PETAING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus mengenakan
nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes
dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli menambah amalan
sedia ada akan diteruskan selaras dengan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah
undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan
dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan
kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada 6 bulan qamariah dari
tarikh perkahwinan ibu bapa.
“Sehubungan itu perlaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak
tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada, sebarang
pindaan tahap perlaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas
keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari
ini.
Yazid berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah
Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada
25 Julai lepas.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya
apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar
nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa
anaknya.
Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan
memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan
mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata
Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan
antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.
“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus
dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,”
tulisnya.
Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari
sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada
pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa
yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.
JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.
Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh
dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku
sebagai bapa kepada anak itu.
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen
13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk
menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan