Rakyat perlu bantu SPRM banteras jenayah rasuah

 


Oleh Kamaruddin M Ripin

Tahun 2020 lalu secara langsung dan tidak langsung meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat sedunia akibat pandemik COVID-19.

Namun, 2021 diharapkan akan menjadi lebih positif bukan hanya dalam mengharungi cabaran fasa pemulihan akibat COVID-19, malah untuk merealisasikan matlamat dan harapan individu untuk menjadi lebih cemerlang sempena tahun baharu.

Setiap individu sudah tentu mempunyai azam dan matlamat tersendiri yang ditetapkan sebagai resolusi tahun baharu dengan harapan ia akan membawa fajar baharu dalam kehidupan.

Di samping memberi keutamaan kepada matlamat peribadi, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara juga perlu diutamakan.

Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa yang hidup secara harmoni dan aman. Masyarakat pelbagai etnik di negara ini hidup bersatu dengan mengetepikan perbezaan pendapat dan hanya meletakkan kemakmuran negara sebagai titik fokus.

Dari semasa ke semasa, negara berhadapan dengan pelbagai cabaran. Perpaduan dan inisiatif yang rakyat ambil untuk membangunkan negara terus mengekalkan kesejahteraan negara dan mengatur langkah ke arah kemajuan.

Bagaimanapun, rasuah menjadi satu cabaran besar kepada negara. Tidak dinafikan Malaysia menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha sedaya upaya untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Tahun 2020, walaupun mencabar bagi SPRM dari segi pelaksanaan operasi dan tangkapan disebabkan pandemik COVID-19, beberapa siasatan kes berprofil tinggi berjaya dilakukan, termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri.

Kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pengarah syarikat, pegawai kanan di kementerian dan beberapa lagi kes menarik perhatian umum juga berjaya didakwa
di mahkamah.

Antara kes menarik perhatian umum termasuk penahanan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan kes rasuah projek terowong.

Juga penahanan seorang bekas ketua penolong setiausaha (KPSU) salah sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah bagi satu tender kementerian.

Selain itu, penahanan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di kementerian berkenaan bernilai lebih RM56 juta.

Namun, boleh dikatakan rasuah masih tidak dapat dibanteras sepenuhnya. Ini mungkin disebabkan mentaliti masyarakat yang menganggap usaha pembanterasan rasuah hanya terletak di bahu SPRM.

Rakyat beranggapan mereka hanya perlu menjadi pemerhati dan menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan terhadap isu rasuah serta siasatan dan prosiding mahkamah membabitkan kes berkenaan.

Secara lebih terperinci, apabila timbul sahaja isu rasuah, semua orang akan menuding jari ke arah SPRM.

SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah dengan hanya lebih kurang 2,000 pegawai bertungkus-lumus dalam menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat kesalahan rasuah di setiap pelosok negara dan membawa pesalah tersebut ke muka pengadilan.

Hanya dengan sokongan dan kerjasama orang ramai kepada SPRM, negara dapat dibebaskan daripada cengkaman jenayah rasuah.

Setiap individu perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing untuk membasmi rasuah. Niat dan usaha bersama seperti ini sahaja mampu melindungi negara daripada ancaman rasuah.

Bagi membawa mereka yang terbabit dengan jenayah rasuah ke muka pengadilan, bukti kukuh yang diperoleh dengan kerjasama orang ramai perlu dilapor oleh penyiasat SPRM ketika proses pendakwaan.

Sekiranya setiap orang mula menyemai pemikiran seperti itu dalam diri mereka, perubahan individu ini lama-kelamaan akan menjadi sebagai perubahan dalam masyarakat dan seterusnya perubahan seluruh negara.

Perubahan ini pasti akan membolehkan negara menjadi lebih makmur dan bersedia mengharungi banyak cabaran di persada antarabangsa.

Sementara itu, rakyat harus mengubah corak pemikiran bahawa sekiranya melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan ia boleh ditutup dengan menyalurkan wang ringgit sebagai rasuah.

Idea bahawa kita boleh mempengaruhi keputusan seseorang supaya memihak kepada kita dengan menyogok pembuat keputusan itu juga perlu diketepikan sepenuhnya.

Inilah yang menyebabkan wujud budaya rasuah secara meluas. Seterusnya ia juga menjadi ancaman buruk kepada negara.

Seorang pegawai yang menjalankan tugas secara adil tidak perlu disogok untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Apa-apa tindakan yang dilakukan di bawah lunas undang-undang dan mereka yang melakukannya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Masalah rasuah hanya timbul apabila seseorang cuba mengambil jalan pintas untuk melakukan sesuatu dengan hanya mementingkan diri sendiri.

Justeru, ketika kita menyambut tahun baharu ini dengan fikiran jernih dan hati yang murni, marilah kita terus membasmi penyakit sosial rasuah dan meraikan tahun baharu dengan penuh gembira.

Tahun baharu ini jadikan keazaman tinggi pada setiap peringkat masyarakat untuk menolak apa sahaja perbuatan rasuah dan menjadikan ia sebagai budaya masyarakat Malaysia tidak bertoleransi dengan amalan jijik rasuah.

Masyarakat bebas rasuah adalah masyarakat yang ideal dan seimbang. Negara yang bebas rasuah adalah negara yang makmur.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan