OLEH Aedi Asri and Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Hujung minggu lalu, genap 2 tahun pemergian Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan yang
mengemudi parti itu sehingga ke akhir hayatnya.
Di bawah Nik Aziz, Kelantan menjadi sebahagian daripada politik arus
perdana Malaysia, sentiasa mendapat perhatian dengan statusnya sebagai
satu-satunya negeri ditadbir pembangkang, sehinggalah kemenangan
pembangkang pada 2008.
Suara Nik Aziz dalam PAS menjadi penentu langkah parti kedua terbesar
di Malaysia itu, malah pengaruh beliau dalam gabungan pembangkang,
Pakatan Rakyat, dikatakan amat besar, sebaris – kalau bukan lebih
daripada – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering dinobatkan simbol
penyatuan pembangkang.
Nik Aziz bukan sahaja menjadi “tuan guru”, sumber rujukan perihal
agama. Selama 3 dekad menerajui Kelantan, beliau terbukti seorang ahli
politik yang lincah, dan sekian lama berjaya melawan kelincahan politik
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kelincahan silat politik Nik Aziz membuatkan ketegasannya itu tidak
mencetuskan perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Karismanya pula menyebabkan
orang bukan Islam mula lebih rapat dengan parti yang antara lain mahu
melaksanakan hukum hudud.
Siapa boleh lupa gambarnya bersama-sama mendiang Karpal Singh – tokoh
yang sungguh-sungguh menolak hudud – melunakkan hati orang Melayu untuk
mengundi DAP, dan orang bukan Melayu untuk mengundi PAS.
“Dakwah Nik Aziz lebih terbuka, dan gerakan mengukuhkan hubungan PAS
di kalangan orang bukan Islam dilakukan dengan begitu intensif,” kata
Mohd Hisomudin Bakar dari badan kajian politik, Ilham Centre.
Dua tahun adalah tempoh singkat, namun tidak bagi dunia politik, dan perubahan yang berlaku ke atas PAS membuktikan demikian.
Hanya 4 bulan selepas kematian Nik Aziz, PAS mengalami perubahan
besar, apabila golongan konservatif yang selama beberapa dekad
mencorakkan parti itu kembali berkuasa. Hampir kesemua pemimpin yang
mahu membawa parti itu ke pentas politik arus perdana dengan cara
berpaut pada Pakatan Rakyat, tiba-tiba mendapati diri mereka hilang
jawatan.
Ia membawa kepada perpecahan dalaman dan penubuhan Amanah 3 bulan
kemudian. Dan disusuli dengan terbubarnya Pakatan Rakyat, digantikan
dengan Pakatan Harapan yang sehingga kini hanyalah “bayang-bayang”
kepada kekuatan Pakatan Rakyat.
Bagaimana pula dengan PAS?
“PAS mengalami perubahan ketara, boleh dikatakan 180 darjah,” kata
Hisomudin, sambil menambah ia kembali ditolak pengundi bukan Islam
seperti mana di zaman sebelum 1990-an ketika PAS selesa dengan sokongan
di Pantai Timur.
“PAS semakin hilang arah,” kata Dr Aziz Bari, pensyarah undang-undang yang menyertai DAP.
Sekiranya ada satu perkara untuk membuktikan bagaimana PAS berubah
sejak pemergian Nik Aziz, ia adalah usahanya meminda undang-undang (RUU)
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan sokongan Umno
dan pelbagai pertubuhan lain yang selama ini tidak mendokong perjuangan
pembangkang.
Gambaran keakraban PAS dengan Umno, antara larangan Nik Aziz yang
paling tegas, sudah beberapa kali berlaku, apabila pemimpin kedua-dua
parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Razak, berkongsi
pentas.
Sukar untuk kita membayangkan perkara serupa di bawah Nik Aziz.
“Jika akar umbi terus mabuk dan terpukau dengan Hadi, PAS akan
hancur. Dengan politik sekarang ini, yang tidak mahu kerjasama (gabungan
dengan Pakatan Harapan) disebabkan ada DAP dan Amanah,” kata Aziz Bari.
Dua tahun berlalu dan PAS masih belum dapat mencari ganti kepada Nik Aziz.
“Barangkali (Timbalan Presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi
sedikit terhalang kerana dibayangi presiden. Saya lihat ada akar umbi
PAS yang masih kekal kerana harapan yang dibawa Tuan Ibrahim,” kata
Hisomudin.
Namun dengan mengambil kira langkah politik PAS pada masa ini, adakah parti itu berminat mencari pengganti “Tok Guru”?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan