Jemaah Kabinet: "Dulu boleh sampai 70 orang, sekarang saya tak sanggup" - Anwar

 


PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, proses pembentukan Kabinet kali ini bukan mudah kerana konsep Kerajaan Perpaduan itu melibatkan banyak parti politik di bawahnya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, setakat ini, beliau masih dalam proses mendengar pandangan daripada semua pihak berkaitan dan akan memutuskannya sesegera mungkin.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, proses itu mungkin berbeza dengan kerajaan terdahulu, yang tidak begitu memikirkan saiz Kabinet sehingga jumlahnya boleh jadi ramai. 
 
 
“Seperti mana saya sebut, (proses wujudkan Kabinet) tidak seperti biasa, Kerajaan Perpaduan ini melibatkan banyak parti. Sebelum buat keputusan saya mesti mendengar semua pandangan dan kemudian masalahnya, kerana jumlah Kabinet (akan) diperkecilkan.
 
“Kalau (kerajaan) dulu dia masuk saja lah, 50, 60, atau 70 orang. Kalau tak cukup lagi jadikan sebagai Duta Khas, tak cukup lagi jadikan sebagai Penasihat Khas. Saya tak sanggup buat begitu,” katanya lagi.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat PH, di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, hari ini.
 
Ditanya mengenai pandangan bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah tidak wajar disertakan dalam Kabinet, Anwar berkata, beliau menghormati pandangan itu.
 
“Itu pandangan semua... kita ambil kira dalam perbincangan, tetapi seperti mana kita tahu, dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman. Jadi yang lain itu, akan diberi pertimbangan,” katanya lagi.
 
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mengambil maklum pandangan pihak tertentu termasuk Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan memandangkan beliau mempunyai majoriti melebihi dua pertiga daripada merangkumi pelbagai parti politik, termasuk di Sabah dan Sarawak.
 
Namun, beliau berpendapat, keabsahan terhadap beliau selaku Perdana Menteri akan terus dilakukan pada 19 Disember ini, termasuk untuk mendapatkan kepercayaan dari sudut persepsi politik.
 
“Ya benar, Ram Karpal guna isu pentafsiran Perlembagaan kerana majoriti jelas, tetapi saya juga bincang tadi dan kita punya pandangan, bukan saja soal Perlembagaan tapi saya fikir keabsahan itu juga dari segi persepsi politik. Jadi kita akan teruskan dengan undi percaya pada 19 hb (Disember),” kata Anwar lagi
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan