Loke harap PN teruskan agenda ketatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke menyuarakan harapan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan usaha mengetatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk.

Loke berkata, kabinet PH sebelum ini secara berprinsip telah setuju untuk berbuat demikian dengan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi tidak sempat membawanya ke Parlimen susulan pembubaran kerajaan PH.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengulangi pendiriannya agar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda bagi meningkatkan hukuman berkenaan pemandu mabuk yang terlibat dengan kemalangan.

“Saya bersetuju dengan pendirian Tuan Ibrahim. Itu sebabnya saya menyahut seruannya Januari lepas dan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada 29 Januari 2020.

“Kabinet ketika itu sudah bersetuju secara prinsip untuk mengetatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menggubal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya tak sempat untuk membentangkan pindaan RUU tersebut di Parlimen namun saya berharap agenda itu akan diteruskan oleh kerajaan sekarang,” katanya di Facebook.

Terdahulu hari ini, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS berkata akta tersebut perlu dipinda bagi mengatasi masalah individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian orang lain.

Kenyataan itu susulan anggota polis Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk, dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang.

Mengulas lanjut, Loke yang juga setiausaha organisasi DAP berkata semua pihak perlu mengambil pendekatan “sifar toleransi” dalam isu tersebut.

“Semua pihak perlu mengambil pendirian ‘zero tolerance’ terhadap pemandu mabuk. Noktah.

“Ini isu nyawa manusia yang merentasi pendirian politik. Saya akan bangun menyokong pindaan RUU tersebut apabila dibawa ke sidang Parlimen kelak,” katanya lagi, yang turut merakmakan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Safwan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan