Oleh NUR ASYIKIN AMINUDDIN
Pernahkah anda mengalami masalah dengan kenderaan yang baru dibeli tidak sampai setahun?
Adakah kenderaan anda kembali normal selepas dihantar ke pusat servis kenderaan?
Adakah anda yakin untuk menggunakan kenderaan bermasalah tersebut
selepas beberapa kali masuk bengkel terutama jika berkaitan dengan
masalah brek!
Kami daripada persatuan pengguna telah menerima banyak aduan sebegini
baru-baru ini, terutama aduan yang melibatkan masalah brek daripada
kenderaan nasional model terbaru!
Lebih mengejutkan, kenderaan tersebut telah mula menunjuk “perangai sebenar” selepas sebulan penggunaannya.
Masalah ini tidak sepatutnya berlaku untuk kenderaan yang baru keluar
dari “oven”. Masalah brek terutamanya merupakan masalah yang tidak boleh
ditolak ansur kerana ia boleh mengancam nyawa pengguna.
Tidakkah ia mendatangkan kerugian yang besar kepada pemilik kenderaan
terbabit yang perlu “membela” kenderaan yang bermasalah dengan pinjaman
bank yang bertahun-tahun?
Kenderaan yang dibeli diharap dapat berbakti dan melancarkan perjalanan
tetapi telah mendatangkan masalah pula kepada pemilik kenderaan
terbabit.
Dengan masalah ekonomi yang semakin tenat, bukan perkara yang mudah terutama untuk pengguna yang berpendapatan rendah untuk “trade in”
kereta bermasalah ini melainkan jika kenderaan mereka yang “sakit” ini
dapat ditukar dengan kenderaan yang baru, yang bebas “penyakit”.
Selain itu, terdapat perkara yang meragukan pihak kami apabila kertas
laporan hasil penyiasatan aduan hanya dikeluarkan oleh pihak pengeluar
kenderaan tanpa melibatkan mana-mana badan yang bebas untuk mengesahkan
hasil penyiasatan tersebut.
Mustahil untuk pihak pengeluar kenderaan mengeluarkan kertas laporan
tersebut kerana mereka juga merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam
proses pembuatan kenderaan tersebut.
Oleh sebab itu, pentingnya sebuah badan yang bebas untuk terlibat dalam
penyiasatan tersebut supaya kertas laporan yang dikeluarkan tidak akan
berat sebelah.
Untuk pengetahuan, Malaysia telah berjaya menerbitkan Malaysian
Standard Consumer Product Safety and Recall- Guidance in the supply
chain (MS 2626:2016) pada September tahun lepas.
Pihak-pihak yang berkaitan boleh menggunakan MS 2626:2016 sebagai
bahan rujukan dalam pengurusan pengeluaran produk pengguna yang lebih
selamat dari peringkat awal sehingga ke penjualan produk di dalam rantai
bekalan.
Objektif keseluruhan bagi panduan tersebut adalah untuk menghasilkan
produk pengguna yang lebih selamat supaya dapat mengurangkan risiko
keselamatan produk untuk pengguna, mengurangkan risiko penarikan balik
oleh pihak pengeluar, menyediakan pengguna dengan maklumat yang
diperlukan untuk membuat pemilihan penggunaan produk yang selamat, dan
membantu kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan produk
kepenggunaan.
Diharap pihak-pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah kereta
yang dihadapi oleh pengguna-pengguna Malaysia secara adil dan saksama
supaya nasib mereka terbela dengan tindakan yang sewajarnya.
Berat lagi mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
NUR ASYIKIN AMINUDDIN persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users).
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan