Oleh Timmy Say
Jururawat 1
“Kampung di mana, cik?” tanya seorang jejaka yang kelihatan seperti uncle kerana seorang jururawat yang duduk di kaki lima menunggu suami untuk mengambilnya pulang ke rumah.
“Kampung di Ipoh. Tahun lepas dah cuti raya. Tahun ini saya bertugas
pula, jadi tak balik,” jawab jururawat Hospital Selayang yang bekerja di
aras 7.
“Siapa yang tentukan siapa boleh cuti, siapa yang tak boleh cuti?” tanya jejaka itu lagi.
“Sister. Mereka yang pakai baju biru muda. Kita ikut giliran
setiap tahun. Kalau tahun ini tak cuti raya, tahun depan kita pula
cuti,” jawab jururawat itu.
“Sedihkah cik tak dapat cuti raya tahun ini? Bagaimana keluarga dapat terima ini?” tanya jejaka itu lagi.
“Sedih juga. Tapi tahun lepas, ada kawan-kawan jururawat dah
berkorban kerja di waktu raya untuk kita. Tahun ini kita pula yang
berkorban. Sebelum saya kahwin, saya dah maklumkan pada keluarga mertua
dan suami bahawa ini realiti kerja sebagai jururawat, jadi tak ada
masalah,” jawab jururawat itu.
“Ada apa-apa insentif ke kerja waktu raya ini?” tanya jejaka itu lagi.
“Yang biasa-biasa itulah. Kita dibayar pay waktu raya. Tu sahajalah,” jawabnya dengan spontan.
“Bila pula cik akan cuti raya,” jejaka itu bertanya lagi.
“Raya ke-4. Cuti raya ini diberi maksima 6 hari sahaja. Giliran kita
pula cuti selepas itu. Syawal sebulan kan, jadi sempatlah lagi raya
bersama keluarga. Cuma bukan semua orang akan ada, ada yang dah balik
awal,” jawabnya.
“Jumpa esok di wad. Bye,” tambah jururawat itu sambil tersenyum melihat kereta suaminya tiba.
Jururawat 2
Dalam perjalanan pulang ke wad untuk menjaga bapanya, jejaka itu terjumpa seorang jururawat yang sedang dalam perjalanan pulang.
“Kak dah cuti ke?” tanya jejaka itu.
“Ya, hari ini last. Malam ini nak balik kampung ke Terengganu sebab Ahad dah raya,” jawab jururawat itu dengan nada gembira.
“Sampai bila cuti kak? Double pay pun tak nak ke?” tanya jejaka itu berseloroh.
“Raya ke-5. Tahun lepas dah tak dapat cuti. Double pay pun
tak dapat ganti tahun yang hilang, dik.
Raya bersama keluarga ini, kalau
ada peluang, kena hargailah. Dik tengok wad pun agak kosongkan sebab
semua pesakit yang keadaannya tidak teruk sangat, doktor pun dah
lepaskan mereka balik untuk raya. Tiada siapa yang nak beraya di
hospital kalau boleh,” kata jururawat itu.
“Ok kak. Selamat Hari Raya,” ucap jejaka itu.
“Harap kak balik nanti, Dik dan papa dah tak ada di sini,” balas jururawat itu.
Jururawat 3
Setibanya di katil bapanya, ada seorang jururawat yang sedang
menyalurkan darah ke tangan bapa. Setelah selesai, jejaka mengambil
peluang untuk bertanya jururawat itu.
“Tak cuti raya ke tahun ini?” tanya jejaka itu.
“Tak. Saya cuti minggu ke-3. Tahun lepas dah cuti raya,” jawab jururawat itu.
“Mengapa minggu ke-3 baru cuti?” tanya jejaka itu.
“Suami saya cuti. Jadi dia bawa anak-anak balik kampung mertua dulu.
Dah jam sekali cukuplah. Kalau minggu ini nak balik kampung saya di
Temerloh, nanti jam sekali lagi bila nak balik KL. Jam ini menyebabkan
cuti kita tidak berkualiti. Banyak masa habis dalam kereta dalam keadaan
marah-marah sahaja,” jawab jururawat itu.
“Suami balik kampung seorang dengan anak-anak… kesiannya,” tambah jejaka itu.
“Dah biasa. Mereka dah terima hakikat ada menantu jururawat. Lagi kesian untuk pesakit-pesakit macam ayah you kalau semua nurse cuti,” balasnya secara tersenyum.
“Tahun ini kita raya sama di sini,” tambahnya.
Hero masyarakat
Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, marilah kita sama-sama berterima
kasih mengingati mereka yang perlu bertugas demi orang lain untuk
menikmati bulan Syawal dengan tenang bersama keluarga.
Jururawat, doktor, penjaga sekuriti, bomba kecemasan, pegawai polis,
pembantu tol plaza, peronda lebuh raya dan sebagainya yang perlu
bertugas ketika raya ini, TERIMA KASIH diucapkan.
Kalian adalah hero-hero masyarakat ketika raya ini. Jazakallah.
* Jejaka yang kelihatan seperti uncle itu ialah penulis.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan