Yasin berdepan hukuman penjara seumur hidup, sebat


PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu kes pendakwaan terhadap penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman kerana menanam 17 pokok ganja kekal dilakukan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata pertuduhan mengikut seksyen itu kekal berdasarkan laporan kimia yang diterimanya petang semalam.

"Kes pertuduhan ini kekal dan kita memohon tarikh sebutan kes untuk serah dokumen kepada pihak pembelaan," katanya.

Susulan itu, peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

"Terima kasih kepada pasukan pendakwaan kerana menyediakan laporan kimia dalam masa singkat dan kita mohon dua minggu dari sekarang (sebutan kes) jika memadai," katanya.

Hakim, Jamaludin Man, menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan kes.

Mengikut pertuduhan itu jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Selain Ariff Azami, Yasin turut diwakili peguam bela Mohd Yusmadi Yusoff dan Azizul Syarimah Mat Yusoff.

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a)ADB 1952 itu.

Muhammad Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Sementara itu, Mohd Asnawi memberitahu Mahkamah Majistret perubahan pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 atau sebaliknya terhadap penyanyi itu kerana mengedar dadah masih disiasat.

"Arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara supaya kami buat siasatan lanjut terhadap laporan kimia berhubung pertuduhan itu.

"Kita memohon 6 Julai untuk ditaklimatkan mengenai hasil laporan itu," katanya.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, kemudian menetapkan tarikh sebutan kes sama seperti ditetapkan Jamaludin.

Mohd Yusmadi ketika sidang media pula, berkata anak guamnya memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar di hospital yang mempunyai rekod penyanyi itu.

"Saya difahamkan Yasin sudah dibawa sekali ke Hospital Sungai Buloh, namun ia bukan rawatan yang terbaik. Lebih baik Yasin dapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur yang mempunyai rekodnya.

"Dalam hal ini juga pihak penjara memahami keadaan Yasin dan membekalkan ubat kepadanya melalui penyeliaan pihak terbabit. Ia sudah tentu akan membantu Yasin," katanya.

Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan perubahan mod tinggi dan rendah yang teruk serta perubahan dalam tidur, tenaga, pemikiran serta tingkah laku.

Orang yang mengalami gangguan bipolar boleh mengalami tempoh di mana mereka berasa terlalu gembira dan bertenaga dan dalam tempoh lain pula berasa sangat sedih, putus asa dan lesu.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan