Selepas 40 tahun, gerakan Islam masih di alam khayalan?

Oleh Zin Mahmud

Minggu lalu, dua peristiwa berkaitan Islam dibincangkan di media sosial.
Pertama, mengenai keputusan Barisan Nasional (BN) tidak membawa rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) ke Dewan Rakyat.
Kedua, mengenai usaha pihak berkuasa keselamatan membanteras kegiatan yang boleh membawa kepada keganasan.

RUU 355 yang diperjuangkan PAS ini mempunyai asal-usul daripada usaha untuk melaksanakan syariah di negara ini, yang meliputi hukum hudud.

Sementara ancaman keganasan berkaitan IS yang asalnya merupakan sebahagian daripada Al-Qaeda mempunyai susur galur daripada perjuangan Mujahidin membebaskan Afghanistan daripada cengkaman Soviet Union.

Masyarakat Islam negara ini umumnya menolak keganasan. Ia bukan saja suatu ekstremisme tetapi dianggap bercanggah dengan Islam.

Tetapi dalam RUU 355 itu, ia memperoleh banyak sokongan dalam masyarakat Islam, walaupun terdapat juga penentangan terhadapnya. Penyokong menganggap RUU itu wajar sementara penentang berpendapat ia tidak patut digubal pada waktu ini.

Kedua-dua perkembangan itu boleh dipandang sebagai sebahagian daripada hasil perjuangan gerakan Islam di negara ini. Tetapi gerakan Islam adalah luas dan pelbagai dengan alirannya bertentangan di antara satu sama lain.

Tentunya golongan biasa akan menolak pihak ekstremis, walaupun kedua-duanya adalah juga sebahagian daripada gerakan Islam. Malah ada golongan Islam yang mendokong demokrasi liberal dan negara kebajikan. Mereka juga merupakan sebahagian daripada gerakan Islam.

Maka apa yang dimaksudkan dengan gerakan Islam adalah sesiapa saja yang berjuang untuk melaksanakan Islam, walaupun pesertanya berada dalam pelbagai bentuk, dengan tafsiran agama mereka juga bermacam ragam.

Era kebangkitan Islam
 
Gerakan Islam ini boleh dilihat dalam bentuk 3 peringkat sejarah.
Pertama, gerakan Islam yang dikira daripada bermulanya perjuangan Rasulullah s.a.w sehinggalah pemansuhan khilafah Uthmaniyyah. Peringkat kedua ialah perjuangan memulihkan khilafah melalui gerakan Pan-Islam dipelopori Jamaluddin Al-Afghani sehinggalah kepada apa yang pernah dinamakan sebagai “Era Kebangkitan Islam”.

Era ini dikira bermula dengan gerakan Revolusi Iran hinggalah sekarang. Walaupun Revolusi Iran berlaku pada 1979, tetapi demonstrasi pertama menentang Shah Iran, Reza Pahlavi bermula pada tahun 1977. Tahun itulah yang boleh dikira sebagai bermulanya Era Kebangkitan Islam. Tahun ini, 2017, ia sudah mencapai 40 tahun.

PAS ditubuhkan pada 1955 dan merupakan sebahagian daripada tradisi gerakan Islam peringkat kedua yang menyaksikan penubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan dan Masyumi di Indonesia.

Dari tradisi inilah ditubuhkan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu pada 1945, yang daripadanya dimunculkan dalam bentuk PAS, walaupun pada asalnya adalah Biro Agama Umno.
Dari awal lagi mereka bercita-cita mewujudkan negara Islam, atau negara yang melaksanakan syariah.

Pada 1976, PAS berada dalam BN, tetapi gelombang anak muda yang serius memperjuangkan Islam menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Maka pertubuhan ini menjadi wadah bagi gerakan Islam peringkat ketiga.


Ketika itu Abim lebih radikal daripada PAS. Sementara itu muncul kumpulan dakwah yang merupakan sebahagian daripada gerakan Islam ini, seperti Darul Arqam dan Tabligh.
Di luar negara, pelajar Malaysia juga menubuhkan kumpulan dakwah seperti Islamic Representative Council (IRC) dan Suara Islam.

Revolusi Islam
 
Tetapi peristwa yang menimbulkan suatu gelombang gerakan Islam yang baharu berlaku apabila tercetus Revolusi Iran. Ia pula beserta dengan kemasukan tentera Soviet Union ke Afghanistan. Ia mendorong kepada semangat gerakan Islam yang besar melalui jihad Mujahidin. Pada waktu sama Sudan mengisytiharkan dirinya negara Islam yang akan melaksanakan syariah.

Selepas PAS dikeluarkan daripada BN, berlaku rombakan yang dianggap bermulanya era “Kepimpinan Ulama” dalam parti itu.

Tetapi aspirasi gerakan Islam menjadi arus perdana. Umno juga memberikan respons terhadap fenomena Islamisasi global ini.

Apa yang negara ini lalui juga turut dialami oleh bahagian dunia Islam yang lain. Gerakan Islam di Turki muncul dalam bentuk parti politik pimpinan Necmettin Erbakan. Tetapi gerakan Islam ini berbentuk seperti sehelai kain putih yang besar menampung pelbagai tafsiran. Daripada paling sederhana, hijau luntur sehinggalah kepada hijau pekat dan terus hitam. Golongan ektremis pun ada. Ada yang berbentuk ganas, tidak kurang pula yang hanya berhujah.

Di Indonesia timbul kumpulan militan seperti Negara Islam Indonesia (NII) yang mewarisi Darul Islam daripada gerakan 1980-an. Ia kemudian menjadi Jemaah Islamiyah (JI) yang pengaruhnya sampai juga di Semenanjung.

Di Malaysia pula, ada kumpulan militan yang dipanggil KMM oleh pihak berkuasa.
Maka hasil daripada gerakan Islam dalam masa 40 tahun ini tidak membanggakan. Umat Islam tidak dikagumi atau dihormati tetapi ditakuti dan dibenci. Maka sebab itulah lahir Islamofobia.

Revolusi Islam Iran tidak berjaya di tempat lain kecuali di Lubnan di mana Hizbullah memainkan peranan. Walaupun Iraq dipengaruhi kuat oleh Iran tetapi ia bukanlah sebuah republik Islam.

Iran hanya menjadi pemain penting di Syria dan Yaman untuk menjadi pengimbang kepada Arab Saudi. Akhirnya Iran ditakuti kerana keupayaannya untuk membina bom nuklear.

Afghanistan yang menyaksikan kejayaan jihad Mujahidin 40 tahun lalu menjadi negara yang tidak boleh berfungsi. Ia masih berperang dengan Taliban. Sudan yang mengisytiharkan dirinya sebagai negara Islam lebih awal daripada Iran dan Afghanistan juga tidak ke mana. Malah ia kehilangan wilayah dengan Sudan Selatan menjadi negara merdeka, bermajoritikan penduduk beragama Kristian.


Utopia
 
Dahulu, gerakan Islam memperjuangkan penubuhan negara Islam, walaupun bentuk yang pelbagai menurut tafsiran kumpulan masing-masing.

Tetapi kini istilah Islamic State menjadi keji kerana ia nama sebuah kumpulan pengganas yang menubuhkan sebuah kerajaan “Khalifah” tetapi ditolak oleh umat Islam seluruh dunia.

Di Malaysia, usaha melaksanakan hukum hudud tercermin melalui pemerkasaan mahkamah syariah yang terkandung dalam RUU 355, juga dikaitkan dengan perjuangan gerakan Islam.

Sedangkan banyak pendokong gerakan Islam mengimpikan negara Islam yang makmur dan penuh berkebajikan pada rakyatnya. Maksudnya negara Islam itu bermaksud sebuah negara yang baik untuk semua rakyatnya, bukan saja untuk umat Islam, tetapi juga bukan Islam.

Ia juga bermaksud sebuah negara yang bebas, bertoleransi, maju baik dari segi ekonomi, politik dan sosial mahupun intelektual.

Pendek kata negara Islam yang diperjuangkan oleh gerakan Islam itu adalah satu utopia.

Maka jika sesuatu usaha itu menjadi kontroversi, penuh pertikaian dan huru-hara serta menimbulkan ketakutan, ia tidak menepati dengan aspirasi sebenar gerakan Islam.

Tetapi utopia hanyalah suatu khayalan. Jika negara Islam adalah suatu utopia, maka ia adalah satu khayalan. Kalau begitu, perjuangan 40 tahun gerakan Islam adalah suatu khayalan semata-mata.

Tetapi jika seseorang masih percaya pada gagasan negara Islam dan konsep gerakan Islam, maka ia perlu teori baharu untuk zaman kontemporari dengan mengambil iktibar daripada pelajaran 40 tahun perjuangan gerakan Islam.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan