Oleh ShahbudinHusin
Berdasarkan tiga tindakan yang sudah diambil oleh Jabatan Kehakiman
AS setakat ini dalam proses untuk merampas beberapa aset yang dipercayai
berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan, perkara paling nyata
ialah Najib Razak sudah kehilangan nilai moral untuk terus kekal sebagai
Perdana Menteri.
Dalam saman sivil pertama Julai 2016 lalu,
antara yang disebut oleh DOJ ialah wang berjumlah AS$731 juta atau lebih
RM3,000 juta yang diterima oleh Malaysian Official 1 adalah berpunca
daripada dana 1MDB.
Dapatan DOJ berdasarkan pengaliran wang yang
dikesan dengan bantuan FBI tidak membuktikan sama-sekali wang tersebut
adalah sumbangan derma daripada keranat Diraja Arab Saudi sebagaimana
yang disebut berulangkali oleh Najib.
Sementara salah seorang
menteri kabinet, Abdul Rahman Dahman mengesahkan bahawa MO1 adalah
Najib, fakta yang disebut oleh DOJ itu tidak pernah disanggah dengan
bukti-bukti yang kukuh sehingga ini.
Yang ada hanyalah penafian
kosong semata-mata. Lagi-lagi hujah yang digunakan ialah SPRM, Peguam
Negara dan PAC tidak mengesahkan adanya kehilangan wang 1MDB dalam
siasatan mereka.
Tetapi, kenapa Pesuruhjaya SPRM tidak disambung
khidmatnya, Peguam Negara ditukar secara mengejut dan laporan audit 1MDB
masih diOSAkan?
Malah, kenapa beberapa anggota kabinet yang bertanya mengenai 1MDB dipecat daripada jawatan mereka?
Mengapa juga bukti-bukti sahih mengenai pemberian derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi tidak ditampilkan sehingga sekarang?
Mana Zahid Hamidi yang dulunya pernah mengaku berjumpa dengan wakil keluarga Raja Arab tersebut?
Bolehkah beliau yang dilaporkan berada di Mekah kerana menunaikan umrah
ketika ini berjumpa dan menampilkan wakil keluarga penderma tersebut?
Adakah Najib bercakap benar mengenai wang tersebut yang diterimanya melalui akaun bank peribadi?
Najib juga mengaku sebahagian daripada kononnya wang derma itu sudah
dipulangkan semula kepada pemberinya kerana tidak habis digunakan.
Dilaporkan wang yang dipulangkan semula itu berjumlah AS$620 juta.
Kepada siapa wang tersebut dipulangkan?
Hasil siasatan DOJ mendapati wang tersebut dipulangkan kepada akaun
Tanore Finance dan berdasarkan perbicaraan di Singapura yang menyebabkan
dua bank ditutup dan beberapa orang telah didakwa serta didapati
bersalah atas penggubahan wang haram, Tanore Finance adalah disahkan
milik Tan Kim Loong @ Jho Low.
Jadi, kepada siapa Najib pulangkan
wang tersebut, kepada penderma yang merupakan kerabat Diraja Arab Saudi
atau kepada Eric Tan Kim Loong @ Jho Low?
Kalau derma diterima daripada kerabat Diraja Arab Saudi, kenapa ia dipulangkan kepada Tanore Finance?
Adakah Najib berkata benar mengenai pemulangan wang tersebut?
Dalam tindakan terbaru DOJ beberapa hari lalu, siasatan mereka juga
mendapati sebahagian daripada wang yang dipulangkan itu telah
dibelanjakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22k warna merah
jambu bernilai AS$27.3 juta atau hampir RM120 juta bagi kegunaan isteri
Malaysian Official 1.
Bagaimana wang yang Najib dakwa sudah dipulangkan masih boleh dibelanjakan untuk membeli barang kemas?
Siapa yang menggunakan wang tersebut untuk berbelanja? Kerabat Diraja Arab Saudi atau Eric Tan Kim Loong @ Jho Low?
Bolehkah Malaysian Official 1 tampil menunjukkan fakta sebenar
bagaimana isteri Malaysian Official 1 memperolehi set barang kemas
bernilai ratusan juta ringgit daripada dana yang sudah dipulangkan?
Dalam beberapa jawapan Najib mengenai wang 1MDB yang dikaitkan
dengannya, antara jawapan beliau ialah, "saya tak pernah guna wang 1MDB
untuk kepentingan peribadi", "saya tidak akan khianati amanah rakyat"
dan "kalau saya nak menyamun duit rakyat, takkan saya guna akaun bank
peribadi."
Berdasarkan siasatan serta dapatan DOJ dan ia tidak
pernah disanggah dengan bukti-bukti setakat ini, bolehkah suara hati
kita, tambahan di bulan Ramadan yang mulia ini mengatakan Najib telah
berkata benar?
Bukan soal fitnah, campurtangan asing atau
sebagainya harus dikaitkan, tetapi berdiam diri dan "buat sardin"
bukanlah jawapan yang memadai dalam dunia moden, era ketelusan dan
langit terbuka seperti sekarang, lebih-lebih lagi tidak mungkin laporan
setebal 251 halaman dapat direka dengan begitu mudah sebagaimana saman
sivil terbaru DOJ yang difailkan dua hari lalu jika semata-mata
berasaskan fitnah.
Kecuali jika Najib dapat segera menolak semua
yang dinyatakan DOJ itu berserta dengan bukti-buktinya sekali, termasuk
penyata bank dan sebagainya, beliau sebenarnya sudah kehilangan semua
nilai moral untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Ini kerana
dosa paling besar bagi pemimpin ialah "menyalahgunakan, apalagi mencuri
wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan keluarga" serta "tidak
berkata benar atau berbohong untuk mempertahankan diri."
Di celah dunia mana pun, pemimpin sebegitu akan menerima balasan akhirnya.
>> Komentar bebas ShahbudinHusin, penulis politik
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan