Telah menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga kesihatan mulut bayi sejurus selepas lahir. Walaupun bayi masih belum mempunyai gigi, dinasihatkan membersihkan gusi bayi dengan kain lembut dan basah dua kali sehari untuk membuang sisa susu dan juga menjaga kesihatan mukosa mulut bayi. Selain itu, ini ialah cara halus dan perlahan untuk memperkenalkan bayi dan membiasakan bayi anda dengan proses memberus gigi apabila giginya tumbuh kelak.

Gigi bayi akan mula tumbuh seawal umur enam bulan. Semasa proses tumbuh gigi, sudah semestinya bayi anda akan meragam kerana keadaan gusinya yang sakit dan tidak selesa serta membengkak.
Ada juga bayi yang akan demam semasa proses tumbuh gigi ini, tidak berselera makan, tidak lena tidur, sering menangis serta air liurnya menjadi banyak dan meleleh keluar. Anda boleh legakan ketidakselesaan akibat tumbuh gigi ini dengan memberikan bayi anda benda lembut yang selamat untuk dikunyah dan buah-buahan seperti epal untuk dia menggeselkan gusinya yang tidak selesa. Keadaan ini akan berlalu apabila gigi tumbuh sepenuhnya.

Apabila gigi telah tumbuh dan ada di dalam mulut, anda haruslah memberus gigi bayi anda dengan berus gigi yang lembut dan bersaiz kecil. Pada ketika bayi terlalu kecil dan tidak pandai meludah keluar, pilihlah ubat gigi tanpa flourida. Apabila anak anda sudah cukup besar dan pandai meludah keluar, tukarlah ubat giginya dengan ubat gigi berflourida bertujuan menguatkan gigi dan mengelakkan berlakunya karies gigi.

Perkara yang saya ceritakan ini ialah serba sedikit mengenai cara penjagaan gigi bayi dan kanak-kanak. Sejujurnya, karies gigi amat senang berlaku pada gigi susu jika tidak dijaga kebersihannya dengan optimum. Ini kerana gigi susu mempunyai enamel yang lebih nipis dan lebih cenderung terhakis.

Jika kebersihan gigi tidak dijaga, plak yang terkumpul pada enamel akan mengeluarkan asid yang melembutkan struktur enamel tersebut seterusnya terjadilah karies gigi apabila enamel tersebut melembut dan pecah.

Pada kanak-kanak yang menyusu botol, keadaan ini kerap berlaku pada kawasan gigi depan terutama jika anak tersebut menyusu botol pada waktu tidur. Air susu akan berkumpul dalam mulut seterusnya menyebabkan keadaan di panggil karies rampan.

Pujukan

Karies rampan ini akan mengakibatkan gigi anak tersebut terhakis secara menyeluruh terutama gigi hadapan atas. Ini akan mereput dan menjadi hitam dan dalam keadaan lebih serius boleh menyebabkan kawasan gusi terlibat bengkak dan bernanah. Walaupun ramai yang menganggap gigi karies gigi susu ini remeh kerana gigi susu ini akan digantikan dengan gigi kekal, namun peranan gigi susu yang paling penting adalah menyediakan platform untuk gigi kekal nanti. Gigi kekal akan menggantikan gigi susu ditempatnya.

Jika gigi susu rosak dan dicabut terlalu awal, ada kebarangkalian gigi kekal akan lambat tumbuh ataupun tumbuh berlainan dari tempat asalnya menjadikan susunan gigi kekal tidak sempurna. 

Kebiasaannya doktor gigi akan cuba menyimpan gigi susu selama mungkin. Rawatan tampalan gigi ataupun menyarung korona stainless steel untuk gigi geraham dan zirconia bagi gigi depan agar gigi susu tersebut boleh bertahan dan berfungsi di dalam mulut. Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga kebersihan gigi anak bagi mengelakkan perkara di atas daripada berlaku. Pergilah bawa anak-anak seawal satu tahun ke klinik gigi untuk diperiksa oleh doktor gigi dan membiasakan anak itu dengan persekitaran klinik gigi supaya anak itu tidak takut bila memerlukan rawatan.

Namun begitu, ada juga anak-anak yang takut berhadapan dengan doktor gigi lebih-lebih lagi jika mereka pernah mengalami pengalaman yang menakutkan atau menyakitkan dalam klinik gigi. Ada juga anak-anak ini yang tidak dapat dipujuk untuk mendapatkan rawatan. Saya pernah berhadapan dengan pesakit berumur lapan tahun yang menjerit dan meronta-ronta di atas kerusi rawatan dan langsung tidak mahu membuka mulut.

Dalam keadaan agak sukar ini, mungkin cara rawatan biasa tidak akan berhasil, kerana dalam keadaan kanak-kanak itu sedang ketakutan dan trauma dia tidak akan mendengar pujukan kita dan kita tidak dapat berbual secara rasional dengannya.

Tetapi, dengan pemodenan rawatan pergigian, fasiliti pergigian dan peralatan canggih yang mesra kanak-kanak serta pakar pergigian pediatrik yang bidangnya memang khusus untuk menangani masalah pergigian kanak-kanak, rawatan untuk anak yang takut dan gerun akan doktor gigi menjadi lebih menyeronokkan dan lebih selesa.

Terdapat klinik pakar pergigian kanak-kanak yang dilengkapi dengan ruang santai dan permainan yang membuatkan anak-anak lupa mereka di klinik gigi, peralatan dan kelengkapan dalam bilik rawatan yang berlainan rupanya dan lebih menyeronokkan untuk anak-anak seperti jarum suntikan berupa buaya, penutup mulut doktor yang mempunyai lakaran kartun yang lucu, kerusi pergigian berbentuk dinosour atau kereta lumba menjadikan rawatan pergigian sesuatu yang dinantikan oleh anak-anak.

Namun jika ruangan fizikal yang menarik ini masih tidak dapat memujuk anak tersebut, pakar pergigian pediatrik boleh melakukan rawatan dengan pesakit diberikan sedutan gas Nitrous Oxide di mana pesakit akan berada dalam keadaan separa sedar dan tidak merasa sakit.

Rawatan ini adalah sangat selamat dan ibu bapa tidak perlu risau akan risikonya jika ia dikendalikan oleh pakar pergigian yang bertauliah. Anak anda tidak akan sedar yang giginya telah dirawat dan dia akan berasa senang dengan rawatan tersebut dan tidak akan timbul rasa trauma terhadap doktor gigi.

Anak ialah amanah yang paling besar bagi kita. Merekalah masa depan kita. Dengan melentur sifat dan menanam sikap yang baik dalam diri mereka termasuklah pentingkan kebersihan dan kesihatan diri, kita telah menerapkan sikap mulia yang bakal melahirkan insan gemilang.

Hingga bertemu lagi, senyumlah dari hati, senyuman yang ikhlas, wajah pasti berseri.