Oleh
KETIKA Pakatan Harapan menggunakan skandal 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) untuk memenangi pengundi, PAS yang kini berada dalam
pakatan pembangkang baru, Gagasan Sejahtera pula mempertahankan dirinya
daripada dakwaan bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.
Dalam ceramah selama dua jam di Permatang Pauh semalam, pemimpin PAS
bercakap mengenai tuduhan “bermesra” dengan Umno yang dilakukan bekas
sekutu dan rakan rapatnya.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut membandingkan gambar Presiden PAS
Abdul HAdi Awang dan Perdana Menteri Najib Razak yang duduk bersama
dalam acara dengan gambar menunjukkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
dengan pemimpin Umno lain, termasuklah Najib dan Timbalan Perdana
Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Beberapa gambar menunjukkan Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau
Pinang bersalam dan memeluk ahli majlis tertinggi Umno yang juga Menteri
Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Abdul Aziz. Memang diketahui umum yang
kedua-dua ahli politik itu mempunyai hubungan baik walaupun dalam
pasukan politik yang berlawanan.
“Jika saya yang ada dalam gambar ini, mereka akan kata sah PAS bersama Umno, atau saya ada projek dengan Umno,” katanya.
Dia juga menayangkan gambar lama menunjukkan Ketua Umum PKR dan PH
Anwar Ibrahim sedang minum dengan Najib dan memetik laporan media
tentang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mengatakan kesediaan
untuk bekerjasama dengan BN untuk menyelamatkan Malaysia.
“Tetapi apabila Hadi mencadangkan kerajaan perpaduan, mereka menuduh PAS bukan-bukan,” katanya.
Pada 2009, Hadi mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di mana
semua parti politik Malaysia bertanggungjawab secara kolektif bagi
mendepani cabaran bersama dan menyelesaikan masalah negara.
Idris berkata yang antara semua parti politik pembangkang negara ini, PAS ialah parti yang menentang Umno paling lama.
Dia juga menyentuh mengenai dakwaan laman sesawang Sarawak Report
bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Najib, yang menyebabkan orang
Cina marah kepada parti Islam itu dakwanya.
Menafikan dakwaan itu, dia memetik jawapan dalam Dewan Rakyat yang
diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada Mac lepas
yang mendakwa tuduhan itu tidak mempunyai asas untuk disiasat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami mengalukan siasatan SPRM. Pejabat kami sentiasa terbuka untuk
mereka datang dan siasat,” kata Idris sambil memaklumkan kepada lebih
200 orang yang berada di situ Hadi sudah menyaman Sarawak Report di United Kingdom kerana memfitnah.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff yang juga bercakap
dalam ceramah di Kubang Semang itu berkata media membuat spekulasi
apabila ramai pemimpin Umno termasuk Timbalan Menteri Luar Reezal
Merican Naina Merican menghadiri rumah terbuka yang dianjurkannya.
Spekulasi muncul, katanya, ketika wartawan bertanyakan sekiranya
kehadiran Reezal bermakna PAS sudah berganding bahu dengan Umno.
“Atas asas apa kami bekerjasama? Yang berkuasa di sini ialah PH. Apa
pun, kita perlu tunggu keputusan pilihan raya umum akan datang…lihat sekiranya PH menang atau kalah, dan kemudian kira kerusi yang dimenangi PAS dan Umno.”
Fauzi berkata walaupun masih belum ada kenyataan rasmi, PAS Pulau
Pinang akan bertanding lebih daripada enam kerusi yang ditandinginya
pada pengundian 2013, kerana sekarang parti Islam itu tidak perlu lagi
memberikan kerusi kepada PKR, bekas sekutunya.
PAS juga cuba menjarakkan dirinya daripada PH, apabila Ketua Pemuda
PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata yang politik parti
itu berasaskan Islam.
“Semua yang dikatakan PH (tentang PAS) yang kami bersama Umno, yang
kami membantu kekalkan Najib berkuasa. Ini ialah politik barat. Bagi
mereka, ia sentiasa soal siapa yang berkuasa, kerana itu mereka
bertelagah tentang siapa yang patut menjadi perdana menteri PH.
“PAS bukan seperti PH atau Umno yang mengamalkan politik wang,
Perjuangan kami lebih luas, ia soal membawa orang mendekati Tuhan dan
mengikut nilai dan ajaran Islam.
“Orang fikir PAS kolot dan tertutup tetapi kami terbuka kepada dialog
malah dengan pastor Kristian sekalipun. Mereka yang kami temui dalam
program antara agama mendapati yang mereka selesa dengan PAS.”
Ketua Bahagian PAS Permatang Pauh Omar Hassan pula memberitahu
khalayak yang PAS mahu bertanding dalam kerusi Parlimen yang dimiliki
PKR, selain tiga lagi kerusi negeri.
Katanya, Pulau Pinang, di bawah pentadbiran PH berdepan isu seperti
kehilangan perkampungan Melayu terutama sekali di bahagian pulau
disebabkan pembangunan baru.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan