Mahathir bukan penyelamat kami

Oleh S Arutchelvan,

 Ramai orang salah faham atau buat tidak faham apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) menentang Tun Dr Mahathir Mohamad. PSM tidak menolak Dr Mahathir kerana kami suka bermusuhan, suka membalas dendam, tidak tahu memaafkan orang, sudah makan dedak Datuk Seri Najib Razak atau sebab-sebab lain yang cuba digambarkan oleh mereka yang tidak suka dengan posisi PSM.

Sebenarnya orang yang menentang PSM tidak ada hujah lain seperti PSM sebuah parti korup, tidak berprinsip, tamak, skandal seks dan sebagainya.

PSM hanya bertanding kurang 3 peratus kerusi Parlimen dan 3 peratus kerusi DUN di seluruh negara, maka 97 peratus kerusi bukan bawah sebarang pengaruh kami. Maka tuduhan kami akan pecahkan undi dan lain-lain hanyalah untuk mereka yang tidak faham matematik.

PSM menentang Dr Mahathir kerana pegangan dan posisi beliau dalam pelbagai isu. Sistem dan institusi korup yang dibawa oleh Dr Mahathir kini disempurnakan lagi oleh budak didikannya bernama Najib. Antara isu zaman Mahathir adalah:

i. Isu pengswastaan kemudahan awam, pembukaan tol kepada syarikat Umno dan lain-lain.

ii. Penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan lain-lain,

iii. Isu dan pendirian perkauman

iv. Isu pekerja, gaji minimum, kesatuan sekerja

v. Penahanan musuh politiknya termasuk penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Dr Nasir Hashim dan lain-lain

vi. Melemahkan institusi kehakiman, perundangan, polis dan lain-lain

vii. Sistem kroni dan bailout syarikat milik anaknya – isu Perwaja, forex (tukaran wang asing)

viii. Projek IC dan lain-lain.

Rakan seperjuangan kami dalam menentang semua isu ini dulu adalah DAP, PKR dan lain-lain.

 Adakah posisi mereka dengan semua perkara di atas kini sudah berubah? PSM masih berpendirian posisi kami dulu dan sehingga sekarang masih sama.

Namun hari ini, Mahathir tidak pernah mengatakan beliau salah dalam mana-mana satu isu di atas dan tidak pernah sekali dalam ratusan sidang akhbar dan ceramah beliau mengatakan beliau sudah insaf atau meminta maaf. Beliau hanya berkata bahawa beliau silap memilih Najib, sebagaimana beliau silap memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekarang beliau dianggap sebagai di “top dog” untuk Pakatan Harapan. Adakah ini bererti semua posisi yang diambil dulu oleh beliau betul?

Pembangkang hari ini tidak mahu memfokus kepada isu-isu besar dan hanya mahu melawan isu peribadi Najib dan cincin Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka fokus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan seperti kajian Rafizi Ramli, ini bukan isu terbesar di kepala ramai rakyat Malaysia. Bagi mereka, jika pemimpin teratas dibuang, semua bawah akan jadi betul. Ini tidak berbeza dengan kempen menentang Mahathir dulu.

PSM menentang Najib dan Mahathir atas sebab yang sama. Mereka mendukung sistem yang sama.

Adakah Pakatan Harapan akan bercerai daripada sistem ini atau adakah Mahathir sendiri sudah buat pusingan U. Sehingga sekarang Mahathir masih tegas walaupun ketua pembangkang lain mengatakan pelbagai alasan mengapa kita perlu sokong Mahathir sekarang.

PSM tidak buat sebarang pusingan U, tai chi atau silat lidah. Kami terus berjuang untuk isu seperti tabung pemberhentian kerja, menentang sistem kontrak, mendesak untuk pendidikan dan hospital percuma, membela isu peneroka, Orang Asli, pekerja ladang, petani dan sebagainya.

Kami tidak pernah meluangkan masa kami mengutuk peribadi Mahathir, Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rosmah, Najib, Mohamad Sabu dan lain-lain. Kami juga tidak pernah memainkan isu pekauman dan agama untuk jadi popular. Politik kami adalah memajukan aspirasi rakyat majoriti dan pelbagai isu harian mereka seperti isu gaji, perumahan, pengangguran, kesihatan dan lain-lain.

Kami hanya mampu membawa idea baru, nafas baru dalam udara yang tepu. Kami memilih lawan institusi, politik dan sistem sekarang yang dibawa oleh Najib. Malangnya kami tidak dapat melihat Mahathir sebagai penyelamat kami kerana beliau adalah sebahagian daripada sistem korup ini!

* S Arutchelvan, bekas setiausaha agung PSM, kini ahli jawatankuasa pusat parti itu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan