KUALA LUMPUR: Mahkamah tidak boleh memaksa peguam negara untuk memulakan apa-apa prosiding jenayah terhadap seseorang individu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian
dalam penghakiman bertulis setebal 41 muka surat mengenai permohonan
semakan kehakiman melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang
diedarkan kepada media hari ini.
“Ini kerana berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,
peguam negara mempunyai budi bicara yang luas berhubung kawalan dan
arahan bagi semua pendakwaan jenayah.
“Bukan sahaja beliau memulakan dan menjalankan apa-apa prosiding bagi
sesuatu kesalahan, beliau juga boleh memberhentikan prosiding jenayah
yang beliau telah mulakan.
“Mahkamah tidak boleh memaksa beliau untuk memulakan apa-apa
prosiding jenayah yang beliau tidak mahu mulakan atau meneruskan apa-apa
prosiding jenayah yang beliau telah putuskan untuk tidak teruskan,”
katanya.
Hakim bersetuju dengan hujahan peguam kanan persekutuan bahawa
peruntukan itu kuasa khas yang diberi kepada peguam negara untuk
memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi
sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah,
Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.
Beliau membuat keputusan itu pada 11 November tahun lepas, apabila
menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas naib ketua
Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mencabar
keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Khairuddin mencabar keputusan Mohamed Apandi yang menyatakan bahawa
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa
kesalahan jenayah berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion, pemindahan
dana oleh SRC International ke akaun peribadi beliau dan peruntukan
pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk SRC
International.
Hanipah juga berkata isu konflik kepentingan seperti yang dihujahkan
oleh Khairuddin tidak timbul apabila Mohamed Apandi memutuskan untuk
tidak mendakwa perdana menteri berhubung 1MDB dan isu-isu berkaitan.
Hakim juga tidak menerima hujah pemohon bahawa peguam negara dilantik
oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri oleh itu
mempunyai konflik kepentingan untuk membuat keputusan sama ada untuk
mendakwa Najib berhubung isu IMDB dan kes yang berkaitan.
“Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa diingat,” katanya.
Hanipah seterusnya menolak dakwaan lain oleh pemohon bahawa arahan
peguam negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk
menutup fail siasatannya adalah ultra virus kuasa Peguam Negara di
bawah Perkara 145(3).
“Peguam negara mengarahkan fail ditutup kerana tidak ada tindakan
lanjut yang akan diambil kerana tiada kesalahan telah didedahkan
daripada Kertas Siasatan itu. Ini adalah amalan biasa yang diguna pakai
oleh Jabatan Peguam Negara.
“Pada pandangan saya arahan, ‘Tiada Tindakan Lanjut’ dan ‘Kemas Untuk
Simpanan’ tiada kaitan dengan kuasa budi bicara peguam negara yang
diperuntukkan di bawah Perkara ini,” katanya.
Hanipah juga menegaskan bahawa tidak ada merit dalam dakwaan
Khairuddin mengenai arahan peguam negara kepada SPRM, yang “berkaitan
dengan arahan biasa yang diminitkan dalam Kertas Siasatan berikutan
keputusan untuk tidak mendakwa”.
“Adalah ditegaskan bahawa peguam negara bertindak dengan jujur dan
tanpa rasa takut serta pilih kasih. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang
tidak berpuas hati dengan keputusan beliau boleh menyalurkan di tempat
lain dan bukannya di mahkamah,” katanya.
Pada 11 November tahun lepas, Hanipah menolak permohonan kebenaran
semakan kehakiman Khairuddin untuk mencabar keputusan peguam negara yang
menutup siasatan berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion ke dalam
akaun peribadi perdana menteri dan dana dari SRC International Sdn Bhd
ke akaun Najib dan pendakwaan berhubung isu itu.
Beliau juga menolak kebenaran untuk semakan kehakiman oleh bekas
menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam
Malaysia berkaitan isu yang sama.
Khairuddin memfailkan permohonan itu pada 3 Februari tahun lepas,
memohon mahkamah membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mohamed Apandi
pada 26 Januari tahun lepas, yang melepaskan Najib daripada sebarang
salah laku berhubung 3 kertas siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan