Oleh Abu
Firdaus
Presiden
Donald Trump kata beliau akan meningkatkan kekuatan tentera Amerika Syarikat
dengan keupayaan senjata nuklear paling tinggi di dunia. Trump bukanlah faham
sangat mengenai geopolitik dunia. Taklimat pegawai-pegawainya pun beliau tidak
berminat. Sepanjang hidupnya, beliau bukan saja tidak berpengalaman tetapi juga
tidak berminat terhadap politik, apatah lagi geopolitik. Tetapi sistem Amerika
memilih beliau sebagai presiden.
Sebagai
presiden Amerika, beliau menghadapi pelbagai cabaran antarabangsa. Tetapi
cabaran dari Korea Utara adalah paling besar. Ancaman pengganas memanglah besar
tetapi Daesh tidak mempunyai senjata nuklear. Cabaran Rusia juga besar, tetapi senjata nuklearnya di bawah jagaan orang yang
waras. Tetapi tidak Korea Utara. Pelakuan rejim Pyongyang adalah suatu yang tidak waras. Apa yang
dimaksudkan dengan tidak waras, ialah pemikiran dan pelakuannya yang tidak
menepati dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Dalam
mengata Korea Utara ini, pelakuan Presiden Trump dan juga Presiden Rusia,
Vladimir Putin juga boleh dianggap sebagai tidak waras jika mereka bertindak
mengancam kemanusiaan dengan senjata nuklear.
Senjata
nuklear yang dimiliki oleh Amerika dan Rusia lebih besar daripada apa yang ada pada
Korea Utara. Selain tiga negara itu, Britain, Perancis, Israel, China, India
dan Pakistan memiliki senjata nuklear. Senjata nuklear mempunyai asal usul dari
Jerman di bawah Adolf Hitler. Ia tidak sempat dibangunkan di mana saintisnya
telah lari dan berhijrah ke Amerika, negara itulah yang membangun bom atom. Ia
tidak sempat digunakan ke atas Jerman kerana negara itu telah menyerah kalah.
Maka bom itu digunakan ke atas Jepun. Tetapi Jepun menyerah kalah bukan kerana
bom itu. Tokyo buat keputusan menyerah diri sebelum bom itu digugurkan. Jepun
mahu menyerah diri sebelum tentera
Soviet Union sampai ke Jepun. Mereka tidak mahu Jepun terbahagi dua seperti Jerman.
Lebih baik ditakluk Amerika daripada dikuasai Soviet.
Tetapi
Korea malang kerana terbahagi dua. Perang Korea Utara dengan Korea Selatan
adalah perang proksi antara Amerika dan Soviet. Melalui perisikan, kemahiran
membuat bom atom yang ada di Amerika turut dimiliki oleh Soviet. Ini kerana pesaingan
sengit antara Moscow dan Washington.
Amerika kemudian membekalkan senjata nuklear
pada sekutunya Britain dan Perancis. Sementara Soviet pula membekalkannya pada
China dan Korea Utara. Kemudian Israel, India dan Pakistan turut memilikinya.
Israel ada senjata nuklear kerana takut pada Iran. Tetapi usaha Iran memiliki
senjata nuklearnya terhalang. Iran mahukan senjata nuklear itu untuk
mempertahan dirinya daripada serangan Israel dan Amerika. Pakistan ada senjata
nuklear kerana India memilikinya. India ada senjata itu ketana Pakistan
mendapat sokongan tentera dari Amerika.
Asalnya pesaingan
senjata nuklear adalah disebabkan Perang Dingin antara Soviet dan Amerika.
Apabila Soviet tumbang, sepatutnya senjata nuklear ini telah dimansuhkan.
Senjata nuklear Soviet diwarisi oleh Rusia. Sepatutnya Rusia dan Amerika
mansuhkan senjata nuklear itu. Begitu juga dengan sekutu masing-masing:
Britain, Perancis, China dan Korea Utara.
Tetapi itu
tidak berlaku. Amerika, Britain dan Perancis masih kekalkan senjata nuklear
mereka. Maka Rusia pun turut kekalkan senjata nuklearnya. Moscow kini tidak
boleh mengawal China dan Korea Utara. Rusia sudah jadi demokratik. Sementara
Beijing sudah lama berpecah daripada Moscow sejak zaman Soviet lagi. Akhirnya
Moscow dan Beijing tidak dapat mengawal Pyongyang yang terus bertindak ikut
kehendak sendiri, yang menjadi masalah bukan saja bagi Korea Selatan, Jepun dan
Amerika saja, atau China dan Rusia tetapi seluruh dunia.
Maka pada
asalnya, ia adalah salah Soviet dan Amerika membahagi dua Korea. Kemudian salah
Soviet bekalkan senjata nuklear pada Korea Utara. Apabila Soviet jatuh,
sepatutnya Korea Utara pun tumbang dan ia bersatu dengan Korea Selatan. Tetapi
itu tidak berlaku juga. Akhirnya masalah itu sampai juga ke Malaysia.
Mengapalah masih ada negara yang mahu terus ada hubungan diplomatik dengan
Korea Utara sedangkan ia jelas adalah rejim kejam yang mengancam dunia?

0 comments:
Catat Ulasan