Tiada gabungan majoriti

KUALA LUMPUR: Kemelut politik negara yang masuk hari empat semalam belum terungkai dengan tanda tanya siapa bakal Perdana Menteri kelapan untuk membentuk kerajaan belum terjawab.

Kini, semua terarah kepada budi bicara Yang di- Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menentukan siapa paling layak menjadi Perdana Menteri selepas baginda selesai bertemu 222 Ahli Parlimen, kelmarin dan semalam.

Berdasarkan percaturan jumlah kerusi dan kenyataan beberapa gabungan parti politik ketika ini, tidak nampak ada gabungan parti yang memperoleh mandat 112 Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

Kelmarin, Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan tanpa mengemukakan nama mana-mana individu sebagai calon Perdana Menteri, selain menolak cadangan penubuhan kerajaan campuran yang disertai DAP.

Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysi (BERSATU) dan kumpulan 10 Ahli Parlimen bebas diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal menerajui kerajaan, manakala Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai sokongan 92 Ahli Parlimen mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyelesaian lain yang kuat didebat ketika ini adalah mengenai pembentukan kerajaan campuran yang tidak memihak mana-mana parti politik.

Syor itu disuarakan Dr Mahathir dalam perutusan disiarkan secara langsung dari Putrajaya semalam, bersama kesediaannya kembali memimpin negara jika masih mendapat sokongan.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara akan diutamakan,” katanya.

Sambil memohon maaf kerana peletakan jawatannya mencetuskan keadaan politik negara yang kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan masyarakat, beliau menyatakan kesediaan kembali sebagai Perdana Menteri: “Jika benarlah saya masih disokong, saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih”.

Bagaimanapun, Anwar pada sidang medianya selepas itu mengumumkan dirinya dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden PH menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun Tun tidak bersetuju hadir. Justeru, Majlis Presiden memutuskan calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membacakan kenyataan media.

PH ditubuhkan hasil gabungan empat parti, iaitu DAP, PKR, BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum BERSATU menerusi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin mengumumkan keluar pakatan berkenaan, disusuli kenyataan Dr Mahathir meletak jawatan pengerusi parti terbabit.

Seperti juga BN, PAS dan PBRS, Anwar yang juga Ketua Umum PH juga menyerahkan keputusan pelantikan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan baharu sepenuhnya kepada pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut beberapa peguam perlembagaan pelantikan Perdana Menteri tidak tertakluk kepada parti yang mempunyai majoriti atau mempunyai kerusi yang banyak, sebaliknya mana-mana ahli Dewan Rakyat boleh dilantik asalkan mendapat sokongan di Parlimen.

Pengumuman Ahli Parlimen Port Dickson itu meletakkan beliau dan Dr Mahathir sebagai calon pilihan memimpin negara andai salah seorang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Pembentukan kerajaan campuran juga masih boleh berlaku jika Anwar dan Dr Mahathir tidak mendapat jumlah sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Setakat ini, semua 26 Ahli Parlimen BERSATU dan kumpulan bebas diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disokong 10 Ahli Parlimen PKR yang dipecat atau keluar PKR, Isnin lalu, serta dilapor menyatakan hasrat menyertai BERSATU menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. Turut menyokong beliau ialah Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang ada sembilan kerusi dan Gabungan Parti Sarawak (18).

Andai Dr Mahathir mendapat sokongan menjadi Perdana Menteri, kerajaan campuran yang ingin ditubuhkan beliau tidak akan disertai UMNO dan PAS yang memberi syarat pembentukan gabungan baharu tidak membabitkan DAP atau Parlimen dibubarkan jika kerajaan perpaduan mengambil DAP sebagai salah satu parti gabungan.

Bagi kerjasama di antara BERSATU dan UMNO pula, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, sayap itu sependirian dengan Dr Mahathir yang tidak akan bekerjasama dengan parti di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.

Serentak itu, cadangan Dr Mahathir membentuk kerajaan campuran masih ada harapan, tetapi hanya dianggotai PH, BERSATU, WARISAN dan GPS.

Penganalisis politik memberitahu BH, pembentukan kerajaan campuran seperti dicadangkan Dr Mahathir adalah langkah terbaik bagi menangani kemelut politik melanda negara ketika ini.

Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata jika sistem kerajaan campuran berjaya dilaksanakan, kerajaan boleh fokus kepada isu ekonomi dan sosial serta berhenti daripada menumpukan kepada isu politik saja.

“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), suasana politik sentiasa bercelaru dan tidak pernah selesai, tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang. Kita sepatutnya menyokong hasrat Dr Mahathir. Semua Ahli Parlimen perlu berjiwa besar dan melupakan sengketa politik, beri tumpuan kepada pembangunan dan masalah rakyat,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata cadangan Dr Mahathir jalan terbaik untuk meredakan kegelisahan politik.

“Beberapa negara pernah dan melaksanakan kerajaan campuran, antaranya Australia, New Zealand dan beberapa negara Afrika. Bagi Malaysia sebelum ini (1969), ia ditubuhkan bagi keselamatan tetapi dalam keadaan sekarang, ia perlu untuk memastikan ekonomi tidak tergugat dan rakyat diutamakan,” katanya.

Sementara itu, urusan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara oleh 222 Ahli Parlimen selesai semalam.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan