‘Solo lawan puak DAP’, MB Perak jawab hari ini, kata PPBM

GEORGE TOWN, 11 Nov — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu hari ini bagi mendengar penjelasan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung video tular rakaman perbualannya ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Setiausaha Agung PPBM Datuk Marzuki Yahya berkata mesyurat itu diadakan bagi meminta Ahmad Faizal mengemukakan alasannya terhadap perkara yang diperkatakan semasa kempen tersebut.
“Ya sudah semestinya kita akan bertanya sebab-sebab yang dimaksudkan Menteri Besar Perak esok [hari ini].

“Bagi saya perkara-perkara macam ini bukanlah suatu perkara yang besar, di mana sebelum ini pun ada juga kenyataan-kenyataan yang  agak sensitif yang dilontarkan bukan sahaja dari PPBM tetapi juga daripada rakan-rakan kita yang lain umpamanya Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu, Ronnie Liu baru-baru ini.

“Maka kesemua ini kita akan cuba bendung dan kawal terutama pemimpin-pemimpin kita di peringkat negeri dan juga peringkat bahagian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah peringkat negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia di sini semalam.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata pada pengamatannya, apa yang cuba disampaikan oleh menteri besar perak itu adalah lain tidak lain adalah berhubung pengalamannya.

“Jadi ini bukan bererti kalau kita bercerita tentang pengalaman, kita hendak mencari masalah dan saya tidak melihat ini masalah yang besar dan fokus kita adalah PRK Tanjung Piai. Pada saya ia bukan kesalahan besar,” katanya.

Sementara itu berkenaan PRK  Tanjung Piai, Marzuki menzahirkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan dengan kemenangan akan beroleh kepada calon PH.

“Saya melihat ada satu usaha yang begitu baik dari rakan-rakan kita di sana bagi memastikan kemenangan di Tanjung Piai.

“Jika di peringkat awal kita agak kebelakang tetapi hari ini kita dapat lihat perubahan dan sokongan kepada Pakatan Harapan dilihat begitu positif, saya yakin penduduk di Tanjung Piai akan memberi sokongan kepada calon kita,” katanya.

PRK kerusi parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Ang Chuan Lock; dan seorang ahloi perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan