Oleh Abu
Firdaus
Pengerusi
Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan
mengenai kesan jangka panjang projek mega yang berkaitan dengan Republik Rakyat
China di Johor Darul Takzim. Sementara ada pihak mengkritik beliau kerana pada
zamannya, bekas perdana menteri itu mempelopor Dasar Pandang ke Timur dengan
banyak bekerjasama dengan Jepun. Tidakkah Republik Rakyat China juga adalah
sebahagian daripada timur?
Adalah
menarik bahawa pada tahun 1980-an, negara-negara yang banyak dilibatkan dengan
Dasar Pandang ke Timur ialah Jepun dan Korea Selatan. Ada dalam satu simposium
mengenai Dasar Pandang Ke Timur pada zaman itu, penulis mendengar orang
menyebut mengenai kewajaran membabitkan China, Taiwan dan Hong Kong dalam dasar
itu. Sentimen itu juga pernah disuarakan oleh kalangan ahli MCA. Namun kerajaan
Dr Mahathir tetap lebih memandang Jepun dan Korea Selatan.
Mungkin
pada masa itu Republik Rakyat China walaupun sudah membuka ekonominya tetapi
hasilnya belum menjadi hebat seperti pada masa sekarang. Ketika itu dunia
bercakap mengenai empat naga atau NIC, negeri perindustrian baharu. Negeri-negeri
yang mereka rujukkan itu ialah Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Bila menyebut Dasar Pandang Ke Timur, Dr Mahathir hanya merujuk pada Jepun dan
Korea Selatan tetapi tidak Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Kebangkitan
Republik Rakyat China hanya terlihat pada tahun 1990-an. Ia berlaku selepas
Deng Xiaoping dapat mengukuhkan kuasa. Beliau mendapat nasihat dan sokongan
dari Lee Kuan Yew. Maka sistem ekonomi komunis diubah.
Mao Zedong
meninggal dunia pada lewat tahun 1970-an. Pada tahun 1980-an, Deng Xiaoping
mengukuhkan kuasa dan mengubah sistem ekonomi Republik Rakyat China. Amerika
Syarikat juga banyak membantu supaya China tidak memihak pada Soviet Union.
Pada tahun
1980-an, Republik Islam Iran baru ditubuhkan. Soviet Union tumbang dan umat
Islam serta gerakan Islam mengharapkan dunia Islam yang gemilang.
Tetapi
sepanjang tahun 1980-an, Iran terlibat dengan peperangan dan kemenangan
Mujahidin di Afghanistan hanya menambahkan kesengsaraan pada rakyat apabila
Taliban berkuasa. Sudan yang cuba melaksanakan Syariah gagal muncul sebagai
negara Islam contoh.
Ketika mana
China meningkat maju pada tahun 1990-an, keadaan dunia Islam bertambah buruk.
Afghanistan, Iraq dan Sudan terlibat dengan peperangan. Sementara Iran
menghadap sekatan ekonomi dan terus bermusuh dengan Amerika.
Kejatuhan
Soviet Union tidak melahirkan negara negara Islam yang dapat dibanggakan. Malah
Chechnya dan Bosnia Herzegovina menyaksikan orang Islam terkorban dalam perang
yang dahsyat.
Pemerintahan
Reccep Tayyip Erdogan di Turki memberi harapan baharu kepada umat Islam yang
dahagakan negara Islam contoh. Turki cuba mewujudkan kemakmuran di Asia Tengah
bersama bangsa serumpunnya di Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan
Kyrgyzstan.
Tetapi
rumpun Turki di China iaitu Uighur di Xinjiang menjadi masalah pada Republik
Rakyat China. Ketika mana golongan Hui, iaitu China Muslim khususnya di Yunnan
dan Ningxia dapat makmur dan ikut serta dengan kemajuan ekonomi Republik Rakyat
China, minoriti Uighur pula berasa terpinggir dan antaranya terlibat dengan perjuangan
pemisahan dan keganasan. Ada kalangan mereka pula mendapat sokongan pihak
Amerika yang melihat terdapat pelanggaran hak asasi manusia oleh Beijing.
Kini pada
tahun 2017, Republik Rakyat China ada keyakinan untuk menjadi kuasa besar dunia
dengan mempunyai hubungan baik dengan banyak negara di dunia hingga mampu
menegaskan tuntutannya ke atas sebahagian wilayah Laut China Selatan. Kini ia
bersedia berdepan dengan Amerika pimpinan Donald Trump.
Tetapi
dunia Islam pula dalam keadaan kacau bilau. Turki yang diharapkan juga diserang
oleh Daesh yang merosakkan citra Islam di seluruh dunia. Arab Spring gagal
dengan perang dahsyat berlaku di Syria dan Yaman.
Fahaman
ekstrem dan superfisial beragama menggugat Indonesia. Pelaksanaan Syariah di
Aceh tidak melihatkan dapat melahirkan negara Islam yang rahmatan alamin. Apa
yang berlaku di Indonesia boleh juga berlaku di Malaysia.
0 comments:
Catat Ulasan