Oleh Liew Chin Tong
Terlebih dahulu saya bagi pihak
Jawatankuasa Negeri DAP Johor mengucapkan terima kasih kepada
wakil-wakil negeri yang sudi hadir ke konvensyen tahunan ini. Ucapan
terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Setiausaha Agung
Sdr Lim Guan Eng dan juga Sdr Lim Kit Siang atas kehadiran mereka yang
menyempurnakan mesyuarat hari ini. Saya juga ingin mengalu-alukan
kehadiran Sdr YB Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi PKR Johor), Sdr YB
Mazlan Bujang (Pengerusi PPBM Johor) dan Sdr Faizul Salleh (Wakil Parti
AMANAH Johor) bersama kita pada hari ini.
Mewakili DAP Johor, saya ingin
mengucapkan tahniah kepada Johor kerana menang dalam Piala Malaysia
semalam. Saya juga menyatakan solidariti dengan Sdr P Gunasekaran and G
Saminathan yang kini dalam tahanan. Di sini juga saya ingin merakamkan
ucapan takziah kepada keluarga pemimpin veteran DAP, Allahyarham Sdr
Ahmad Ton yang telah meninggal dunia pada 29 September 2019 lalu.
Saya juga merakamkan ucapan takziah
kepada keluarga rakan saya Allahyarham Sdr. Dr Md Farid Md Rafik yang
meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 21hb September 2019.
Permergian Sdr.
Dr. Farid mencetuskan pilihan raya kecil Tanjung Piai
yang kini berlangsung di negeri kita. Buat masa ini tidak dinafikan
bahawa Pakatan Harapan sedang mengalami krisis yang perlu ditangani, dan
tidak ada jaminan kita akan menang mudah di PRK Parlimen Tanjung Piai.
Sebenarnya ada kaitan langsung di
antara pertarungan di Tanjung Piai dan keadaan politik kebangsaan hari
ini. Pakatan Harapan perlu menyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa
gabungan politik kita adalah satu bentuk kerjasama yang akan menyumbang
kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara tercinta kita.
Pakatan Harapan mesti menyakinkan
pengundi dan penyokong bahawa hanya jalan tengah dalam politik yang akan
menjamin masa depan negara, dan hanya Pakatan Harapan yang dapat berada
di jalan tengah.
Gabungan pembangkang yang rapuh,
iaitu PAS, UMNO, MCA dan MIC, tidak berada di landasan sederhana. Mereka
memilih laluan ekstrem untuk meraih sokongan masing-masing tetapi cara
mereka bakal menghancurkan masa depan negara. Parti-parti lain seperti
Gerakan pula cuba bangkit semula setelah ditolak oleh rakyat dalam PRU
yang lalu manakala Berjasa hanya membenarkan diri dipergunakan oleh
anasir-anasir ekstrem.
Kita perlu ingat bahawa Pakatan
Harapan tidak mungkin membentuk kerajaan tanpa kerjasama Tun Dr Mahathir
Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.
Malah tanpa korupsi Najib Razak, mustahil rakyat menolak BN untuk
memilih Pakatan Harapan. Tanpa gabungan politik jalan tengah Pakatan
Harapan, Najib akan kekal di tampuk kuasa, dan rasuah serta kleptokrasi
akan terus berleluasa tanpa batasan.
Namun hari ini, hanya 18 bulan sahaja
selepas mendapat mandat, Pakatan Harapan menjadi sasaran maki-hamun
pelbagai pihak. Sudah tentu keadaan ini diambil kesempatan oleh
pembangkang untuk memarakkan politik perkauman mereka.
Melawan persepsi
Saya merasa empati dengan akar umbi
kita yang dimaki dan diserang oleh pihak lawan. Malah rakan-rakan mereka
juga marah selepas PRU14, semata-mata persepsi bahawa prestasi Pakatan
Harapan mengecewakan. Situasi kini serupa dengan 2016 apabila ramai
antara kita merasa tidak ada harapan lagi selepas perpecahan Pakatan
Rakyat. Ahli-ahli kita juga dimaki oleh orang ramai. Walau bagaimanapun,
saya memohon agar saudara dan saudari sabar dan mempunyai keyakinan
terhadap pimpinan parti yang tetap berusaha untuk berjuang atas
prinsip-prinsip parti.
Benarkah kita gagal? Atau kita sendiri hilang keyakinan kerana diserang dengan pelbagai fitnah pembangkang?
Saya tidak menafikan bahawa memang
ada kelemahan tetapi sudahkah sampainya masa untuk menolak kerajaan
Pakatan Harapan? Adilkah jika kita menyamakan prestasi 18 bulan Pakatan
Harapan dengan penguasaan selama 61 tahun oleh Barisan Nasional (dan
dahulunya Perikatan)? Apakah kita lebih percaya kempen fitnah berbanding
usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan, termasuk
usaha membayar semula hutang berbilion ringgit serta ketirisan dan
penyelewengan kerajaan lama?
Namun, walaupun fakta dan kebenaran
berada di pihak kita, masih ramai yang mahu mempercayai naratif yang
berasaskan fitnah dan berita palsu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku
sekarang? Apa faktor-faktor yang menyumbang kepada persepsi dan keadaan
politik yang penuh gelisah ini?
Sentimen sekarang di kalangan ramai
orang Melayu adalah bahawa kerajaan Pakatan Harapan didominasikan oleh
Sdr. Lim Guan Eng dan DAP. Benarkah begitu? Adakah anda rasa DAP
menguasai dan mendominasi pentadbiran negara ini?
Di kalangan masyarakat bukan Melayu,
fitnah yang mereka bawa adalah bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad menguasai
segala-galanya sehingga DAP tidak relevan sama sekali. Benarkah begitu?
Adakah anda rasa DAP tidak mempunyai sebarang tenaga atau kuasa? Adakah
anda rasa kita lemah sehingga tidak berdaya berbuat apa-apa?
Walau apa pun, fitnah yang melahirkan
sentimen-sentimen ini adalah benar atau “real”. Sampaikan sudah ada
sentimen di kalangan ahli DAP yang merasakan mereka tidak mahu lagi
menyokong Bersatu seolah-olah Bersatu adalah musuh. Manakala di kalangan
ahli Bersatu pula, ada yang merasakan DAP sebagai beban kepada mereka.
Apa tidaknya, mereka diejek dan diserang dengan sentimen bahawa DAP
mengancam kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Kesatuan dan perpaduan
Tetapi sedarkah kita bahawa DAP
memerlukan Bersatu dan Bersatu memerlukan DAP untuk menjayakan Pakatan
Harapan dan membina semula Malaysia. Pakatan Harapan adalah gabungan
empat parti, iaitu DAP, Bersatu, Keadilan dan Amanah – hanya dengan
kesatuan dan perpaduan kesemua parti komponen Pakatan Harapan, barulah
kita dapat mewakili semua lapisan dan golongan rakyat.
Kesatuan dan perpaduan inilah yang
amat ditakuti oleh gabungan PAS-UMNO yang turut didukung oleh MCA dan
MIC. Kerana jika Pakatan Harapan bersatu padu, gabungan pembangkang
tidak lagi relevan.
Mengapa mereka tidak akan relevan
jika kita bersatu padu? Kerana hanya Pakatan Harapan, sejak Mei tahun
lalu, mengemukakan pelbagai tawaran dan pelaksanaan idea yang bernas
untuk rakyat dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi.
Kita inginkan semua rakyat berpeluang
menikmati pekerjaan yang baik dengan gaji berpatutan, peluang
perniagaan yang baik dan menguntungkan, pendidikan yang berkualiti,
jaminan keselamatan, kesihatan dan kepentingan bersama lain. Ini sudah
kita janjikan dan sedang kita laksanakan.
Sudah tentu ia tidak boleh
dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun sahaja kerana struktur
pentadbiran negara telah dirosakkan oleh Barisan Nasional, terutamanya
sejak pentadbiran Najib sejak satu dekad yang lalu. Proses reformasi
institusi dan tumpuan jentera kerajaan memerlukan masa untuk
melaksanakannya.
Ini yang sedang dan akan terus
dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Tetapi apa pula yang
dilakukan oleh pembangkang? Adakah mereka mengemukakan idea bernas untuk
kebaikan rakyat?
Tidak! Malah, apabila Belanjawan 2020 disediakan oleh
kerajaan Pakatan Harapan menjadi hadiah untuk rakyat dan golongan
pekerja serta berpendapatan sederhana, apa yang ditawarkan oleh BN dan
PAS? Tidak ada apa-apa. Untuk menyediakan Belanjawan Alternatif pun
mereka tidak mampu.
Politik pembangkang
Jadi apa yang pembangkang buat? Sejak
dulu lagi, senjata mereka adalah politik perkauman. Melalui pelbagai
media dan kaedah, mereka menyebarkan fitnah dan politik benci. Mereka
melaga-lagakan kaum dan agama. Yang sedihnya, ada antara ahli Pakatan
Harapan yang termakan dengan racun politik kotor seperti ini.
Yang saya maksudkan adalah ada antara
ahli Pakatan Harapan yang mahu melawan politik rasis dengan bertindak
secara “api lawan api” atau “fight fire with fire”. Ini akan memburukkan
keadaan. Dan inilah yang dimahukan oleh pihak pembangkang untuk
membuktikan bahawa kita sama seperti mereka.
Hanya politik benci kaum menjadi
permainan mereka. Bayangkan jika mereka kembali berkuasa, apa yang kita
oleh harapkan daripada ideologi perkauman ini? Adakah kembalinya BN
sebagai kerajaan – yang disokong sepenuhnya oleh PAS – akan menjadikan
Malaysia lebih baik daripada hari ini?
Apakah keadilan, kestabilan dan
keharmonian akan wujud jika PAS dan BN dibenarkan berkuasa?
Sebenarnya sentimen di kalangan
Melayu dan bukan Melayu adalah seperti pantulan cermin atau “mirror
reflection”. Jika kita membenarkan emosi menguasai diri, dan jika jalan
ekstrem menjadi pilihan, apakah agaknya kesudahan untuk kita? Apakah
jaminan masa depan untuk DAP?
Sebagai
parti pemerintah, ahli-ahli kita harus memainkan peranan untuk
menjelaskan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan kepada orang ramai
supaya mesej kerajaan dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat
secara berkesan. Akar umbi parti adalah pengantara yang amat penting
bagi kerajaan dengan rakyat. Pemimpin parti memerlukan akar umbi untuk
menyampaikan mesej dan sentimen masyarakat kepada mereka supaya dapat
terus memperbaiki segala usaha yang dijalankan.
Dalam era kebebasan media ini,
kebanyakan media masih di tahap pemikiran lama. Pemilik media masih
memihak kepada rejim lama yang diketahui korup, atau setidak-tidaknya
masih beroperasi dalam kerangka pemikiran perkauman. Kebebasan ini telah
disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang keliru dengan amalan
kebebasan dan sikap bertanggungjawab.
Selain kelemahan amalan media hari
ini, tidak mustahil juga wujudnya elemen “deep state” atau kuasa gelap
dalam sistem pentadbiran yang cuba menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan
dari dalam. Masih ada pihak-pihak yang berjiwa perkauman yang tidak
senang melihat usaha Pakatan Harapan yang mahu rakyat bersatu padu tanpa
mengira kaum, agama dan wilayah.
Mencari penyelesaian
Jadi, apakah jalan penyelesaian untuk
Malaysia yang kita cintai ini? Bagi saya, jawapannya ada dalam diri
setiap rakyat yang sayangkan negara dan mahu melihat tanah air kita
aman, makmur dan harmoni. Yang saya maksudkan adalah perlunya satu usaha
semua pihak untuk membina jalan tengah.
Yang diperlukan adalah objektif
bersama. Sebelum PRU14 kita mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk
menumbangkan Najib. Selepas pilihan raya, kita memerlukan naratif dan
matlamat bersama untuk membina negara kita untuk masa depan.
Dalam usaha membina Malaysia, apa
yang penting ialah kita mesti sedar bahawa walaupun wujud perbezaan
budaya, bahasa dan etnik, sebenarnya hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia
hampir sama, iaitu kita mahu kehidupan yang lebih baik, kita mahu
ekonomi yang kukuh, kita mahu keadaan politik yang stabil yang mampu
menyediakan pekerjaan dan peluang ekonomi. Kita tidak mahu negara
menjadi kacau-bilau dan kita tidak suka sikap benci-membenci antara satu
sama lain.
Parti-parti Pakatan Harapan mesti
menerima hakikat bahawa kita tidak akan menjadi lebih Melayu daripada
UMNO, lebih Islam daripada PAS, lebih Cina daripada MCA, dan lebih India
daripada MIC. Kita akan lebih kuat jika kita berada di jalan tengah
untuk memenuhi harapan rakyat Malaysia yang hampir sama aspirasi kita.
Pilihan berada di tangan kita, sama
kita mahu menjadi kerajaan separuh penggal atau melebihi satu penggal.
Jika kita membenarkan emosi menguasai diri kita – dan mula menyerang
sesama parti – ia bererti kita memang mahu menjadi kerajaan separuh
penggal. Apabila ini berlaku, Pakatan Harapan akan pecah belah. Malah
lebih teruk lagi, PAS dan BN boleh berkuasa jika kita mengalah di
separuh penggal. MCA juga memainkan peranan dalam membantu PAS dan UMNO
memecah belahkan kerajaan Pakatan Harapan.
Namun, sama ada kita kekal sebagai
kerajaan untuk jangka masa yang lebih lama, ia terpulang kepada diri
kita sendiri. Jika kerajaan Pakatan Harapan pecah dan hancur separuh
jalan, kesannya bukan setakat kepada DAP atau parti-parti komponen. Apa
yang amat saya bimbang ialah nasib Malaysia sendiri. Jika kita tewas,
negara akan kacau-bilau kerana pembangkang tidak ada sebarang
perancangan serius untuk mentadbir. Senjata mereka hanyalah politik
benci seperti yang kita lihat hari ini. Apakah mereka mampu mentadbir
negara dengan politik benci ini?
Pembangkang hanya mampu menganggu dan
memburukkan keadaan. Mereka tidak berminat untuk membina negara. Mereka
hanya pentingkan diri dan para pemimpin mereka sahaja. Malah, jika
negara ini terjemurus ke dalam kancah huru-hara pun mereka tidak peduli
asalkan mereka dapat berkuasa kembali.
Yakinlah, DAP teguh berpadu bersama
Pakatan Harapan kerana gabungan politik kita adalah tonggak kestabilan.
Kita bukan lemah apabila kita berpegang kepada prinsip demokrasi dan
keadilan. Malah, kita kukuh dan gagah apabila kita menolak politik
benci, rasuah dan salah guna kuasa. DAP berpegang teguh kepada ideologi
sosial demokrasi, dan akan terus bersolidariti bersama rakan-rakan
seperjuangan kita dalam Pakatan Harapan.
Jika kita mensia-siakan peluang ini
semata-mata kerana terpengaruh dengan suara-suara dalam media sosial, ia
bererti kita akan membiarkan diri dan parti kita dipermainkan oleh
pihak lawan. Sedarlah, kerajaan Pakatan Harapan bersungguh-sungguh dalam
usaha reformasi. Mungkin kerana kelemahan media atau kurangnya
keberkesanan komunikasi menyebabkan usaha murni tenggelam kerana
propaganda perkauman.
Sebagai contoh, seperti yang
disebutkan awal tadi, walaupun Belanjawan 2020 dipuji oleh semua pihak,
ia jarang menjadi topik perbualan kerana ditenggelamkan oleh emosi dan
api perkauman. Jika kita sendiri gagal berkongsi berita baik Belanjawan
2020, dan sebaliknya terikut-ikut dengan sentimen perkauman yang
ditimbulkan oleh pembangkang, ia seperti kita menembak kaki sendiri.
Peranan penting Johor
Negeri Johor amat penting bagi
kerajaan Pakatan Harapan. Pada PRU yang lalu, kita menang 18 daripada 26
kerusi parlimen Johor. Pakatan menang 98 kerusi parlimen di
semenanjung, Hanya dengan kemenangan PH di Johor, kita berjaya
menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru menggantikan Barisan Nasional.
Amat penting untuk kita mempunyai
kerangka idea yang baru bagi negeri Johor. Saya menyeru agar Kerajaan
Persekutuan menitikberatkan Johor Selatan sebagai gerbang ekonomi yang
utama di Malaysia. Rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum
dan wilayah menetap di Johor Selatan untuk peluang pekerjaan yang lebih
lumayan. Sebagai salah satu penjana ekonomi utama negara, Johor
seharusnya mendapat perhatian dan inisiatif pembangunan yang setimpal
dari kerajaan persekutuan.
DAP Johor menyokong penuh pengumuman
untuk meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) yang
menghubungkan Johor Bahru dan Singapura. Kami yakin projek ini dapat
mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Linkedua. Kami
telah membangkitkan isu kesesakan ini serta mengemukakan cadangan
penambahbaikan sejak 2014. Sehubungan dengan itu, DAP Johor menjunjung
kasih atas pekenan Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum
Sultan Iskandar untuk menyerahkan tanah di Bukit Chagar kepada Putrajaya
tanpa kos untuk menjayakan projek RTS ini demi kesejahteraan rakyat.
Pengurangan kos bagi projek ini sebanyak 36 peratus kepada RM
3.16billion berbanding harga asal RM4.93 billion turut membuktikan
kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan ketirisan dan
memastikan perbelanjaan berhemah bagi projek-projek besar.
Walaupun Johor sering dilihat sebagai
negeri yang maju oleh perancangan Kerajaan Persekutuan, pendekatan yang
berbeza diperlukan untuk kawasan Johor Tengah dan Johor Utara yang
terdiri daripada kawasan desa dan luar bandar. Fokus pembangunan dan
dasar kerajaan perlu dilihat dari perspektif yang berlainan daripada
Johor Selatan.
Saya menyeru agar ahli-ahli DAP di
kawasan Johor Tengah dan Johor Utara mengambil inisiatif untuk memacu
pembangunan ekonomi tempatan melalui usaha komuniti setempat. Satu usaha
yang harus dipuji adalah inisiatif Ketua Masyarakat Kampung Baru Grisek
yang sedang menjalankan usaha pembangunan setempat dengan kerjasama
seluruh warga kampung dan sokongan daripada ADUN mereka yang juga
merupakan Menteri Besar Johor.
Akhir kata, Pakatan Harapan akan
terus berjuang untuk mengekalkan kestabilan, menjamin keamanan dan
membawa kemakmuran. Kita mahu membina Malaysia melalui pembinaan jalan
tengah. Kita akan tegas menolak politik ekstrem yang dibawakan oleh
pembangkang. Masa depan Malaysia lebih terjamin bersama Pakatan Harapan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan