Amankah Malaysia Di Bawah Pentadbiran Umno Bn ?


Oleh Ahmad Nizam Hamid 
Kenyataan yang dimuat naik pada 5 Julai lalu melalui blog Datuk Seri Salleh Keruak selaku Menteri Komunikasi dan Kebudayaan menunjukkan satu tindakan terdesak untuk menyerang pembangkang dengan mengeluarkan tuduhan kononnya pembangkang memfitnah bahawa rakyat Malaysia kini tidak hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Dengan merujuk pada kajian antarabangsa iaitu Indeks Keamanan Global 2017 (GPI 2017), Salleh Keruak menyebut bahawa Malaysia ditempatkan pada tangga ke-29 daripada 163 mengikut negara paling aman di dunia, dinilai berdasarkan 22 petunjuk yang berkaitan konflik dalaman dan luaran negara.

Bukan itu sahaja, malah Salleh Keruak merujuk pada World Happiness Report 2017 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-42 dari 155 buah negara mengikut nilai kegembiraan tercapai.

Terdapat dua persoalan besar yang perlu dilihat oleh Salleh Keruak sebelum memberi kesimpulan bahawa Malaysia merupakan negara yang aman:

1. Adakah dengan menggunakan kajian antarabangsa, beliau yang mewakili kerajaan sudah cukup berbangga dengan pencapaian semasa, seolah-olah tidak perlu lagi penambahbaikan polisi sosio-ekonomi dan membiarkan rakyat berbangga dengan negara yang kini ditadbir oleh golongan kleptokrat yang mengamalkan korupsi dan rasuah?

Sebagai menteri, Salleh Keruak seharusnya menitikberatkan idea-idea untuk memastikan rakyat Malaysia lebih 'bahagia' pada masa depan. Bahkan sepatutnya kerajaan Umno BN hari ini merangka dan mengimplimentasikan dasar-dasar kontigensi yang menjadikan negara ini terus melangkah ke hadapan, bukannya terjebak dengan gejala rasuah, penyelewengan dan kronisme yang tiada kesudahan.

Sememangnya negara ini tidak menghadapi peperangan mahupun serangan terrorisme berskala besar yang dilihat secara fizikal, namun Malaysia menghadapi masalah rakyat yang tidak berasa aman secara mental disebabkan polisi-polisi kerajaan yang gagal memajukan sosio-ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

Tekanan hidup yang dihadapi rakyat kini menyebabkan lebih ramai rakyat yang menderita secara mental. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa seramai 4.2 juta atau 29.2 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah mental. Tidakkah statistik ini yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan?

2. Adakah dengan pencapaian semasa berdasarkan kajian dapat menggembirakan rakyat Malaysia yang kini terhimpit dengan pelbagai masalah, terutama daripada segi kos sara hidup dan kadar peningkatan jenayah?

Realitinya, rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barang, kejadian rompakan dan penculikan, aktiviti gangsterisme yang berleluasa, dan juga gejala rasuah yang kini wujud pada pelbagai peringkat. Rakyat tidak bodoh dan sedar apa yang berlaku pada hari ini.

Kebanyakan rakyat membuat perbandingan dengan keadaan pada masa lepas, untuk memberi kesimpulan bahawa situasi negara pada hari ini semakin teruk. Graduan dan belia semakin ramai menganggur, lambakan pendatang asing yang gagal dibendung, jurang kaya-miskin yang melebar – semua ini adalah bentuk masalah yang dilihat di kaca mata masyarakat, malangnya bukan pada mata menteri yang kini dikaburi oleh wang dan kuasa.

Tidak perlu Salleh Keruak untuk melabel pembangkang dan rakyat sebagai “pemfitnah”, sedangkan realitinya negara Malaysia semakin tidak aman. Ini tidak lagi termasuk konflik rasisme dan ekstremisme agama yang semakin menular dan meretakkan perpaduan rakyat.

Umno BN perlu akui bahawa rakyat tidak berbahagia dengan suasana sekarang. Hanya mereka, para kroni dan para penyokong tegar sahaja yang gembira dengan pencapaian semasa tanpa perlu menyelesaikan skandal dan masalah polisi negara.

Pakatan Harapan bertekad untuk membina semula negara daripada tangan-tangan pemimpin yang kini telah merosakkan kegembiraan rakyat yang dikecapi satu ketika dahulu.

Masa depan negara di bawah Umno BN semakin gelap dan tidak ada hala tuju. Situasi ini berbeza dengan pendirian Pakatan Harapan yang mahu melihat rakyat gembira, bahkan bertekad untuk menempatkan Malaysia pada kategori negara yang paling bahagia bersama-sama Ireland dan Norway sekiranya diberi peluang untuk mentadbir negara.

Ahmad Nizam Hamid
Timbalan Pengerusi Keadilan Pahang
Parti Keadilan Rakyat
Pakatan Harapan
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan