Petikan Free Malaysia Today
Hujung minggu ke-2 April kelihatan sarat dengan gelombang kenyataan
yang berkisar tentang pilihan raya umum. Setiap penjuru negara dibadai
angin pilihan raya. Tiada pemimpin, tidak kira parti, yang terlepas
daripada tidak bercakap mengenai pilihan raya.
Segalanya berkaitan dengan persiapan dan persediaan yang dibuat parti
masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Di sebalik kenyataan itu, mereka mempertahankan kedudukan masing-masing. Serangan politik tidak ketinggalan.
Sudah pasti tarikh PRU14. Bila PRU akan dipanggil menjadi perhatian
semua. Hanya Najib yang tahu tarikh yang sebenar. Nampaknya beliau belum
mendapat ilham lagi.
PAS meramalkan antara Julai dan September ini. Pemimpin DAP pula
menjangkakan dalam tempoh 5 bulan lagi. Umno-BN beranggapan lagi cepat
lagi bagus.
Cuba kita lihat apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin sejak sehari 2 ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berada di Terengganu
semlalam dan kelmarin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus
membawa lonjakan perubahan dan kemajuan besar buat rakyat dalam usaha
menjadikan Malaysia terus disanjung tinggi masyarakat antarabangsa.
Beliau mempertahankan perubahan yang telah dilakukan sejak PRU13.
Kata Najib, transformasi yang mahu dibawa BN turut merangkumi pelbagai
aspek kehidupan termasuk keperluan fizikal, emosi dan akal.
“Sebab itu, saya bekerja bersungguh-sungguh. Perubahan yang kita nak
buat bukan perubahan yang berdikit-dikit. Tetapi kita nak buat
pembangunan dengan lonjakan berganda sebab kita mahu Malaysia terus
dihormati oleh dunia luar.
“Baru-baru ini, kita mendapat pengiktiran beberapa badan dunia
termasuk Forum Ekonomi Dunia dan University Of Pennsylvania, Amerika
Syarikat sebagai antara destinasi pelaburan terbaik dunia,” kata beliau
ketika berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara
Sungai Besut atau Gerbang Pelancongan Antarabangsa semalam. Selain itu,
pemilihan Malaysia sebagai lokasi Pusat Keamanan Global Raja Salman
turut membuktikan negara ini menerima pengiktirafan negara-negara Islam,
kata perdana menteri.
Dalam pada itu, Najib berkata, perubahan dan kemajuan yang dikecapi
rakyat khususnya di Terengganu membuktikan kerajaan BN sentiasa
mengotakan janjinya kepada rakyat.
“Saya lihat di Terengganu kini banyak perubahan dan tahniah kepada
Menteri Besar dan rakyatnya yang berusaha gigih untuk membangunkan
negeri ini.
“Jadi, saya datang ini bukan datang biasa-biasa, saya datang ini nak
bawa perubahan yang besar supaya kita (BN) menang sokmo-sokmo,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta rakyat tidak perlu terpengaruh dengan
janji-janji dan tohmahan yang dilakukan pihak pembangkang yang mahu
melihat kerajaan dibenci oleh rakyat.
Politik janji tinggal janji
“Kita tidak boleh hidup dengan politik janji tinggal janji dan
menabur kata-kata dusta yang boleh menimbulkan kebencian rakyat kepada
kerajaan. Kita adalah kerajaan yang bila dia berjanji dia akan tepati
dan bila dia umumkan sesuatu dia akan laksanakan.
“Jadi, yang persendakan kita tu adalah atas dasar politik semata-mata dan kita jangan ambil peduli.
“Betulkan kompas kita. Kita mesti istiqomah dan konsisten dan
pastikan perjuangan kita diteruskan untuk membawa negara kita ke arah
kemajuan yang lebih hebat,” kata Najib yang juga Presiden Umno.
Di Seremban, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
meminta semua anggota parti melaksanakan gerak kerja dengan baik bagi
menghadapi PRU14.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ini bagi memastikan pentadbiran negara dan negeri kekal diterajui Umno dan BN.
“Bersiapsiagalah kita menghadapi PRU14 yang mana pilihan raya ini amat penting untuk BN terus mentadbir negara dan negeri.
“Kita kena pastikan pentadbiran negara kita akan tetap berada di
tangan Umno dan BN. Jangan kecewakan generasi Melayu yang bergantung
harapan kepada kita,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan
Penyampaian Hadiah Karnival Sukan Umno Negeri Sembilan 2017, semalam.
Jangan malu-malu hadapi pembangkang
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan
BN Sabah tidak perlu gentar mahu pun malu terhadap mana-mana pihak
kerana parti itu mempunyai rekod pencapaian yang bagus dalam membawa
pembangunan dan membela nasib rakyat di negeri ini.
Kata Musa, kerajaan BN negeri tidak pernah gagal dalam merealisasikan
janjinya kepada rakyat menerusi peruntukan besar bagi pembangunan.
“Kita (BN Sabah) berpijak di bumi nyata, kita ada rekod pencapaian,
kita ada bukti dan fakta bahawa kerajaan BN yang dipimpin Perdana
Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan dibantu Timbalan Perdana Menteri
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berada di landasan yang benar,”
katanya semasa berucap pada pelancaran Perdana Seranta Felcra Berhad
oleh Ahmad Zahid di Kinabatangan.
Musa yang juga Pengerusi BN Sabah meminta semua anggota BN di Sabah
supaya terus bekerjasama dan mengekalkan perpaduan bagi memastikan BN
beroleh kemenangan besar pada PRU14.
“Kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota menjadi kekuatan untuk parti terus tetap kuat menerajui kerajaan,” katanya.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup pula mahu
anggota parti itu agar terus mengekalkan kerjasama dengan parti-parti
komponen BN sebagai 1 pasukan bagi memastikan BN terus kukuh dan menjadi
pilihan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerjasama seperti
perkongsian maklumat dan membudayakan hubungan erat amat perlu sebagai
contoh kepada rakyat, sekali gus menarik mereka untuk terus menyebelahi
parti pemerintah.
“Perpaduan dalam parti kompenan ini sangat penting,” katanya ketika
berucap merasmikan pejabat baharu PBRS kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Nabawan di Nabawan.
Kurup berkata, kerjasama yang kuat dan berkesan lahir daripada
komitmen, kesungguhan, iltizam serta semangat juang yang tinggi dalam
kalangan pemimpin-pemimpin parti kompenan di peringkat akar umbi.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, Jalinan Rakyat Plus (JR
Plus) yang dilancarkan Najib minggu lalu akan memberi kegerunan kepada
pihak pembangkang terhadap perpaduan BN dalam menghadapi PRU14.
“Sebenarnya kami telah bersiap sedia (untuk menghadapi PRU14) lebih
awal lagi dan kami tidak tunggu dan lihat apa yang pembangkang buat.
“Saya rasa semua yang lihat pelancaran JR Plus sedikit gerun dengan
perpaduan yang ada dalam BN dan persiapan kami,” katanya semalam.
Mesej PAS dan DAP
Bagaimana dengan nada parti-parti pembangkang?
PAS, yang dilihat sebagai sudah menjalin hubungan baik dengan Umno
berkata, sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada
BN pada PRU14.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik
Salleh berkata, PAS akan meletakkan calon untuk memastikan
sekurang-kurangnya PAS dapat memenangi majoriti kecil untuk tubuh
kerajaan.
“Antara sebab kami mengadakan Muktamar PAS Ke-63 di Kedah tahun ini
ialah untuk menonjolkan bahawa kita sudah bersedia untuk memenangi PRU14
di Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS
Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di Bukit Mertajam, semalam.
Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah
pada 27 April hingga 1 Mei ini bakal menyaksikan pemilihan barisan
kepimpinan baharu untuk menghadapi PRU14.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
meramalkan PRU14 akan diadakan antara Julai dan September tahun ini.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata, PAS juga akan
bertanding lebih banyak kerusi DUN dan Parlimen di Pulau Pinang dalam
PRU14. PRU akan datang tidak sama seperti PRU lepas dan PAS negeri sudah
bersedia dari segala sudut termasuk menghadapi pertembungan 3 penjuru,
katanya.
Tambah beliau, PRU14 dijangka diadakan lebih awal dan jentera pilihan
raya PAS peringkat kawasan mestilah diaktifkan dan berada dalam mode
bersedia manakala bilik gerakan mesti dibuka sebelum Jun 2017.
Pada PRU13, PAS Pulau Pinang hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu di Permatang Pasir menerusi Datuk Mohd Salleh Man.
Kelmarin, Najib dilaporkan berkata, beliau berhasrat untuk memanggil
PRU14 dengan cepat, tetapi masih menilai sentimen pengundi sebelum
membuat keputusan muktamad.
“Kalau ikut suasana di Kuala Nerus ini, nak buat cepat, namun kami
kena lihat kepercayaan rakyat. Kalau pilih BN, banyak lagi transformasi
yang akan kami lakukan,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis
pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh, Kuala
Nerus.
Tempoh mandat kerajaan semasa akan berakhir pertengahan tahun depan.
Pun begitu ramai membuat spekulasi PRU14 kemungkinan akan dipanggil
akhir tahun ini – sekitar Oktober.
Sempena ulang tahun ke-3 memperingati mendiang Karpal Singh, Ketua
Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat Malaysia membawa kemenangan
kepada parti itu dan Pakatan Harapan dalam PRU14.
Katanya, terdapat 2 cara untuk mengingati dan menghormati Karpal,
yang meninggalkan kita 3 tahun lalu dengan banyak perkara yang belum
selesai untuk negara.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan, Ahli Parlimen Gelang Patah
berkata, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP perlu dipilih semula untuk
penggal ke-3 manakala Pakatan Harapan harus dibolehkan membentuk
kerajaan persekutuan demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah
negara yang gagal dan penyangak.
Berdasarkan sedutan sebahagian kata-kata di atas, dapat dirumuskan
parti-parti politik sudah masuk gear kedua untuk menghadapi PRU14. Kita
akan mendengar lebih banyak kenyataan-kenyataan yang menawan dengan
harapan dapat memikat pengundi dalam minggu-minggu akan datang.
Home / Pendapat
/ Badai PRU14 makin kuat, parti politik betulkan kompas Voice Rakyat 8:34 PG Pendapat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan