Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai

Oleh Haris Zalkapli

Di hujung paling selatan Eurasian landmass, Piluhan Raya Kecil Tanjung Piai berakhir semalam, tanpa memuaskan hati hampir semua pihak, termasuk (terutamanya?) yang menang.

Walaupun kemenangan di pihak BN, keresahan orang Melayu tidak dapat disembunyikan memandangkan calon yang menang ialah dari MCA yang sudah beberapa tahun tidak menunjukkan sikap sebagai parti komponen yang setia.

Sepanjang kempen, dua isu besar meletup dalam berita politik negara, kedua-duanya melibatkan pergeseran antara DAP dengan PPBM, memberi gambaran pergeseran teruk dalam Pakatan Harapan dalam isu perkongsian kuasa dan transisi ke perdana menteri yang katanya sudah dijanjikan. Maka jelas bahawa isu terbesar Tanjung Piai ialah persaingan intra-elit dalam PH, mengatasi semua isu lain termasuk (terutamanya?) kebajikan rakyat Tanjung Piai.

Boleh dikatakan, satu pendorong utama dalam pengundian ialah berkait kepentingan Cina, yang dikatakan disekat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Satu yang dijadikan isu ialah perhimpunan Maruah Melayu yang digerakkan oleh kelompok Mahathir tidak lama dulu.

Seperti dijangka, kekalahan PH segera diangkat sebagai referendum menolak Mahathir, bermakna peralihan perdana menteri sedang didesak agar disegerakan. Pertembungan intra-elit semakin jelas dalam kalangan parti-parti kerajaan, yang disatukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu atas kepentingan kuasa mengatasi hal lain terutama kebajikan rakyat. Perkiraan pragmatik ini sedang berdepan ujian getir pasca-Tanjung Piai.

Perkembangan ini menuntut perhatian dan penelitian yang lebih melibatkan persaingan intra-elit, kepentingan dan perkiraan merentasi garis parti seperti dilakukan kaum Cina, dan paling utama, satu langkah yang berupaya membawa perubahan baharu agar kestabilan dapat dicapai, dan proses pentadbiran negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berdasarkan perkiraan-perkiraan sewajarnya tanpa terlalu kuat dipengaruhi perkiraan politik tidak matang seperti kepentingan pendana dan pendesak, dan politik dendam pemegang kuasa.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan