25,000 anggota Pengawal Kebangsaan kawal Washington


WASHINGTON: Pentagon mengerahkan seramai 25,000 anggota Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) ke pusat pentadbiran kerajaan sebagai langkah keselamatan dan mengawal majlis pelantikan Joe Biden sebagai Presiden ke-46.

Biro Pengawal Nasional AS dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu ditingkatkan berbanding 21,000 anggota yang dibenarkan sebelum ini, menurut laporan agensi berita CNN.

"Setiap negeri, wilayah dan daerah Columbia akan mempunyai anggota Pengawal Kebangsaan yang menjalankan operasi sokongan keselamatan majlis perasmian itu," katanya.

Jabatan Pertahanan sebelum ini memberitahu anggota Pengawal Kebangsaan berkenaan akan turut dilengkapi senjata memandangkan menjalankan operasi sokongan keselamatan di bangunan Capitol di Washington menjelang majlis angkat sumpah pada Rabu ini.

Jurucakap Pengawal Nasional, Kapten Chelsi Johnson berkata, langkah itu dilakukan selepas diminta oleh pihak berkuasa Persekutuan dan dibenarkan oleh Setiausaha Tentera AS, Ryan McCarthy.

Sejak Khamis lalu, seramai 7,000 anggota Pengawal Kebangsaan beberapa negeri sudah ditempatkan di sekitar ibu kota AS.

Malah, dilaporkan, jumlah itu dijangka akan bertambah tiga kali ganda dalam beberapa hari akan datang.

Langkah menambah anggota pasukan keselamatan itu sebagai persiapan untuk mencegah sebarang insiden tidak diingini berlaku lagi selepas kejadian rusuhan di Capitol minggu lalu.

Sebelum ini, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menerima maklumat mengenai beberapa 'protes bersenjata' dirancang untuk dianjurkan di semua 50 bangunan capitol negeri dan di bangunan Capitol pada masa akan datang. - AGENSI

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan