Jangan tangguh bayar bil elektrik, bimbang tunggakan jadi beban

KUALA LUMPUR, — Aplikasi dan portal Tenaga Nasional Berhad (TNB), myTNB mencatat hampir 50 peratus peningkatan pendaftaran akaun pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lepas.

Ketua Pegawai Runcit TNB Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi penawaran myTNB, ia saluran alternatif kepada 9.28 juta pelanggan TNB untuk membayar bil dengan selamat tanpa perlu keluar dari rumah.

“Pendaftaran akaun pelanggan menerusi myTNB telah meningkat 47.8 peratus kepada 3,331,156 bermula 18 Mac sehingga 3 Mei berikutan ramai pelanggan yang duduk di rumah memilih untuk melakukan pelbagai transaksi berkaitan TNB menggunakan portal dan aplikasi itu.
“Peningkatan ini amat memberangsangkan,” katanya.

Ketika ini, 125 Kedai Tenaga dan kios pembayaran layan diri di seluruh negara ditutup buat sementara waktu sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah sebelum ini, TNB turut mengumumkan penangguhan pembacaan meter serta penghantaran bil ke premis akan dihentikan sementara waktu, jadi penggunaan elektrik pelanggan dikira berdasarkan penggunaan bulan sebelumnya (bil anggaran), katanya.

Megat Jalaluddin turut menasihat pelanggan agar segera menjelaskan bil mereka dan tidak berlengah sehingga tempoh PKP tamat bagi mengelakkan tunggakan bil yang membebankan.

Selain portal dan aplikasi mudah alih myTNB, pelanggan juga boleh menjelaskan bil mereka melalui platform perbankan internet sekiranya mereka telah mendaftar bil mereka sebagai pembayar selain pembayaran dalam talian melalui JomPAY.

Beliau berkata, TNB sedia maklum terhadap kekangan yang dihadapi oleh pelanggan tanpa telefon pintar atau kemudahan internet dan justeru pembayaran secara tunai masih boleh dibuat di beberapa lokasi terpilih seperti pejabat pos, Petronas Kedai Mesra serta kedai serbaneka terpilih. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan