Oleh Raja Bahrin Shah
Kebelakangan ini dunia telah digoncangkan oleh tindakan pelampau
perkauman, di negara Barat yang menyasarkan umat Islam. Di Amerika
Syarikat, Presiden Donald Trump sendiri telah menyemarakan semangat
perkauman dan keagamaan terutamanya terhadap orang Islam.
Ahli-ahli politik haluan kanan di Perancis seperti Marie Le Pen dan
di Belanda En Wilders juga telah meniupkan api perkauman dan
Islamofobia. Ada tempat tempat orang Islam didiskriminasi sehingga tidak
boleh berhijab atau berburkini menutup aurat mereka. Kita berpendapat
ini adalah penyakit kebencian keagamaan serta perkauman keterlaluan yang
tidak patut diarahkan kepada orang Islam yang kita tentang selama ini.
Tetapi anehnya, apa yang berlaku dan melanda Malaysia jauh buruk dari
itu.
Lebih aneh lagi yang melakukannya terhadap agama dan kaum lain adalah
dari kalangan orang Islam dan didahului oleh golongan para “agamawaan”.
Lebih aneh dan menyedihkan lagi, perbuatan ini juga ditujukan kepada
sesama Islam dan juga sesama bangsa Melayu sendiri dengan tohmahan
kafir-mengkafir serta gelaran munafik dan sebagainya.
Bangsa dan agama bukan Islam sendiri tidak melakukan ini ke atas
sesama golongan mereka sendiri di Eropah. Kenapakah kita begitu buruk
kelakuan dan akhlaknya? Kita melakukan sesuatu yang bersikap keterlaluan
sama sendiri dan dalam masa yang sama menuntut sikap wasatiyah serta
toleransi diamalkan!
Yang paling menyedihkan adalah sikap mengkafirkan sesama sendiri
kerana berbeza fahaman. Tidak sehaluan pendekatan politik dalam pindaan
rang undang-undang dipersoalkan akidah serta amalan rakan sesama
pembangkang Islam walaupun isu belum dibahas atau diundi pun lagi untuk
mengetahui apakah pendirian masing masing.
Anehnya kami dituduh penentang RUU 355
Apabila pembangkang Muslim “membantah penangguhan perbahasan rang
undang-undang” bagi kali ke-3, kami dituduh penentang RUU 355! Walhal
kami membantah kerana mahu RUU dibahas supaya boleh diundi untuk
kelulusan. Anehnya yang kononnya ingin sangat RUU 355 diluluskan tidak
pula membantah penangguhan bagi kali ke-3 itu! Sangat aneh dan luar
biasa pendirian mereka dalam kebencian yang membara dalam hati mereka
yang sangat prejudis terhadap kami sesama Islam.
Kita tidak mendengar “extremis” Barat hari ini mengeluarkan perintah
terbuka untuk bunuh orang Islam atau sesama agama mereka. Di Malaysia
laungan “halal darah”, “wajib hapuskan”, munafik serta murtad menjadi
kebiasaan tanpa tindakan dari pihak berkuasa!
Ada juga Mufti Negeri secara terbuka mengisytihar ahli politik parti
tertentu “khafir harbi” tanpa tindakan diambil terhadap beliau. Keadaan
politik ektremis keagamaan sangat kronik terhadap sesama Islam dan juga
bukan Islam hari ini tanpa tindakan dari pihak kerajaan.
Politik kebencian agama serta kaum telah membolehkan Trump menjadi
presiden dan mungkin akan membantu calon bersikap perkauman dan
anti-Islam, Le Pen dari Perancis dan negara Barat lain juga mencapai
kejayaan. Ini semua telah terbukti membuat orang Islam di Barat menjadi
mangsa diskriminasi agama dan kaum di mana kita di Malaysia mengutuk
sikap tersebut. Kerajaan juga kononnya membuat kenyataan akhbar betapa
orang Islam dilanda penindasan di negara Barat.Malangnya Malaysia mengalami situasi yang lebih kronik di mana sesama
Islam dikafirkan dan yang bukan Islam dikafirharbikan kerana isu RUU
355 di Parlimen. Walaupun kami hanya menuntut untuk hak perbahasan yang
telah ditangguh untuk kali ke-3, kami telah dilabel antiundang-undang
Syariah dan anti-Islam. Isu agama sedang dimanupulasi oleh kerajaan yang
memerintah hari ini untuk kekal memerintah dan dibantu oleh sebuah
parti Islam yang bersekongkol dengan pemerintah.
Kerajaan Malaysia hari ini tidak berhak mengutuk diskriminasi
keagamaan dan kaum di Barat kerana manipulasi serta diskriminasi yang
sama yang mereka lakukan ke atas orang Islam dan bukan Islam lebih
dahysat di Malaysia. Legasi pemimpin Islam popular yang inklusif, bekas
Menteri Besar Kelantan, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang ingin
dipadamkan sedang berjalan secara terancang. Pendedahan bukti kerjasama
dan sumbangan kewangan dari Umno kepada PAS adalah bukti kerjasama ke
arah kerajaan perpaduan, yang tidak direstui oleh Almarhum Nik Aziz,
sedang diusahakan. Kerajaan Malaysia meniru cara trend memperalatkan isu
agama dan perkauman dari puak haluan kanan di Barat hari ini untuk
kekal berkuasa. agama diperalatkan untuk “memunafikkan” sesama Islam
dan, isu perkauman digunakan untuk menyebar kebencian dalam kalangan
berbilang kaum. ‘Divide and rule’ juga adalah taktik Barat untuk kekal
berkuasa yang digunakan oleh kerajaan Malaysia hari ini.
Malangnya sekarang, RUU 355 yang dicadang dan disokong oleh PAS-Umno
dan dihalang melalui penangguhan oleh Umno juga, digunakan untuk
menakutkan dan memecahbelahkan rakyat. Sandiwara RUU 355 yang sendiri
cadang sendiri tangguh tetapi pembangkang dipersalahkan, dipanjangkan
sehingga pilihan raya.
Malaysia adalah negara yang sangat unik di mana diskriminasi
permusuhan ditujukan bukan kepada orang yang datang dari luar seperti di
Barat tetapi terhadap rakyat sendiri yang lahir dan dibesarkan di
Malaysia.
Ancaman keganasan menggunakan agama bukan dari orang awam terhadap
kerajaan, tetapi dari pihak yang bersekongkol dengan kerajaan terhadap
orang awam Islam dan bukan Islam. Ini seolah-olah datangnya dari pihak
direstui atau ditaja oleh pihak berkuasa atau kerajaan sendiri.
Sebelum ini kita pernah mendengar keganasan tajaan pihak kerajaan
berlaku hanya di negara-negara Komunis seperti China dan Rusia. Negara
Komunis menggunakan cara tersebut untuk menakut-nakutkan rakyat sendiri
bagi mengawal kebangkitan serta kesedaran rakyat. Bagaimanakah budaya
ini boleh ujud dibumi Malaysia yang kononnya mengamalkan budaya
kesederhanaan – wasatiah?
Ironisnya juga perdana menteri telah menubuhkan Gerakan Global
Kesederhanaan (GMM) yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden
PAS, Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa, yang rapat dengan pimpinan PAS
sekarang. Sekarang ini pula hubungan kerjasama antara Umno dan PAS
adalah sangat rapat. Bukankah sikap diskriminasi kaum dan ektremis
sangat bertentangan dengan ajaran serta syariat Islam sebenarnya?
Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah lebih buruk dari
diskriminasi yang sedang berlaku ke atas orang Islam di Barat. Apa yang
berlaku hari ini di Malaysia ditujukan kepada rakyat asal Malaysia
beragama Islam dan juga bukan Islam yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Adakah pendekatan ekstrem kanan – keagamaan serta perkauman cara
Trump untuk mendapat kuasa akan digunakan oleh Najib untuk kekal
berkuasa? Tanda-tandanya memang telah wujud melalui ses-sesi Parlimen
kebelakangan ini.
Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan