”saran beliau.

Justeru itu katanya, undang-undang sedia ada mesti dikuatkuasakan dengan semaksima mungkin.
Sementara itu tegasnya, kegagalan menangani demonstrasi yang melampau khususnya melibatkan isu tulisan khat, lambat laun akan mencabar kesabaran masyarakat Melayu dan harus segera disekat dan dihalang tanpa apa jua alasan.

Beliau juga menasihatkan pimpinan politik samada dalam Pakatan Harapan maupun pembangkang supaya mengutamakan kedamaian, kesepaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum sekiranya tidak mahu negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan konflikyang bepanjangan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan