Tanpa PAS,Umno -Bn Boleh Tumbang!

Oleh Shahbudin Husin
 
PRU 14 ini perhitungan utamanya adalah untuk menyingkirkan Najib Razak yang bukan saja terpalit dengan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, berkawan baik dengan Jho Low dan gaya kepimpinan kleptokrasi, malah juga kerana berterusan mendatangkan sengsara kepada kehidupan rakyat.

Lantaran itu, tidak menghairankan suara penolakan terhadap Najib boleh didengar di mana-mana sekarang ini.

Hampir tidak ada kelompok atau segmen masyarakat yang tidak membenci anak Tun Razak itu. Mengata dan melecehkan Najib sudah menjadi perbualan biasa di kedai kopi, surau, masjid, pejabat, pasaraya, kenduri-kendara, grup whatsapp dan di mana-mana saja.

Begitu juga, tidak menghairankan lagi melihat orang menutup atau mengalih siaran televisyen apabila tiba-tiba Najib muncul atau suaranya terpacul memecah keheningan.

Pemimpin-pemimpin UMNO pun, jika berbual dengan rakan-rakan rapat mereka, turut tidak terlepas menyalahkan Najib terhadap semua yang berlaku sehingga makin menyukarkan ia mengekalkan kuasanya.

Cuma, disebabkan terikat dengan jawatan, mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk merubah keadaan.

Seorang rakan memberitahu, isterinya kadang-kadang membebel mengenai Najib, tidak saja di meja makan, tetapi juga sampai ke bilik tidur. Esoknya, kata beliau, sebelum ke pasar, sekali lagi isterinya bersungut mengenai Najib.

Ini menunjukkan penolakan, kebencian dan sentimen anti Najib adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ketika era Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi, memang sentimen kebencian diakui wujud, tetapi ia tidaklah separah sekarang ini.

Jika dihitung secara umum, mereka yang masih menyokong Najib tidak sampai pun 30 peratus. Itu pun sebahagiannya disebabkan kepercayaan bahawa tidak menyokong Najib sama seperti mahu "membunuh" UMNO.

Ikut hukum akal, UMNO dan BN, selagi terus diketuai Najib, hanya menunggu masa saja lagi untuk dicabut nyawanya daripada terus berkuasa. Ia ibarat pesakit nazak yang tidak mampu diubati lagi.

Satu-satunya, talian hayat UMNO untuk terus kekal berkuasa ialah melalui pertolongan Pas. Parti Islam yang yang pernah mengkafirkan UMNO itu kini sedang disintuk-limau dan dibelai oleh Najib dengan pelbagai janji, berjalan-jalan ke luar negara atas nama Akta 355 dan dengan khabarnya juga melalui "habuan ehem, ehem" agar kekal bersendirian dan menjadikan pertandingan tiga penjuru.
Kata pepatah lama, tiada angin takkan pokok bergoyang. Pepatah lain pula menyebut, kalau tidak berada-ada, takkan tempua bersarang rendah.

Sebab itu, menjadi kehairanan seluruh dunia mengapa Pas masih tidak menyaman Sarawak Report, manakala meskipun dicabar secara terbuka oleh Husam Musa agar segera menyeretnya ke mahkamah, Pas masih berdalih-dalih untuk mengambil tindakan saman.

Pas sendiri melalui kenyataan Hadi Awang dua hari lalu, semakin jelas warna perjuangan dan laluan yang bakal dilaluinya. Bersatu dan PKR tidak perlu membuang masa dan terhegeh-hegeh lagi memujuk rayu Pas untuk bekerjasama. Terus mengharapkan Pas hanya akan membuatkan parti itu mengada-ngada dan tergedik-gedik cuba menarik perhatian.

Pakatan Harapan dan Bersatu harus sedar bahawa sentimen anti Najib sekarang ini sedang mencapai kemuncaknya. Najib, UMNO dan BN tiada lagi kekuatan sendiri untuk menarik keyakinan rakyat. Selain bergantung nyawa kepada Pas, Najib mungkin terus berusaha untuk mengubah persepsi rakyat dengan cara mengungkit-ungkit cerita lama berkaitan Tun Mahathir.

Tetapi, lihat saja bagaimana isu BMF dan forex yang cuba dihidupkan semula, telah gagal hanya dalam waktu yang singkat untuk melemahkan kekuatan pembangkang. Mungkin beberapa isu lagi akan dibangkitkan selepas ini, tetapi sebagaimana BMF dan forex menemui kegagalan, ia juga akan gagal kerana Najib dengan segala bebannya adalah bala paling besar yang tidak mungkin mampu mengubah apa-apa kepada rakyat dan negara.

Sentimen anti Najib pada hakikatnya sudah cukup kuat untuk menolak Najib dan menumbangkan UMNO serta BN. Ketika ini juga, rakyat tidak lagi melihat Pas sebagai parti Islam berikutan tingkah lakunya yang tidak segan-segan berbaik dengan dilihat orang yang dilihat jahat di seluruh pelusuk dunia.

Dalam mana-mana masyarakat pun, jika imam masjid berkawan baik dan selalu minum-minum dengan seseorang yang disyaki pencuri, ia tentu akan menjadi bualan dan sebagaimana pencuri itu sedia dijauhi, imam tersebut juga semakin kurang didekati oleh sesiapa.

Dalam hal ini, biarkan saja Pas terus dengan cengkeramanya bersama Najib dan UMNO. Pakatan Harapan dan Bersatu perlu yakin dengan kebijaksaaan rakyat dalam membuat pilihan, sambil terus berusaha memberi penerangan semaksimum mungkin ke merata-rata ceruk kampung dan desa di seluruh negara.

Lagi pun, dengan Bersatu, PKR dan Amanah yang majoritinya adalah Melayu, ditambah dengan DAP juga semakin diterima oleh orang-orang Melayu, gabungan itu sudah memadai untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang Melayu sendiri.

Sentimen anti Najib yang dijangka berterusan, bukan saja akhirnya akan membenam UMNO dan BN, malah yakinlah, ia juga akan menenggelamkan Pas sekali bersama dengannya.

Sebagaimana yang disebut di awal lagi, PRU 14 bukan berkaitan hal-hal lain, termasuk Akta 355 sekali pun, tetapi khusus tentang keinginan menyelamatkan negara dan menolak Najib yang bersamanya ada beban 1MDB, Jho Low, wang RM2,600 juta, ciri-ciri kleptokrasi dan kepimpinan yang berterusan membeban serta menyusahkan.

Jika sejak bertahun-tahun sudah membenci dan terasa disusah serta disengsarakan, apakah rakyat yang bijaksaana mahu dijadikan mangsa lagi dengan kesengsaraan yang lebih parah melalui terus kekalnya Najib berkuasa?
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan