'Adakah sebab PRK, kerajaan tidak boleh umum apa-apa?'
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, membidas kenyataan segelintir pihak kononnya pengumuman kerajaan mengenai tol bertujuan meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Beliau berkata, pengumuman terbabit dibuat semalam kerana kerajaan sudah memiliki perancangan berhubung perkara itu.
“Adakah sebab PRK, kerajaan tidak boleh mengumumkan apa-apa? Kita sudah ada perancangan yang boleh dilaksanakan, jadi kita umumkanlah.
“Habis, kita hendak tunggu sampai bila? Selepas PRK DUN Semenyih, ada PRK DUN Rantau pula. Kita hendak umum cepat, rakyat mahu cepat. Bukan sebab PRK, malah empat tol itu pun tidak membabitkan jalan di Semenyih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program sembang santai sempena PRK DUN Semenyih di Kampung Baru Semenyih, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, cadangan pelaksanaan yang diumumkan kerajaan itu bertujuan menguraikan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
“Dengan pelaksanaannya kelak, pengguna boleh merancang waktu perjalanan mereka supaya tidak keluar serentak pada waktu puncak.
“Bukannya seolah-olah beri percuma pada waktu malam itu kita hendak menggalakkan orang pergi kelab malam. Kita jangan lupa, ada pekerja kilang yang balik pada waktu itu. Ada yang bekerja syif,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol lebuh raya dan sebagai ganti caj kesesakan diperkenalkan pada waktu puncak selama enam sejam sehari.
Bagi tujuan itu, kerajaan sedang berunding dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya bertol di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, semalam, berkata Gamuda ada pegangan majoriti membabitkan empat lebuh raya berkenaan, iaitu Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
“Sebagai ganti, congestion charge (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.
“Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu off-peak (waktu bukan puncak) antara jam 11 malam hingga 5 pagi di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.
0 comments:
Catat Ulasan