Oleh Fahmi Fadzil
Sejak Pakatan Harapan (PH) mengumumkan saf kepimpinan baharu tengah
malam Khamis lalu, Umno-BN terkapai-kapai berhempas pulas hendak mencari
idea dan bahan untuk menyerang, hingga ada di antara mereka yang
terpaksa membuat pusingan ‘U’ dalam masa yang singkat.
Contoh utama adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri
Salleh Said Keruak yang bertanya, “Di mana DAP?” apabila melihat
pimpinan utama hampir kesemuanya dari kalangan orang Melayu. Namun semua
tahu yang DS Salleh sendiri pernah berkata bahawa pemimpin Melayu dalam
Harapan diperguna DAP.
Semalam Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
menjalankan tugas-tugas timbalan presiden pula berkata, PH bagai ‘kapal’
yang mempunyai 3 nakhoda dengan 3 ‘peta’ berbeza yang akhirnya akan
mengakibatkan kapal itu tenggelam. Tapi mungkin DS Zahid tidak membaca
sepenuhnya kenyataan media Majlis Presiden Harapan yang dengan jelas
menyatakan bahawa:
Oleh yang demikian, PH mendokong matlamat-matlamat menurunkan
kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Razak,
memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub
dalam Perlembagaan Malaysia, membatalkan dan memperbetulkan semua
tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadai kepentingan rakyat
di bawah pentadbiran Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang
hilang melalui skandal besar seperti 1MDB, membebaskan semua tahanan
politik dan menggugurkan semua dakwaan politik, reformasi undang-undang
dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa
perdana menteri dan mengehadkan penggal perkhidmatan perdana menteri
kepada 2 penggal sahaja.
Malah secara lebih khusus lagi, Majlis Presiden PH telah mengumumkan
sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU14, dalam tempoh 100 hari
pertama setelah membentuk kerajaan, PH komited untuk menghapuskan GST,
menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban
rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh,
memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
Diraja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda.
Kenapa ‘peta’ atau matlamat atau objektif PH ini tidak cukup jelas buat Zahid?
Berkait ‘3 nakhoda’, apabila pimpinan utama PH telah bersetuju dengan
matlamat atau objektif dan memegang kepada prinsip keputusan
berdasarkan konsensus, maka tidak timbul isu.
Yang jelas, pengumuman saf kepimpinan utama serta matlamat-matlamat PH menambah rasa panik di Putrajaya.
Hingga ke hari ini, serangan dakyah baharu Umno-BN tidak melekat hingga
mereka terdesak dan terpaksa menggunakan bahan arkib kuno untuk
menyerang pimpinan PH.
Putrajaya semakin panik kerana kapal PH bukan bakal tenggelam tetapi
kini semakin sedia untuk berlabuh memburu kapal lanun Umno-BN.
Dan, apabila kapal lanun Umno-BN itu dikalahkan, kami pasti mencari
‘peta’ harta karun 1MDB dalam tangan kapten kapal lanun itu agar segala
harta yang dirompak dan dicuri gerombolan ini akan dapat dipulangkan
kepada rakyat.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan