OLEH MAHDZIR IBRAHIM
Sejak Januari lalu, Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin
mengadakan lawatan ke kawasan parlimen Johor Bahru, Kulai, Kluang, Parit
Sulong, Muar, Labis, Tangkak, Pagoh, Sembrong, Gelang Patah, Segamat,
Tanjung Piai, Tebrau, Tenggara, Simpang Renggam, Pengerang, Sekijang,
Ayer Hitam, Bakri, Pontian dan Sri Gading.
Difahamkan sudah 21 kawasan dan masih berbaki lima kawasan.
Lawatan-lawatan ini pastilah menandakan bahawa pilihan raya semakin
hampir. Itu naratif biasa bagi sesebuah kerajaan, ia sebagai persiapan
menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Tidak ada yang pelik atau
baru.
Dari perkembangan ini, kita merumuskan bahawa beliau bersama
gerombolannya hanya datang untuk melaksanakan gimik, bertujuan untuk
menggambarkan seolah-olah ia projek khas untuk rakyat atas keprihatinan
beliau.
Segala janji dan pelbagai perasmian projek-projek yang dilakukan
dalam lawatan itu, hanyalah gimik kerana semua projek-projek ini telah
diketahui umum dalam belanjawan yang lalu. Bermakna ia bukan perkara
baru. Hanya lawatan menagih simpati rakyat, itu sahaja.
Namun, apa yang saya tulis ini bukanlah isu penting. Sebaliknya yang
lebih penting untuk kita sebagai rakyat fahami adalah fungsi dan dasar
sesebuah kerajaan yang cekap dan berintegriti.
Perkara pertama, fungsi sesebuah kerajaan adalah berstruktur, bukan
cacamarba dengan gimik perasmian itu dan ini. Kita ada kerajaan negeri
dan kerajaan tempatan.
Kuasa kerajaan negeri dikongsi dan diturunkan kepada pihak berkuasa
tempatan (PBT) sama ada majlis daerah, perbandaran atau bandar raya.
Harus jelas, jitu
Fungsi kerajaan negeri yang turun padang ke setiap kawasan parlimen
yang memiliki PBT atau berkongsi PBT harus jelas dan jitu. Bukan gimik.
Dalam semua lawatan MB Johor ke kawasan-kawasan ini, kita tidak
mendengar apa-apa pengumuman untuk melakukan perubahan atau reformasi
terhadap PBT ini.
PBT adalah agensi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat di setiap
lokaliti. Kemajuan dan kecekapan PBT akan memberi impak secara langsung
dengan keperluan rakyat di setiap parlimen dan DUN. PBT bukan boleh
menjadi cekap hanya dengan lawatan MB!
Maka, lawatan MB tanpa membuat pembaharuan ke atas PBT adalah
tersasar dari fungsi kerajaan. Tidak ada perubahan atau pembaharuan
bermakna kerja melawat ini sia-sia. Lawatlah sebanyak mana pun parlimen
atau DUN, ia sia-sia kerana ia bukan tugas utama sesebuah kerajaan.
Sebagai contoh. Adakah MB sedar bahawa bas percuma (diciplak dari
Selangor dan Pulau Pinang) yang diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada
PBT, tidak memberi impak maksimum?
Sudahkah MB melawat laluan-laluan bas percuma ini? Tahukah beliau
bahawa laluan-laluan yang ditentukan oleh PBT tidak mencakupi laluan
penting?
Sebaliknya, apa yang dilihat penting dalam lawatan beliau hanyalah
program merasmi pecah tanah itu dan ini, edar pemberian atau sumbangan
itu dan ini kepada rakyat.
Bayangkan betapa sia-sia dan pembaziran waktu untuk lawatan-lawatan ini.
Mendengar sambil melopong
Rakyat tentulah suka dapat bertemu pemimpin. Itu perkara alamiah.
Tetapi ingin saya ulangi, adakah ini fungsi sebenar kerajaan untuk
menyelesaikan masalah rakyat?
Jika mengatakan bahawa ini salah satu cara untuk pemimpin mendengar
keluhan rakyat? Saya ingin bertanya, berapa banyak sesi dialog yang
dijalankan secara terbuka di setiap kawasan yang MB lawati itu? Tidak
ada juga. Yang ada cuma ucapan politik dari MB kepada rakyat, rakyat
pula mendengar sambil melopong.
Kedua, soal integriti.
Dalam semua acara mahupun lawatan beliau hingga hari ini, tidak ada
satu pun rakyat mendengar adanya perubahan polisi dan mekanisme untuk
memulihkan integriti kerajaan negeri dan menarik kembali keyakinan
rakyat selepas terpalit dengan skandal penyelewengan hartanah di Johor.
Beliau hanya menukar portfolio dan exco, bukan melakukan reformasi
sistem, baik di peringkat UPEN atau agensi negeri yang lain termasuk
PBT.
Isu tentang bagaimana tender-tender di peringkat PBT dibuat?
Bagaimana ahli majlis dapat lebih cekap dalam melaksanakan amanahnya?
Rakyat mahu mendengar dan berbincang tentang perkara-perkara ini dalam
lawatan menteri besar, tetapi tidak ada.
Saya ingin beritahu kepada rakyat bahawa, gimik-gimik menteri besar
Johor ini tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, sebaliknya beliau
hanya meneruskan legasi kepincangan sistem yang wujud di peringkat
kerajaan negeri dan PBT.
Sistem yang masih tiris ini diabaikan dengan gimik meriah lawatan ke
parlimen-parlimen di Johor. Selain daripada gimik lawatan, semua
perasmian dan pemberian kepada rakyat, hanyalah ibarat dedak pilihan
raya. Ia juga bertujuan untuk menagih simpati dari rakyat. Tidak lebih
dari itu.
Hakikatnya, kerajaan Johor masih mewarisi pimpinan kleptokrasi Najib Razak.
MAHDZIR IBRAHIM pengarah biro pendidikan politik DAP.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan