Penemuan vaksin bukan lesen abai SOP, norma baharu


Oleh Prof Madya Dr Muhd Firdaus Che Musa dan Dr Ahmad Badruddin Ghazali -

 Perkhabaran mengenai penemuan vaksin COVID-19 tidak seharusnya dijadikan batu loncatan untuk mengabaikan peraturan dan norma baharu yang ditetapkan.

Masyarakat harus sedar vaksin tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal.

Realitinya, walaupun vaksin sudah diperoleh, virus akan terus kekal dalam masyarakat untuk satu tempoh tertentu sehinggalah imuniti kelompok diperoleh.

Dalam kesibukan berbicara mengenai penemuan vaksin COVID-19, tahap keselamatan dan keupayaan vaksin masih diragui serta dipertikai beberapa pihak terutamanya keberkesanan terhadap mutasi baharu virus ini.

Perlu diingat, proses penghasilan vaksin dilakukan dengan begitu rapi dan tertakluk peraturan kebangsaan serta antarabangsa, selain perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan Amalan Pengilangan Baik (GMP). Ini bertujuan memastikan produk dihasilkan berkualiti, selamat dan berkesan untuk digunakan.

Bukan sahaja penghasilannya melalui protokol ketat, malah pengedaran, penyimpanan dan pembuatan semula untuk kuantiti banyak juga dipantau supaya kekal berkualiti serta berkesan.

Antara satu syarikat yang menghasilkan vaksin itu, Pfizer/BioNTech, melalui uji kaji melaporkan vaksin berkesan terhadap mutasi dikesan di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan.

Selain orang awam, agamawan juga melontarkan pandangan mengenai kepentingan vaksin dari sudut agama terutama mengenai status halalnya.

Penganjuran diskusi berkaitan kesedaran, keselamatan dan status halal produk vaksin yang bakal diterima komuniti ini perlu diperluas demi meningkatkan kadar penerimaan rakyat terhadap vaksin demi mencapai imuniti kelompok, seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat daripada terus dicengkam COVID-19.

Imuniti kelompok adalah suatu keadaan di mana sebuah jangkitan tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan satu kelompok masyarakat apabila sebahagian besar anggota masyarakat diimunisasi dan terlindung daripada jangkitan.

Cara terbaik untuk mencapai imuniti kelompok adalah melalui vaksinasi. Apabila peratusan penduduk diimunisasi mencapai kadar ditetapkan untuk sesuatu penyakit, ia menyebabkan penyakit berjangkit sukar merebak.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Disember lalu, kadar sesuai untuk imuniti kelompok bagi COVID-19 masih belum diketahui dan memerlukan kajian lanjut.

Disebabkan kadar jangkitan sesebuah negara di bawah 10 peratus daripada jumlah rakyatnya, pakar meletakkan kadar antara 60 hingga 80 peratus mencukupi buat masa ini untuk mengekang penularan virus ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula menyasarkan program vaksinisasi meliputi 70 hingga 80 peratus populasi negara ini.

Pentingnya imuniti kelompok untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi terhadap penyakit berjangkit, tetapi tidak sesuai diberi imunisasi melalui vaksin.

Golongan seperti bayi pramatang, warga emas dan lain-lain pesakit kronik bakal terlindung daripada wabak meskipun mereka tidak divaksin.

Bagaimanapun, pencegahan kesihatan awam diamalkan berteraskan prosedur operasi standard (SOP) harus diteruskan seperti biasa walaupun sudah mendapat vaksin. Ini kerana proses mendapat imuniti kelompok mengambil sedikit masa.

Kegusaran terhadap keberkesanan vaksin dan penolakan vaksin oleh sesetengah masyarakat membolehkan virus terus kekal untuk tempoh lama. Oleh itu, amalan norma baharu harus diteruskan.

Kesimpulannya, suntikan vaksin adalah suatu keperluan dan mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah pandemik ini.

Bagaimanapun, pencegahan kesihatan awam diamalkan kini harus diteruskan seperti biasa walaupun sudah mendapatkan vaksin, memandangkan proses vaksinisasi dan kadar untuk mencapai imuniti kelompok mengambil masa.

Diharapkan suntikan vaksin dan imuniti kelompok mampu menyumbang kepada kebaikan semua pihak serta memberi impak positif untuk melandaikan kembali lengkuk penularan jangkitan COVID-19, sekali gus mengurangkan kadar kematian di negara ini.

Muhd Firdaus dan Ahmad Badruddin adalah Pensyarah di Kulliyyah Pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan