Oleh Ong Boon Teck
MELIHAT struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan
memang cukup digeruni. Semuanya berjawatan besar, tidak kiralah
berstatus 'bekas' mahupun yang sedang berkuasa.
Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu
tidak dinafikan memiliki pemimpin-pemimpin politik yang berpengalaman.
Apa tidaknya, mereka boleh bangga kerana memiliki seorang bekas perdana
menteri, dua bekas timbalan perdana menteri, dua bekas menteri besar,
seorang ketua menteri dan seorang menteri besar.
Sekiranya diberi peluang memerintah negara, dengan pengalaman mereka
yang ada, mungkin tidak menghadapi masalah. Tetapi soalnya, apakah
rakyat akan memberi peluang kepada gabungan empat parti ini untuk
memerintah negara?
Daripada paling atas, ketua umumnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang bekas timbalan perdana menteri yang sedang meringkuk dalam
penjara. Beliau bakal dibebaskan pada Jun tahun hadapan.
Ini diikuti pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana
menteri yang telah memimpin negara selama 22 tahun sementara jawatan
presiden pula dipegang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Seterusnya diikuti tiga pemimpin yang mengisi jawatan timbalan
presiden, masing-masing terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin; Lim
Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Ramai yang masih pertikaikan apakah perbezaan antara jawatan ketua umum
dengan pengerusi? Apakah tugas dan peranan Anwar dan Mahathir? Jawatan
siapa lebih besar?
Lebih mengelirukan lagi, dengan adanya jawatan ketua umum dan
pengerusi, ditambah pula jawatan presiden yang dipegang oleh Wan Azizah.
Di sini berlakunya tanda tanya. Dengan menggunakan bahasa lebih mudah,
"Nak ikut cakap siapa?"
Bagi meyakinkan rakyat yang masih menaruh harapan kepada pakatan
pembangkang ini, pucuk pimpinan Pakatan Harapan seharusnya memberikan
penjelasan secepat mungkin mengenai 'pertindihan' tiga jawatan besar
ini.
Rakyat tentunya akan lebih percaya kewujudan jawatan-jawatan penting
ini sekadar untuk mengisi jawatan sebagai menghormati pemimpin-pemimpin
lama ini. Sama ada berfungsi atau tidak, itu soal kedua.
Yang menjadi kemusykilan ialah apakah Anwar dan Mahathir boleh
bekerjasama untuk mengetuai Pakatan Harapan? Mereka dilihat ingin
menentang musuh yang sama, tetapi tidak semestinya mempunyai
persefahaman. Masing-masing ada cara tersendiri yang menyebabkan mereka
tidak sekata.
Selain jawatan, matlamat Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan BN
di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin
ternyata dan jelas apabila menggariskan beberapa langkah bagi meyakini
pengundi agar menyokong mereka dalam PRU akan datang.
Antaranya, berusaha mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui
skandal besar seperti 1MDB; membebaskan semua tahanan politik dan
menggugurkan semua dakwaan politik; mengehadkan penggal perkhidmatan
perdana menteri kepada dua penggal sahaja.
Bunyinya tidak beza dengan manifesto pilihan raya. Ia adalah janji kepada rakyat sekiranya menang dan menjadi kerajaan.
Dan, lebih teruja lagi ialah sekiranya mendapat mandat rakyat dalam
PRU14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, ini
antaranya yang ingin dilakukan mereka, menghapuskan GST; menstabilkan
harga petrol; beri fokus kepada usaha meringankan beban rakyat; mulakan
proses reformasi institusi secara menyeluruh.
Tiga isu utama lain turut disentuh Pakatan Harapan iaitu mahu perangi
rasuah hingga ke akar umbi; tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja
Skandal 1MDB dan pulihkan Felda, yang sememangnya sekiranya berjaya
dilaksanakan, Malaysia sudah tentu akan lebih berjaya dan 'bersih'
berbanding sekarang.
Sesiapa pun boleh janji. Tetapi untuk kotakan janji, itu yang lebih penting.
Rakyat perlu menerima hakikat dan perlu tanyakan kepada diri sendiri,
apakah sedia menjatuhkan kerajaan BN dan memilih Pakatan Harapan sebagai
kerajaan baharu?
Apa yang lebih diingini Pakatan Harapan ialah peluang. Apakah rakyat
akan memberi peluang kepada mereka? Soalan ini hanya boleh tunggu
apabila tiba PRU nanti.
Struktur kepimpinan telah pun dipersetujui setelah berbincang
berbulan-bulan lamanya, kini yang hendak dibincangkan pula ialah dari
segi pembahagian kerusi untuk PRU akan datang.
Pakatan Harapan begitu mengharapkan rakyat menyokong mereka, tetapi
apabila mereka sesama sendiri kerap bertelingkah merebut kuasa dan
kerusi, apakah rakyat masih mahu menaruh harap kepada mereka lagi?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan