Mahu untung? FGV perlu kembali kepada perniagaan teras

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures (FGV) perlu tumpu kepada perniagaan teras iaitu kelapa sawit dan aset hartanah jika mahu meraih keuntungan, kata seorang pakar minyak sawit yang pernah bersama agensi itu.

Prof Ahmad Ibrahim, penyelidik Institut Penyelidikan Getah yang terlibat dengan Felda pada 1990-an berkata ia dulu maju kerana menceburkan diri dalam perniagaan yang mengikut kepakaran mereka.

Menurutnya, Felda ketika diterajui Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali berjaya melangsaikan pinjaman bank dunia sebelum cukup tempoh pinjaman.

“Sebab utama Felda melakukannya dengan baik ketika itu kerana mereka melibatkan diri dalam perniagaan mengikut kepakaran mereka,” katanya

Bekas ketua pemasaran dan promosi Felda itu terlibat dalam mempromosikan syarikat perladangan itu ke seluruh dunia dan memperkenalkan syarikat itu ke China, India dan Eropah antara lain.

Misalnya, beliau berkata Felda menjadi rakan syarikat pengeluar barang pengguna terkemuka Procter & Gamble, dan syarikat kimia dan baja lain untuk menjual produk mereka.

“Mereka semua ada kaitan dengan minyak sawit. Mereka tumpu pada bidang yang memberi manfaat langsung dan menambah nilai pada perniagaan terasnya.”

Sawit tidak boleh rugi

Beliau berkata mustahil perniagaan minyak sawit melaporkan kerugian kerana pasaran menunjukkan pertumbuhan minyak makan meningkat setiap tahun.

Ahmad yang mempunyai sarjana kejuruteraan dan Ph.D pengurusan alam sekitar itu berkata memang ada risiko dalam industri minyak sawit.

“Ada risiko dari saat menanam hingga menjual. Pokok tidak akan berbuah kalau kamu pilih bahan menanam yang salah.”

Beliau menambah ada risiko semasa berurusan dengan pembeli maka sangat penting mempunyai hubungan baik dengan pembeli.

Salah satu caranya ialah menggajikan perunding yang baik untuk sentiasa menghubungi klien mengenai pembayaran tepat pada masanya.

“Kita perlu bina hubungan dan kepercayaan dengan pembeli. Semasa saya bekerja dengan minyak sawit, tugas CEO ialah membina hubungan supaya pembeli membuat bayaran tepat pada masanya.
“Ini kerana pakej sekecil 500 tan minyak sawit sahaja melibatkan beberapa juta dolar.”

Contoh IOI

Beliau berkata perunding tersebut perlu melihat sebab mengapa syarikat Afghanistan, Safitex menangguhkan pembayaran kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Beliau juga menasihatkan Felda supaya menanda aras amalan dan kejayaannya dengan IOI Plantations, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Sime Darby Plantations.

“IOI tidak mempunyai tanah sebesar Felda. KLK dan IOI berjaya. Mereka tumpu kepada perniagaan teras iaitu kelapa sawit dan tanah yang menjadi aset mereka. Apabila tanah mereka berdekatan kawasan bandar, ia menjadi aset untuk pembinaan.”

Sebaliknya Felda pula terlibat dalam perladangan, logistik, gula, getah, keselamatan, kejuruteraan, hartanah, pelancongan dan lain-lain.

Ahmad berkata apabila Felda melibatkan diri dalam perniagaan bukan teras, mereka perlukan kemahiran baharu dan orang baharu yang arif dalam perniagaan itu dan keunikannya.

Krisis FGV tercetus daripada tunggakan bayaran Safitex.

Setakat ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti serta merta, susulan pertelingkahan antara Zakaria dan Tan Sri Isa Samad, pengerusi FGV yang dipindahkanke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Malaysia (SPAD).

Menurut laporan media, FGV mencatatkan perolehan RM2.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017, berbanding kerugian bersih RM81 juta setahun lalu.

Sementara itu, keuntungan IOI Plantations dari segmen perladangan meningkat 94% tahun-ke-tahun pada 31 Mac 2017 kepada RM258.9 juta.

Syarikat perladangan kelapa sawit, KLK menyaksikan keuntungan bersih pada suku kedua berakhir 31 Mac 2017 melonjak 71.8% kepada RM289.6 juta, dari RM168.5 juta pada suku kedua sebelum ini.
Industri biofuel masih merangkak

Ahmad berkata Malaysia perlu mengambil kesempatan mempromosikan biofuel dalam kalangan negara Asean.

Ketika ini, Indonesia bergerak pantas dalam industri itu melalui B10, iaitu 10% daripada bahan bakar itu berasaskan biofuel.

“Mereka jauh meninggalkan kita. Antara langkah yang boleh kita ambil ialah mengkomersilkan barangan itu dalam negara,” katanya dan menambah kerajaan boleh memberi subsidi kepada syarikat yang berminat menjual produk itu.

Ini bagi menggalakkan syarikat dalam negara menyahut cabaran itu kerana ia memerlukan belanja yang besar.

Beliau menggesa kerajaan menjalankan pembaikan dalam biofuel bagi mengurangkan rintangan dari negara Eropah yang mahu mengharamkan produk itu kerana pencemaran gas rumah hijau yang tinggi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan