Dr Mahathir tawar jadi timbalan menteri, kata Husam


HUSAM Musa mendedahkan beliau pernah ditawarkan menjadi timbalan menteri oleh Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas naib presiden Amanah itu berkata beliau menolak tawaran tersebut dan hanya meminta diberi peranan untuk memegang jawatan dalam badan kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC).

“Saya lebih seronok untuk pegang jawatan yang lebih kecil kerana boleh tengok hasil.

“Semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri beliau pernah telefon saya kata nak lantik saya sebagai timbalan menteri.

“Tapi saya tolak dengan baik, saya cakap bagi saya pegang jawatan dalam GLC atau badan kerajaan yang boleh saya tunjuk hasil apa yang boleh (jalankan tugas),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam satu program bual bicara Sinar Harian yang disiarkan langsung di media sosial petang ini.

Ia berkaitan saranan seorantg penonton yang mahu beliau memegang jawatan presiden Amanah menggantikan Mohamad Sabu.

Mengulas perkara itu, Husam berkata beliau tidak menceburi politik untuk meraih jawatan dan mahu Mohamad Sabu kekal memimpin parti tersebut.

“Kalau saya jadi timbalan menteri saya tidak boleh tengok hasil prestasi secara terperinci.

“Tapi Abang Mat seorang yang gigih biarlah dia jadi presiden, saya ini bawa bola tepi padang pun tak apa,” katanya merujuk kepada presiden Amanah Mohamad Sabu.

Husam turut menafikan meletak jawatan sebagai tanda bantahan atau tidak sebulu dengan Mohamad.

The Malaysian Insight pada Isnin lalu melaporkan Husam menyerahkan surat peletakan jawatannya dua minggu lalu.

Mohamad pada Selasa turut menafikan pengeserannya dengan Husam.

Beliau juga mengumumkan Husam akan dilantik menjadi penasihat tiga biro – pilihan raya, komunikasi dan strategi parti selain memimpin gerak kerja pilihan raya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan