Mengapa slogan Negara Islam tidak lagi kedengaran?

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

Semasa mencari buku di rak terserempak dengan sebuah buku lama bertajuk “Negara Islam Antara Realiti Dan Cabaran (2004), Dewan Ulama Pas Pusat. Oleh kerana bidang perlembagaan ini adalah bidang kajian di UIA dahulu maka secara automatik tangan mengambil buku ini dan membelek isi kandungannya.

Antara yang pernah menjadi polemik dahulu adalah Malaysia ini negara Islam atau negara umat Islam atau negara sekular. Apakah pula isi kandungan negara Islam?

“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di dalam bukunya “Sistem Pemerintahan Negara Islam”, meletakkan prinsip yang utama dalam sesebuah Negara Islam ialah hanya hukum Allah yang ditegakkan, syura, keadilan, kebenaran (al-haq), kebebasan dan persamaan” (hlm 20).

“Perlu diketahui bahawa syirik yang menjadi dosa paling besar dan sangat dimurkai itu bukan sahaja menyembah berhala, tetapi juga memuja manusia, malaikat, jin dan makhluk-makhluk lain yang seperti menyembah, memuji dan memuja Tuhan, menerima dan memakai hukum dan undang-undang ciptaan manusia mengangkatnya setaraf atau ideologi ciptaan manusia dan berjuang untuk menegakkannya.” (hlm 22)

“Tasawwur Negara Islam menurut Pas ialah negara yang menghayati tuntutan Islam yang sebenar…Antara gambaran negara Islam …3.1.6 – Dengan perlaksanaan Hukum Allah SWT, termasuk hukum hudud,..” (hlm 56)

“Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, negara hendaklah mengucap dua kalimah syahadah melalui peruntukan perlembagaan dengan cara memasukkan peruntukan khusus bahawa undang-undang tertinggi dalam negara ialah Undang-Undang Islam. Oleh kerana Malaysia tidak meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi negara membuktikan ianya bukan sebuah negara Islam.” (hlm 69)

Ulasan:

Satu ketika dahulu ramai pihak yang begitu taksub dengan slogan Negara Islam. Kini slogan tersebut sudah tidak kedengaran malah hendak disebut pun sekarang sudah jadi segan dan kesipuan. Kalaulah negara Islam itu akidah, sama seperti mengucap dua kalimat syahadat maka wajiblah menyebut perkataan ‘negara Islam’ itu setiap hari. Tambahan lagi, kalau ikutkan tafsiran di atas maka Malaysia bukanlah Negara Islam dan umat Islam sama sekali tidak boleh bersekongkol menjadi menteri bagi sebuah negara bukan Islam, apatah lagi ianya dianggap sebagai syirik sama seperti menyembah berhala.

Bukankah undang-undang sekarang ini sama seperti undang-undang dahulu? Bukankah perlembagaan sekarang ini sama seperti perlembagaan tahun 1957 yang didrafkan oleh Lord Reid?

Bukankah perlembagaan Malaysia tidak pernah disyahadahkan? [Konsep negara kena bersyahadah juga konsep yang aneh kerana negara tidak ada taklif untuk ke syurga atau ke neraka.]

Kesimpulan, beberapa petikan di atas menunjukkan konsep negara Islam yang dibawa itu tidak cerap ke bumi. Ianya hanya indah ditulis, dibahas, diseminarkan dan dioles untuk berceramah. Buktinya, ramai yang mendokong konsep negara Islam seperti dalam buku di atas itu kini telah menjadi menteri dan timbalan menteri. Jika ianya berdosa sama seperti syirik menyembah berhala maka tentu sekali mereka tidak sanggup untuk sama-sama dalam mengekalkan ‘perlembagaan penjajah’ seperti sekarang.

Justeru, kesilapan pemahaman terhadap “Negara Islam” perlu diperbetulkan kerana jika ianya tidak diperbetulkan boleh menyebabkan ramai orang terpesong daripada makna sebenar pemerintahan Islam dan bagaimanakah sepatutnya seorang Muslim itu berfungsi dalam sesebuah negara sebagai pemimpin. Secara praktiknya, politik itu anjal dan Islam tidak pernah meletakkan apa-apa model yang Islamik sama ada sistem khalifah, monarki atau demokrasi. Sesuatu negara tidak perlu dijenamakan sebagai negara Islam atau negara bukan Islam.

Dalam hal ini memadailah kita menggunapakai standard bagi orang yang menjadi pemimpin seperti yang ditetapkan dalam Surah Al-Hajj: 41 “Iaitu mereka yang jika kami berikan mereka kekuasaan di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebajikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan