DAP: Bukan kami, MCA yang mahu pindah bazar di Kluang

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong menafikan DAP meminta bazar Ramadan di daerah itu dipindahkan pada 2007, sebaliknya beliau mendakwa MCA ialah dalang di sebalik tindakan itu.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, tidak mungkin parti itu boleh berbuat demikian kerana mereka tidak mempunyai kerusi di daerah itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Katanya, hasil semakan mendapati Adun Mengkibol daripada MCA ketika itu, Gan Ping Sieu yang mengetuai bantahan terhadap bazar itu dan membuat pembentangan kepada pegawai daerah.

“Ia adalah penipuan jahat. Saya terkejut apabila Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Bahagian Umno Kluang, Md Jais Sarday terkeliru antara MCA dan DAP.

“Nasihat saya kepada mereka – berhenti menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia, berhenti berbohong dan menyokong kelakuan ganas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Jun lalu, pasukan petugas Pakatan Harapan yang diketuai Liew dihalau sekumpulan pemuda ketika mengedarkan kurma di bazar Ramadan Kluang. Mereka pernah dihalau di bazar Ramadan sama pada 2014.

Semalam, Razali dilaporkan berkata, kemarahan yang tersimpan sejak 10 tahun lalu ialah punca pertembungan Pakatan Harapan dan sekumpulan pemuda di bazar Ramadan di Kluang, Sabtu lalu.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa DAP meminta peniaga di Kluang menutup perniagaan mereka dan berpindah pada 2007.

“Peristiwa itu masih di fikiran mereka. Sebab itu kejadian tempoh hari berlaku di Kluang dan bukan di tempat lain. Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Kalau kita provokasi seseorang mesti akan ada tindak balas,” katanya semalam.

Liew meluahkan rasa kesal kerana tindakan Umno itu seperti membenarkan perbuatan sedemikian berulang.

“Saya dihalang orang yang sama pada Julai 2014…Saya diberitahu (lelaki itu) penyokong kuat Jais. Jika Jais mengambil pendirian berprinsip ketika itu, insiden ini boleh dielakkan.
“Bazar adalah ruang awam dan setiap orang sepatutnya dibenarkan melawat. Kami tiada masalah mengagihkan kurma dan bertemu rakyat di kawasan makanan bazar, tetapi hanya berdepan samseng Umno di kawasan ‘kering’,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang turut terbabit dalam insiden itu berkata, “lagak samseng” itu sama sekali bukan akhlak Islam dan adab Melayu, apatah lagi di bulan Ramadan.

“Sekalipun pelaku melaung-laungkan ‘saya imam’…ia hanya amalan ‘budak-budak’ Umno yang mendapat restu pemimpin mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, beliau difahamkan bahagian kering bazar itu diuruskan Umno, justeru yakin insiden itu berpunca daripada parti itu sendiri yang mahu mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama sempit.

Dalam rakaman video kejadian itu, sekumpulan pemuda dilihat terjerit-jerit sambil menghalang pasukan Pakatan Harapan memasuki bahagian bazar itu. Liew dan Ketua Bahagian PPBM Kluang, Radzali Mohd Noor kemudiannya membuat laporan polis.

Susulan itu, 2 lelaki ditahan pada Ahad lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan