Amat mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
mengeluarkan kenyataan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini dengan
mendakwa negara asing yang menyiasat skandal 1MDB sebagai cubaan campur
tangan kuasa asing.
Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan di mana ia boleh mengelirukan rakyat.
Ini kerana agama dijadikan perisai bagi menutup salahlaku yang
dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya
dalam skandal berskala mega ini.
Kenyataan Presiden PAS yang mahukan undang-undang Malaysia bertindak menyelesaikan skandal 1MDB adalah satu kenyataan naif seorang ahli Parlimen.
Ini kerana laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang
dibekalkan kepada beliau telah mendedahkan bahawa 1MDB telah membayar
kepada Aabar BVI sebuah syarikat palsu yang ditubuhkan untuk mencuri wang 1MDB, sehinggakan IPIC dan Aabar sebenar menyaman 1MDB dan kerajaan Malaysia.
Walaupun dengan bukti yang nyata ini, pihak berkuasa di negara ini termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal bertindak sehingga sekarang.
Malahan, peguam negara sendiri gagal mendakwa Najib walaupun bukti kemasukan wang
ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2.6 billion dari akaun Tanore dan
RM42 juta dari SRC yang meminjam wang KWAP ditunjukkan sendiri oleh
beliau.
Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah mengeluarkan kenyataan tidak akan menyiasat skandal 1MDB.
Pihak polis pula sampai ke hari ini masih menyiasat sedangkan Jho Low dibiarkan bebas.
Sikap membisu institusi penguatkuasaan undang-undang negara dalam
skandal 1MDB ini telah mencemar keluhuran undang-undang negara ini.
Ironinya, Presiden PAS pula boleh percayakan mereka.
Tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menyiasat dan menyita aset-aset mewah bukanlah satu campurtangan ke atas negara ini.
Sebaliknya, tindakan DOJ tersebut adalah akibat salahlaku jenayah
berkaitan penyelewengan skandal 1MDB kerana ia melibatkan pelanggaran
undang-undang dan sistem kewangan Amerika Syarikat.
Bukan sahaja Amerika Syarikat yang menyiasat skandal ini, malahan
banyak lagi negara lain terutamanya Singapura yang setakat hari ini,
telah menghukum lima orang pegawai bank dan mendenda lapan bank dengan
dua bank Swiss diarahkan ditutup.
Negara-negara luar hanya bertindak atas nama integriti dan digniti yang gagal dilakukan pentadbiran negara hari ini.
Seharusnya, Presiden PAS tidak lagi membela Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB. Kezaliman tidak seharusnya dikompromi.
Alangkah gembiranya umat Islam di negara ini jika beliau mampu
menyelar Najib dengan mengatakan hukum hudud harus digunakan terhadap
perdana menteri.
Tidakkah rompak dan curi itu kesalahan di bawah hudud yang disebut
jelas di dalam al-Quran. Saya bimbang keyakinan rakyat terhadap keadilan
hukum hudud boleh terhakis dengan pendirian Presiden PAS yang gagal
bertindak terhadap pemerintah.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda akan menggunakan hudud terhadap puterinya sendiri.
FAIZ FADZIL adalah timbalan Ketua Pemuda AMANAH.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan