ISTERI “Malaysian Official No. 1” (MO1) bertanggungjawab secara moral
dan undang-undang untuk mengembalikan barang kemas yang didakwa dibeli
menggunakan wang yang dirompak daripada syarikat pelaburan negara
1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata penggubal undang-undang dan
peguam.
Dia perlu mengembalikan barang kemas kepada Jabatan Kehakiman Amerika
Syarikat (DoJ) ketika saman sivil terbaru mendedahkan barangan itu
dibeli menggunakan wang 1MDB.
Peguam Haniff Khatri Abdulla mencadangkan supaya isteri MO1 mengambil
tindakan undang-undang kepada DoJ sekiranya dakwaan itu tidak benar.
“Tetapi sekiranya dia tidak mahu berbuat demikian, dia sepatutnya
memulangkan kembali 28 barang kemas termasuk rantai loket berlian merah
jambu 22 karat yang berharga AS$27.3 juta (RM121 juta) kepada pihak
berkuasa AS supaya mereka boleh kembalikan balik kepada rakyat Malaysia.
“Kronologi peristiwa itu jelas menunjukkan wang itu datang daripada
1MDB, jadi ia wang rompakan, dan perkara yang sepatutnya dilakukan ialah
memulangkannya kembali.
“Dia sekurang-kurangnya mempunyai tanggungjawab moral, dan yang pasti
ada tanggungjawab undang-undang,” kata peguam yang mewakili bekas
perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes sivil itu.
MO1 dikenalpasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak yang sudah
menafikan wujudnya salah laku dalam skandal 1MDB. Peguam Negara Malaysia
Mohamed Apandi Ali juga membebaskan Najib daripada semua salah laku
susulan siasatan yang dilakukan ke atas skandal itu di negara ini.
Haniff menjelaskan, mereka yang salah didakwa di mana-mana tindakan
mahkamah mempunyai hak untuk memohon mahkamah supaya masuk campur dan
memohon supaya nama mereka dihapuskan daripada dokumen mahkamah.
Dalam kes ini, mereka yang didakwa terlibat boleh melantik peguam Amerika dan mencabar saman DoJ di mahkamah.
Pelakon Amerika Syarikat Leonardo DiCaprio dan model terkenal
Australia Miranda Kerr yang menerima hadiah bernilai jutaan dolar
daripada ahli perniagaan Malaysia Low Taek Sjo atau Jho Low sudah
menyerahkan kembali hadiah diterima mereka kepada DoJ.
Haniff mendesak supaya isteri MO1 menjelaskan kepada rakyat Malaysia sekiranya Jho Low memberinya sebarang hadiah.
“Dia patut memaklumkan kepada rakyat sekiranya mana-mana barang kemas
itu masih berada dengannya dan bila dia akan menyerahkannya kepada
DoJ,” katanya.
Peguam dan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata
isteri MO1 juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana kegagalan
berbuat demikian boleh dianggap satu kesalahan.
“Aspek pertama kes ini ialah di dalam konteks jenayah. Apabila anda
bercakap tentang jenayah ia adalah kesalahan kepada negara. Mereka yang
terlibat perlu bekerjasama kerana kegagalan memberikan kerjasama apatah
lagi menyembunyikan, menyekat bukti ialah satu kesalahan.
Dia juga menambah yang usaha mengesan aset yang dilakukan pihak
berkuasa AS menunjukkan saman itu bukanlah saman sivil semata-mata.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen juga mendesak isteri MO1 untuk
mengesahkan secara terbuka sekiranyanya dia ada menerima rantai berlian
merah jambu mewah daripada Jho Low.
“Sekiranya dia mengesahkan ada menerima rantai itu, persoalan kedua
ialah sama ada dia mengakui DoJ sebagai pihak berkuasa yang cekap dalam
siasatan 1MDB.
“Jika dia mengakui DoJ, jadi dia perlu menyerahkan kembali rantai
itu. Itu adalah prosedur undang-undang standard yang semua barang dibeli
dengan duit rompakan perlu dikembalikan kepada pihak berkuasa, jika
tidak, penerima boleh didakwa kerana penggubahan wang haram atau
memiliki barangan rompakan,” katanya.
Khalid Samad daripada Parti Amanah Negara (Amanah) pula mendesak individu terlibat supaya berterus-terang dalam perkara itu.
“Sudah disahkan DoJ yang dana digunakan tidak sah, jadi secara moralnya dia perlu kembalikan kepada rakyat Malaysia.
“Hakikat yang dia masih berdiam diri bermakna dia mengakui dan menyedari yang tindakannya salah,” katanya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan