UMNO putuskan 'nasib' perhimpunan agung minggu ini

 


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perintah darurat seluruh negara sehingga Ogos depan memaksa UMNO memikirkan semula tarikh perhimpunan agungnya yang dijadualkan akhir bulan ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti itu perlu meneliti semula keputusan awal dibuat sebelum ini yang menetapkan perhimpunan agung pada 31 Januari ini.

Katanya, UMNO juga perlu menilai perkembangan semasa yang berlaku dalam waktu terdekat ini sebelum membuat keputusan muktamad.

"Kita akan buat keputusan yang sewajarnya dan tunggu perkembangan dalam dua tiga hari lagi," katanya.

Perhimpunan itu mendapat perhatian ramai kerana parti itu membawa usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil mempertahankan kerjasama dengan PAS.

Usul berkenaan diterima dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) minggu lalu.

UMNO juga dilaporkan akan meluluskan usul menggesa Pilihan Raya Umum -ke 15 (PRU-15) disegerakan dalam perhimpunan agungnya.

Bagaimanapun, semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perisytiharan darurat itu dilihat menyekat aspirasi UMNO yang mahu kembali mendominasi politik negara dengan menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan