Halang Bakteria Menjadi Kebal

Beberapa hari yang lepas, saya pergi ke sebuah kedai farmasi untuk membeli sedikit supplement kesihatan.

Saya memerlukan supplement tersebut memandangkan saya mempunyai masalah sendi lutut. Supplement tersebut sebenarnya ada dibekalkan di sesetengah hospital namun dikhaskan untuk pesakit yang lebih serius.

 Oleh sebab itu, walaupun saya seorang ahli farmasi yang juga merupakan kakitangan awam, saya perlu membeli sendiri supplement tersebut.

Sedang saya membelek-belek beberapa botol supplement tersebut, datang seorang wanita berumur lingkungan 40-an terus menuju ke kaunter ubat yang sedang dijaga oleh ahli farmasi.

Wanita: “Ada jual Antibiotik tak?”
Ahli Farmasi: “Ada puan..”
Wanita: “Minta satu keping”
Ahli Farmasi: “Maaf Puan, boleh saya dapatkan preskripsi?”
Wanita: “Preskipsi? Apa tu?”
Ahli Farmasi: “Surat doktor”
Wanita: “Tak ada surat-surat ni. Kalau nak jumpa doktor tak payah la saya datang sini”
Ahli Farmasi: “Maaf puan, saya tak boleh jual antibiotik kalau tiada preskipsi. Boleh saya tau kenapa puan nak ambil antibiotik?”
Wanita: “Farmasi apa macam ni? Ubat pun susah nak beli. Tanya macam-macam.
Ahli Farmasi: “Antibiotik ni ubat terkawal puan. Penggunaannya perlulah sesuai dengan penyakit puan. Ia boleh mendatangkan mudarat jika digunakan tanpa pengawasan”
Wanita: “Ah sudah lah. Saya pun tahu lah dah google semua. Farmasi tak guna, ubat pun tak ada”

Wanita tersebut berpaling dan lantas keluar dengan wajah yang teramat masam. Hancur remuk hati Pegawai Farmasi kerana niat murninya memberikan nasihat kesihatan kepada wanita tersebut diperlekehkan dan dihina.

Saya agak terkejut dengan respon wanita tersebut. Namun bagi saya apa yang berlaku adalah akibat dari salah faham tentang kegunaan antibiotik dalam rawatan penyakit.

Antibiotik merupakan ubat yang digunakan untuk membunuh BAKTERIA. Ia cuma berkesan ke atas penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria. Kebanyakan orang beranggapan antibiotik berkesan untuk merawat demam. Demam dan selsema ringan kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan virus. Oleh sebab itu, antibiotik tidak berkesan dalam kes-kes tersebut.

Untuk dirawat dengan antibiotik, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan oleh doktor. Doktor akan mendiagnos penyakit samaada disebabkan oleh bakteria ataupun tidak. Setelah jangkitan disahkan, doktor akan memilih jenis antibiotik yang sesuai berdasarkan jenis bakteria yang biasa mengakibatkan penyakit tersebut.

Terdapat puluhan jenis antibiotik yang terdapat di pasaran. Setiap jenis antibiotik ini hanya boleh membunuh bakteria-bakteria tertentu sahaja. Antibiotik bukanlah seperti bom yang boleh membunuh banyak musuh dalam satu-satu masa. Ia bertindak seperti pistol yang hanya membunuh musuh yang diacukan dan menjadi sasaran.

Selain itu, penggunaan antibiotik secara berleluasa juga akan menyebabkan masalah yang lebih besar.
Penggunaan tanpa kawalan dan berulang-ulang tanpa indikasi yang betul akan menyebabkan antibitik yang digunakan tidak akan lagi berupaya untuk membunuh bakteria yang disasarkan.

Sebagai perumpamaan, seorang yang tidak memakai kasut pastinya akan mudah tercedera di tapak kaki. Namun sekiranya dia kekal tidak memakai kasut, lama kelamaan kulit tapak kaki akan menjadi kasar dan tebal. Ini menjadikan tapak kaki lebih ‘kebal’ dan sukar untuk tercedara.

Begitu juga dengan bakteria. Sekiranya antibiotik tidak diambil mengikut peraturan, bakteria tidak akan dapat dibunuh dengan sempurna. Bakteria yang masih hidup akan menjadi ‘kebal’ terhadap antibiotik yang sama pada masa hadapan. Fenomena ini dikenali sebagai kerintangan antibiotik (antibiotic resistance).

Masalah kerintangan antibiotik ini merupakan ancaman yang serius dan dihadapi oleh banyak negara. Sekiranya tidak dikawal, tidak mustahil kita akan kehabisan antibiotik yang boleh digunakan akibat dari jangkitan dari bakteria-bakteria yang kebal.

Sebagai orang awam, anda boleh membantu dalam mengelakkan dari perkara ini berlaku. Apa yang anda perlu buat adalah:
  1. JANGAN beli antibiotik tanpa preskripsi (merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang)
  2. Dapatkan pemeriksaan doktor dan preskripsi sekiranya anda disahkan memerlukan rawatan dengan antibiotik
  3. JANGAN minta diberikan antibiotik sekiranya doktor anda tidak mempreskribnya kepada anda
  4. Habiskan antibiotik mengikut aturan dan durasi yang diberikan sekiranya anda dirawat dengan antibiotik.
Bersama-sama kita mampu untuk menghalang masalah kerintangan antibiotik. Gunakan ubat dengan bijak.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan