Pulau Pinang benarkan solat berjemaah, Jumaat dan Aidiladha di masjid bermula hari ini

Berkuatkuasa hari ini 24 Jun 2020 Pulau Pinang mengumumkan bahawa solat waktu berjemaah, jumaat dan Aidiladha telah dibenarkan mengikut keluasan ruang solat masjid masing-masing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, setelah meneliti dan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri maka kadar bilangan jemaah adalah mengikut ruang keluasan solat masjid dan surau serta kemampuan pihak pengurusan dengan mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.

Malah tegasnya, ia terbuka kepada ahli kariah dan orang awam dan solat jenzah pula hanya dibuka kepada ahli keluarga dan ahli kariah sahaja.

“Jemaah berusia kurang daripada 15 tahun tidak dibenarkan dan keutamaan jemaah adalah yang berusia 15 tahun hingga 70 tahun.

“Manakala jemaah berusia 71 tahun dan keatas yang sihat boleh hadir solat, namun begitu ia tidak lah digalakkan.

“Sementara itu jemaah yang hadir hendaklah tidak mempunyai sebarang gejala Covid-19 seperti demam, batuk dan selsema serta mereka yang mempunyai gejala berkenaan dan berisiko tinggi mudah mendapat jangkitan penyakit seperti warga emas, penghidap penyaklit asma, kronik atau seumpamanya tidak dibenarkan hadir,” jelas beliau.

Tambahnya, kuliah atau ceramah dibenarkan selepas solat fardhu Maghrib hingga waktu Isya setiap hari.

Sehubungan itu katanya, ceramah dan kuliah selepas solat fardhu Subuh dan Asar hanya dibenarkan setiap hari Sabtu dan Ahad dan terhad selama 20 minit sahaja.

“Penceramah yang dijemput haruslah mereka yang mempunyai tauliah mengajar dan bermastautin di Pulau Pinang sahaja serta ruang musafir khas dibenarkan untuk masjid dan surau bermula jam 6 pagi hingga 9.30 malam.

“Kadar bilangan jemaah Jumaat mengikut kadar bilangan mengikut keluasan ruang masjid dan surau Jumaat serta kemampuan pihak pengurusan mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter dan tidak kurang 40 orang jemaah yang memenuhi syarat wajib Jumaat.

“Bagi solat sunat Aidiladha pula jemaah berstatus warganegara Malaysia yang terdiri dari kalangan ahli kariah dan orang awam adalah dibenarkan, manakala mereka yang sihat tetapi mempunyai kontak rapat dengan individu bergejala seperti Covid-19 dan mudah mendapat jangkitan penyakit seperti warga emas, penghidap penyakit asma, kronik atau seumpamanya tidak dibenarkan hadir,” ujar beliau.

Untuk Ibadah Korban pula katanya, ia dibenarkan dan hendaklah mematuhi ‘SOP” yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara seperti merekod kehadiran masuk ke masjid dan surau Jumaat, mengambil suhu badan, menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter di dalam dan luar masjid maupun surau serta menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair sanitasi tangan.


Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan