PETALING JAYA: Seorang menteri dan seorang pemimpin PAS hari ini
bersetuju mahkamah sivil perlu merujuk dan mengambil fatwa yang
diwartakan di peringkat persekutuan dan negeri sebagai panduan dalam
membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki
mengingatkan fatwa yang dikeluarkan sama ada di peringkat persekutuan
mahupun yang diwartakan di peringkat negeri adalah undang-undang sah.
Beliau mengakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan
Jawatankuasa Fatwa kebangsaan tiada kuasa ikatan perundangan (legal
binding) kerana kuasa agama merupakan kuasa negeri.
“Namun fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Negeri setelah diperkenan
Tuanku Sultan dan diwartakan masih perlu diambil kira apabila pertikaian
adalah berkaitan dengan hukum syarak berdasarkan undang-undang yang
diluluskan di bawah bidang kuasa negeri,” tambahnya, merujuk kepada
Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan
moral untuk merujuk kepada hukum syarak apabila ia melibatkan
kepentingan orang Islam, dan agensi kerajaan sendiri seperti Jabatan
Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua
undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.
“Justeru, amat wajar sekali pihak peguam negara mewakili Kerajaan
Persekutuan dan agensi dibawahnya khususnya Jabatan Peguam Negara untuk
mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan,” kata
Asyraf.
Asyraf menjelaskan hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah
jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidah Sah
Taraf dari Segi Syarak yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pada 25 Jun 1998.
Menurut garis panduan itu, anak tidak sah taraf, termasuk anak luar
nikah, hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah, atau lain-lain Allah
(Asma Al-Husna) berpangkalkan Abdul.
“Ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pemeliharaan
nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek
keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan,
nafkah dan lain-lain,” kata Asyraf.
“Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan
dari satu sudut perundangan dan perspektif hukum sivil semata-mata tanpa
mengambil kira roh dan prinsip syariah dan maqasid syariah,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali mahu
satu akta khusus dicadangkan di Parlimen, yang memberikan kuasa
undang-undang kepada fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat
mahkamah sivil dalam isu bersabit dengan Islam.
Pada tafsirannya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam
sebagai agama persekutuan, maka ia sepatutnya memberi maksud Islam
menjadi rujukan utama “segala tindak tanduk bernegara” serta “segala
peruntukan undang-undang negara”.
“Tapi ternyata Perkara 3 itu belum diberikan hak tafsiran yang
sepatutnya untuk mengikat segala penghakiman di Mahkamah sivil dengan
Islam,” tegas Khairuddin.
Beliau menambah Mahkamah Rayuan tidak memberi pertimbangan sewajarnya
kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam kerana mahkamah hanya
membataskan kepada isu pendaftaran semata-mata.
“Walaupun pendaftaran tersebut memberi implikasi terhadap
undang-undang Islam,” katanya, dan menambah penghakiman tersebut
mendedahkan fatwa yang dikeluarkan badan agama tidak mempunyai kuasa
undang-undang, “melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai
undang-undang persekutuan menerusi Parlimen.”
“Di sinilah perlunya satu akta dicadangkan di parlimen untuk
memberikan kuasa undang-undang kepada fatwa-fatwa negeri bagi dijadikan
rujukan yang mengikat mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit dengan
Islam.”
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan